Berita Terkini

2 jam yang lalu: Dana jaminan pembiayaan SJKP ditingkatkan daripada RM3 bilion kepada RM5 bilion - PM 2 jam yang lalu: Kerajaan setuju lanjutkan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM8,000 untuk simpanan bersih tahunan dalam SSPN sehingga 2024 - PM 2 jam yang lalu: Kebakaran: Kematian wanita OKU kerana lemas terhidu asap - polis 2 jam yang lalu: Kerajaan setuju beri sagu hati RM300 kepada 200,000 anggota Rela, sukarelawan APM, sukarelawan polis dan sukarelawan bomba - PM 2 jam yang lalu: 995,396 kuota pekerja asing diluluskan sehingga 14 Mac

IKUTI KAMI


Penuntut UiTM Cipta Pewarna Tekstil Bahan Semula Jadi

TARA Dikemaskini 1 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 19 Feb 2023 6:26PM

Hampir 100 koleksi karya seni reka tekstil hasil buatan tangan yang menggunakan teknik batik lukis, batik retakan, ikat celup dan shibori dihasilkan 27 penuntut Sarjana Muda Seni Reka Tekstil UiTM dipamerkan di Dyeco: Eksplorasi Eko Tekstil Pewarna Alami di Muzium Tekstil Negara. - Gambar Bernama

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Sebagai usaha melestarikan alam sekitar, sekumpulan penuntut tahun akhir Universiti Teknologi MARA (UiTM) menghasilkan rekaan pakaian menggunakan tekstil daripada bahan dan bahantara semula jadi sepenuhnya.

Hampir 100 koleksi karya seni reka tekstil hasil buatan tangan yang menggunakan teknik batik lukis, batik retakan, ikat celup dan shibori dihasilkan 27 penuntut Sarjana Muda Seni Reka Tekstil universiti itu dipamerkan di Dyeco: Eksplorasi Eko Tekstil Pewarna Alami di Muzium Tekstil Negara di sini bermula semalam hingga 23 Februari ini. 

Antara menarik perhatian, rekaan kimono oleh pereka Muhamad Faiz Zahurin, 24, menggunakan ubi keledek ungu bagi menghasilkan ekstrak berwarna ungu gelap yang mewarnai tekstil karyanya melalui teknik canting batik dan shibori (teknik ikat celup tradisional Jepun).

Beliau yang mengambil masa antara dua minggu hingga sebulan untuk menghasilkan pewarna pakaian itu berkata antara cabaran menghasilkan bahan alami itu adalah dengan memastikan suhu persekitaran sesuai bertujuan mendapatkan ton warna diinginkan.

“Bahan pewarna bertindak balas dengan persekitaran, ton warna berbeza akan dihasilkan bergantung kepada suhu, jika panas ia jadi lebih terang sebaliknya pewarna jadi gelap apabila suhu persekitaran lebih sejuk," katanya kepada Bernama.

Muhamad Faiz yang dipilih sebagai pelajar berprestasi keseluruhan terbaik bagi program berkenaan berkata ubi keledek ungu dipilih berikutan tidak ramai yang menggunakannya sebagai sumber pewarna asli memandangkan tanaman itu biasanya diimport dan jarang ditanam di Malaysia. 

Nuranisa Ag Anak, 24, yang dinobatkan sebagai pereka terbaik program itu pula memilih kacang hitam dan bunga telang sebagai bahan utama dalam menghasilkan pewarna tekstil rekaannya. 

"Saya juga menggunakan krim tartar sebagai bahan campuran atau mordant (pengikat warna) sebagai pengganti bahan sintetik sodium silicate," katanya yang menggunakan kaedah cuba jaya dalam menghasilkan pewarna alami itu. 

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Seni Reka Tekstil Kolej Pengajian Seni Kreatif UiTM Juita Jaafar Manap berkata program itu antara lain bertujuan menggalakkan dan mendedahkan pereka muda menghasilkan karya yang lebih lestari demi kelangsungan alam sekitar. 

"Sebenarnya pewarna alami sudah dihasilkan dan diguna pakai sejak zaman nenek moyang kita lagi, jadi kita mahu menggalakkan amalan itu semula dalam mengurangkan bahan kimia dan sintetik yang berbahaya kepada ekologi alam," katanya. 

Juita berkata penggunaan bahan semula jadi juga akan memudahkan pengurusan sisa tekstil yang mampu mengurangkan kadar pencemaran alam khususnya pencemaran air yang sering dikaitkan dengan industri pencelup dan tekstil.

Beliau berkata pihaknya juga sedang mengkaji kaedah menambah baik formula pewarna menggunakan bahan asli itu terutama dari segi aspek ketahanan warna yang merupakan kelemahannya berbanding pewarna sintetik agar berpotensi untuk dikomersialkan. - Bernama

Isu Pada

Conan Gray, Penakluk Jiwa Wanita

18 Feb 2023

Sorotan

1

Henti Pelepasan Cukai Pencarum SSPN Kurang Tepat, ‘Saya Beri 3 Sebab’ - Syed Saddiq

2

Projek Pasar Chow Kit Tidak Pernah Terbengkalai, Dijangka Siap 2025

3

Tubuh Task Force Selaras Agihan Bantuan Dengan YKN Di Setiap Negeri