SINTOK - Calon Gerakan Tanah Air (GTA) bagi kerusi Parlimen Port Dickson pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri antara 275 graduan menerima ijazah pada hari pertama Majlis Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) ke-34 hari ini.
Ahmad Idham, 51, yang merupakan pelakon dan pengarah filem terkenal tanah air menerima Ijazah Doktor Pengurusan (PhD).
Ketika ditemui pemberita selepas majlis konvokesyen itu, Ahmad Idham yang juga Ketua Penerangan GTA Negeri Sembilan berkata konvokesyen hari ini menjadi satu kelebihan untuk membuktikan kelayakan akademiknya kepada pihak yang mempertikai PhD dimilikinya.
“Saya dah pakai gelaran (Dr) ini dah dua tahun, cuma konvokesyen hari ini… adalah suara-suara netizen kata ijazah kehormatlah, (ijazah) belilah. Jadi, hari ini Alhamdulillah ini sekurang-kurangnya saya tahu dalam pilihan raya ramai akan cuba cungkil kita punya isu dan membuat banyak berita palsu,” katanya.
Ahmad Idham berkata kelayakan akademik dititikberatkan Pengerusi Penaja GTA yang juga Pengerusi Pejuang Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai antara kriteria untuk menjadi calon PRU15 selain mempunyai rekod bersih.
Ahmad Idham ditentang calon Barisan Nasional Datuk P. Kamalanthan, Datuk Seri Aminuddin Harun daripada Pakatan Harapan, Rafiei Mustapha (Perikatan Nasional) dan Abdul Rani Kulup Abdullah (Bebas).
Sementara itu, komposer dan penulis lirik terkenal, Dr Mohd Azhar Abu Bakar atau lebih dikenali sebagai Azmeer pula menerima Ijazah Doktor Falsafah (Pengurusan Industri Kreatif Warisan Budaya).

Azmeer, 56, berkata beliau dapat membanggakan bapanya, Abu Bakar Mohd Ishak, 87, selain boleh mencurah ilmu kepada generasi muda dan berhasrat membukukan tesisnya untuk rujukan anak muda.
“...ini bahan akademik (tesis) yang harus dikumpulkan untuk generasi muda. Saya suka menaip sendiri (semasa menyiapkan tesis) walaupun fizikal macam ini...walaupun perlahan, saya sabar saya buat, kadang-kadang sampai 12 jam, 14 jam sehari,” katanya yang juga Pensyarah Pusat Pengajian Industri Kreatif dan Seni Persembahan UUM.
Terdahulu, Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang juga Canselor UUM berangkat ke majlis konvokesyen itu dan berkenan menganugerahkan Anugerah Pelajaran Diraja kepada Muhammad Idhil Hashim yang merupakan graduan Sarjana Muda Falsafah, Undang-Undang dan Perniagaan serta Chuah Jing Ing, graduan Sarjana Muda Pemasaran. - Bernama