Mili
Filem lakonan anak kepada legenda Bollywood, mendiang Sri Devi iaitu Janvhi Kapoor ini mengisahkan tentang seorang pekerja sambilan di restoran makanan segera bernama Mili yang terperangkap di dalam bilik simpanan makanan sejuk beku selama satu malam selepas pengurusnya secara tidak sengaja mengunci bilik berkenaan.
Mili cuba untuk menyekat kipas ekzos tetapi akhirnya kakinya terkehel. Dia mula mengalami radang dingin dan darah mulai keluar dari hidungnya. Pada masa yang sama bapa Mili dan teman lelakinya mulai risau apabila Mili belum pulang ke rumah.
Pelbagai spekulasi mula timbul tentang kehilangan Mili. Malah dia disyaki diculik oleh lelaki jalanan yang pernah dilihat cuba mengganggunya. Bapa Mili dan teman lelakinya telah melaporkan kelihangannya kepada pihak polis, tetapi polis pula mengesyaki teman lelaki Mili adalah dalang di sebalik kehilangannya.
Dapatkah Mili bertahan terkurung di dalam bilik yang bersuhu -18 darjah selsius? Dapatkan mereka menemui Mili sebelum terlambat? Saksikan kesudahan filem ini hanya di Netflix. – Helmi Anuar
The Croods: A New Age
Sudah memasuki cuti panjang pasti anda ingin meluangkan banyak masa bersama anak-anak. Tak perlu keluar ke panggung wayang, apa kata anda bersantai-sangai sahaja di ruang tamu rumah sambil menonton filem yang baru memasuki Netflix, The Croods: A New Age.
Baru beberapa minggu ditayangkan, ia masih mengungguli carta 10 tontonan paling banyak di Malaysia. A New Age mengisahkan keluarga manusia, Croods yang sebelum ini tinggal di gua. Mereka kemudian bertemu keluarga moden bernama Bettermans. Maka bermulalah pelbagai pertikaian antara kedua-dua keluarga.
Merupakan sekuel kepada The Croods (2013), ia diarahkan Joel Crawford (filem cereka pertama arahannya) dan memggunakan khidmat pelakon suara latar hebat dan terkenal seperti Nicolas Cage, Emma Stone, Ryan Reynolds, Catherin Keener, Clark Duke, Cloris Leachman, Peter Dinklage, Leslie Mann dan Kelly Marie Tan. – Wafa Aula
The Father
Orang kita menggelarnya nyanyuk, tapi dari segi perubatan ia lebih dikenali sebagai Demensia – sejenis penyakit yang boleh menjejaskan fungsi kognitif otak secara berperingkat.
Menerusi The Father, sutradara Florian Zellar membawa penonton meneroka lapis demi lapis minda seorang lelaki Inggeris berusia lebih 80 tahun yang sedang bertarung dengan penyakit demensia.
Anthony (lakonan Anthony Hopkins) yang cuba memahami apa yang sedang dilaluinya, enggan dibantu. Semakin dia cuba berdamai dengan masalah nyanyuk yang dihadapi, semakin dia meragui insan tersayang disekelilingnya termasuk anaknya Anne (Olivia Colman), penjaganya Laura (Imogen Poots) dan jururawat yang membantunya, Catherine (Olivia Williams).
Filem yang melayakkan Anthony Hopkins meraih gelaran pelakon terbaik di anugerah Oscar ke-93 wajar kita saksikan kini di Netflix. – Suzan Ahmad
A Family
Filem Jepun ini bermula dengan kisah stereotaip gangster yakuza, dengan tema keganasan, pembalasan dendam dan kekejaman. Namun di pertengahan jalan ceritanya, ia berubah menjadi satu filem yang menyuntik rasa sedih terhadap pemegang watak utamanya iaitu Kenji Yamamoto lakonan Go Ayano.
A Family turut memaparkan situasi ketika undang-undang anti-samseng Jepun diluluskan pada 2010. Menerusi undang-undang ini, rakyatnya dilarang menjalankan perniagaan atau terlibat dengan yakuza manakala ahli-ahli yakuza tidak dibenarkan menyewa harta, mendaftar telefon bimbit atau membuka akaun bank.
Menariknya filem ini memaparkan keadaan selepas undang-undang berkenaan berkuatkuasa dan kesukaran yakuza memulakan kehidupan selepas itu.
Ia bermula dengan kematian bapa Kenji akibat dadah. Enggan mengikut jejak bapanya, dia dan dua rakannya mencuri dadah daripada pengedar jalanan lalu membuangnya ke dalam laut.
Perbuatan mereka mendapat perhatian seorang lelaki, Hiroshi Shibasaki, yang merupakan ketua satu kumpulan yakuza. Dia kemudiannya menjadi umpama 'bapa' kepada Kenji.
Bagaimanapun, Kenji akhirnya masuk penjara dan apabila keluar dari penjara, dia cuba berubah namun sukar. Dia berjaya mendapat pekerjaan sebagai buruh pembinaan selepas rakan bekas gangster yakuza membantunya namun tidak bertahan lama apabila identiti mereka terdedah.
Bukan hanya Kenji, teman wanitanya juga berdepan masalah dan dibuang kerja manakala rakan yang membantunya mendapatkan pekerjaan, telah ditinggalkan oleh isterinya.
Penutup cerita, Kenji ditikam rakannya yang menganggap kepulangan Kenji sebagai pembawa masalah. Filem ini boleh disaksikan di Netflix - Habibah Omar