Travel addict selalu mencari-cari lokasi percutian yang harus dijejaki. Menjejak destinasi percutian popular adalah perkara biasa kerana akses ke sana lebih mudah dan tidak melibatkan kos yang terlalu membebankan.
Namun, jika anda benar-benar seorang pengembara, pasti anda mengimpikan sebuah perjalanan yang luar biasa yang mungkin tidak pernah terlintas di fikiran ‘pelancong’. Jika mengintai ke peta dunia, sebenarnya ada banyak negara-negara kecil yang boleh anda jejaki.
Negara-negara ini juga memiliki keistimewaan dan keindahan alam yang luar biasa. Jom semak senarai enam negara yang mungkin anda tidak pernah tahu sebelum ini.
1) Nauru

Republik Nauru adalah negara republik terkecil di dunia, dengan keluasan wilayah 21 kilometer persegi. Populasi penduduknya sekitar 10,000 orang. Negara ini terletaknya di Pasifik Selatan, berada di tengah-tengah antara Australia dan Hawai.
Nauru tidak memiliki ibu kota, namun Yaren umumnya dianggap sebagai ibu kota negara terbabit. Nauru memperoleh kemerdekaan pada 31 Januari 1968. Pada tahun 1980, Nauru merupakan negara paling kaya. Namun, pada tahun 2017, posisinya merudum menjadi lima negara paling miskin di dunia.
2) Tuvalu

Dahulunya ia dikenali sebagai Kepulauan Ellice, sebuah negara kepulauan yang terletak di antara Hawaii dan Australia. Mempunyai ketinggian hanya 5 meter dari permukaan laut, Tuvalu merupakan di antara negara yang diancam tenggelam kerana pemanasan global.
Biarpun Tuvalu memiliki keindahan alam yang cukup memukau, tetapi ia sepi daripada kehadiran pelancong. Agensi berita CNN melaporkan pada tahun 2016, hanya 2000 pelancong mengunjungi Tuvalu.
3) San Marino

San Marino adalah negara ke-5 terkecil di dunia dan ketiga terkecil di Eropah, setelah Vatikan dan Monako. San Marino terletak di wilayah Itali, Emilia-Romagna, di sebelah selatan kota Rimini di bahagian utara pantai Adriatik.
Negara ini dibentuk pada 3 September 301 oleh Santo Marinus, seorang tukang batu Kristian yang melarikan diri kerana kekacauan agama.
Satu fakta menarik tentang negara ini ialah, San Marino adalah satu-satunya negara di dunia yang mempunyai jumlah kereta lebih banyak berbanding jumlah penduduknya. Pada tahun 2010, terdapat 1263 kenderaan dalam 1000 orang penduduk.
4) Liechtenstein

Kerajaan Liechtenstein ialah sebuah negara kecil di Eropah Barat. Ia bersempadan dengan Switzerland di barat dan selatan serta Austria di timur. Jumlah penduduknya dianggarkan seramai 38,000. Ibu negaranya ialah Vaduz, manakala bandar terbesarnya pula ialah Schaan.
Liechtenstein merupakan negara berbahasa Jerman terkecil di dunia dan satu-satunya negara Alp yang keseluruhannya terletak di Banjaran Alp. Ia juga merupakan negara berbahasa Jerman yang tidak berkongsi sempadan dengan Jerman. Liechtenstein juga bukan sebahagian daripada Kesatuan Eropah.
Terkenal dengan landskap pergunungan yang indah. Antara tarikan yang menjemput ramai pengembara datang bertandang ialah denai-denai kembara yang menjanjikan pemandangan indah (laluan di sekitar Falknis dan Naafkopf, dua daripada puncak tertinggi di negara ini), serta pelbagai aktiviti ski dan musim sejuk.
Selain itu, ada banyak tempat menarik dan tarikan pelancongnya yang mengagumkan, termasuklah muzium, galeri dan istana.
5) Comoros

Comoros adalah negara Arab terkecil kedua setelah Bahrain. Terletak di penghujung utara Selat Mozambik, di antara Madagaskar and Mozambik.
Secara rasmi negara ini terdiri daripada empat pulau dan dahulunya merupakan jajahan Perancis sehingga tahun 1975. Dengan keluasan 2,235 kilometer persegi, rekod menunjukkan negara ini mempunyai jumlah penduduk sebanyak 846, 281 orang pada tahun 2020.
Etnik yang ada di Comoros adalah Antalote, Cafre, Makoa, Oimatsaha dan Sakalava. Oleh kerana ia termasuk dalam liga Arab, 98 peratus penduduknya adalah beragama islam.
Negara ini merupakan di antara 10 negara yang paling kurang dilawati pelancong. Walaupun begitu, Comoros sebenarnya mempunyai alam semulajadi yang indah. Tarikan yang mesti dilawati ialah Taman Laut Moheli yang merupakan kawasan pemuliharaan marin yang terletak di Pulau Moheli.
Ia adalah rumah kepada spesies terancam seperti penyu, pari manta dan ikan paus. Terumbu karang juga menjadi tumpuan pemuliharaan. Selain itu, ada Gunung Karthala, salah satu gunung berapi di Comoros. Gunung Karthala adalah titik tertinggi di Comoros pada 2,361 meter di atas paras laut.
Sebagai sebuah kepulauan, pantai di Comoros sangat cantik. Pantai yang paling indah ialah Mitsamioli. Pantai ini mempunyai pasir putih yang cantik dan laut yang biru.
6) Gabon

Gabon adalah sebuah negara kecil yang terletak di garisan khatulistiwa di pantai Atlantik Afrika. Sebagai bekas koloni Perancis, Gabon memperolehi kemerdekaan pada tanggal 17 Ogos 1960.
Biarpun negara ini kurang dikenali, namun Gabon sememangnya mempunyai tarikan pelancongan dan merupakan salah satu negara kaya di Afrika. Antara tarikan Gabon ialah Taman Nasional Lope, Taman Nasional Mayumba, Air Terjun Kongou dan Teluk Langoué.
Program realiti popular Amerika Syarikat, 'Survivor' menjalani penggambaran di Gabon pada tahun 2008.
Ada yang berkenan? Cepat rancang perjalanan anda! - Getaran, 4 Februari 2023