Berita Terkini

2 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 2 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 2 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019

IKUTI KAMI


Hamparan Doa Kilafairy

Kilafairy membuat kejutan pada Jun tahun lalu. Apa yang membuatkan Kilafairy berubah tiba-tiba? Ikuti temu ramah khas Getaran bersama gadis berdarah Pakistan ini.

TARA Dikemaskini 3 tahun yang lalu ยท Diterbitkan pada 17 Apr 2021 8:50AM

oleh

Wafa Aula

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Waktu itu penulis masih lagi bergelar seorang pelajar universiti. Tiba-tiba telefon penulis berbunyi menandakan ada satu pesanan baru sahaja masuk. Seorang lelaki yang cukup dikenali menghantar satu link video YouTube, ia adalah lagu cinta bertajuk 'Roman' nyanyian Roman dan Kilafairy.

Mungkin lelaki itu sedang memberikan penulis petunjuk tentang perasaannya. Mungkin kami berdua, masing-masing mendiamkan cinta dan lagu Kilafairy waktu itu seperti menyatakan apa yang kami rasa.

Penulis menceritakan peristiwa itu kepada Kilafairy sendiri (yang lebih mesra disapa Kila) dan kami berdua ketawa mengenangkan babak cinta konyol yang tak jadi itu. Namun peristiwa itulah yang menjadikan Kila sangat dekat dengan hidup penulis tanpa dia mengetahuinya.

Memandangkan umur kami tidak jauh beza, kami cepat mesra dan temu ramah petang itu yang ditemani kekasih hatinya Sa’aid Umar Aiman menjadi seperti sesi lepak dan sembang antara kawan-kawan.

Apalagi Syakila Nisha Jangir Khan orangnya tidak hanya mempunyai seraut wajah jelita, malah personalitinya juga menyenangkan mudah diajak bicara.

Mewarisi bakat ibunya, Rohana Jalil yang juga merupakan penyanyi terkenal era 1980-an. Kila menyambung minat dan cinta dalam bidang seni yang menjadikan selebriti itu tidak sekadar boleh bernyanyi, malah berlakon pelbagai jenis watak di hadapan kamera. 

Beliau memulakan karier lakonan pada 2010 menerusi drama 'Mistik Alam Hitam.' Tidak lama selepas itu, Kila melebarkan sayap dalam bidang nyanyian menerusi single sulung pertamanya bertajuk 'Pasti' pada tahun 2012.

Ini bermakna, sudah lebih sedekad Kila berada dalam industri hiburan tanah air. Ia bukanlah tempoh masa yang sekejap untuk diceritakan. Banyak asam garam dunia hiburan telah ditelan gadis berumur 29 tahun ini.

Pernah digelar Angelina Jolie Malaysia, Kilafairy selalu sahaja dilabel sebagai gadis seksi. Beliau pernah dikecam hebat apabila ada sahaja gambarnya yang mencolok mata mengundang perasaan kurang senang masyarakat.

Mengenang kembali kontroversi yang terjadi beberapa tahun yang lalu itu, Kila tersenyum tenang tidak melatah.  

“Kalau tengok semula gambar seksi saya dulu, jujur saya kata. Saya tak menyesal. Saya percaya apa yang terjadi di masa lampau, itulah yang menjadikan siapa Kila pada hari ini. Adalah terdetik kalaulah saya berhijab lebih awal mungkin lebih baik. Tapi tak mengapalah, benda sudah jadi,” katanya.

Kila membuat kejutan pada Jun tahun lalu apabila rakan selebritinya, Neelofa memuat naik sebuah video mengesahkan gadis berdarah kacukan Pakistan itu sudah berhijab. Satu per satu gambar berimej seksi yang pernah ada di laman Instagram milik Kila dipadam.

Apa yang terjadi waktu itu? Apa yang membuatkan Kilafairy berubah tiba-tiba? Panggilan demi panggilan diterima Kila pada hari itu. Dari wartawan, kawan mahupun sahabat handai semua saling tertanya-tanya perubahan yang dilakukan Kila. Namun tiada satu pun panggilan yang berangkat. 

“Bukannya saya sombong ke apa. Tapi waktu itu, saya kalau boleh memang tak nak buat kecoh. Bertudung ini perkara wajib, tapi yalah, saya pula barulah nak pakai. Saya segan.

“Sebenarnya hasrat untuk pakai tudung ini dah lama terdetik sejak dua tahun lepas. 

“Saya kerap bertanya kepada kawan-kawan macam mana mereka boleh kuat nak bertudung. Tapi bila dengar orang kata pakai tudung ini susah, saya tangguhkan dulu hasrat itu. Saya takut bila saya dah bertudung, tiba-tiba saya buka balik,” ceritanya.

Sebenarnya pada hari pertama Kila menyarungkan kerudung di atas kepala. Tak ada sesiapa pun yang mengetahuinya. 

“Saya pun terkejut. Yalah, saya pun tak tahu dia nak bertudung. Saya tanya, adakah awak pakai tudung ini untuk selama-lamanya? Lepas itu Kila mengiyakan. Saya seronok, saya gembira untuk dia. Subhanallah,” kekasih hati Kila, Sa’aid mencelah. 

“Betul, tak ada seorang manusia pun tahu yang saya nak bertudung. Ini semua memang antara saya dengan Allah. 

“Saya cuma terfikir, dunia ini sementara. Apakah bekalan yang saya ada? Kalau saya mati esok, apa akan jadi kepada saya? 

“Tak ada perancangan langsung bila saya nak berhijab. Saya ingat lagi, suatu hari saya bangun. Lepas itu saya turun bawah jumpa mama. Saya terus tanya ‘mama ada tudung tak?’ lepas itu saya pakai,” sambut Kila.

Ditanya apakah reaksi yang diberikan kedua orang tuanya. Kila tersenyum sebelum bercerita. 

“Mama macam ‘biar betul dia ni’, ayah pula gembira dan peluk Kila.” Video reaksi itu pernah dikongsikan Kila di laman YouTube sebelum ini.

Kila mendedahkan, beberapa bulan sebelum dia mengambil keputusan untuk berhijrah. Beliau sudah terlebih dahulu melakukan perubahan sedikit demi sedikit. 

“Saya mulakan dengan pakai pakaian yang longgar. Mana-mana baju yang seksi ada yang saya buang. Ada bagi kawan.

“Mana baju eksklusif daripada pereka fesyen, saya pulangkan semula kepada mereka. Apa yang paling penting sebenarnya doa,” dedah Pemegang Diploma Pengurusan dan Pemasaran Fesyen, Kolej Antarabangsa Raffles, Kuala Lumpur ini.

“Dalam tempoh beberapa tahun ini, hari-hari saya doa 'Ya Allah jadikanlah aku Muslimah yang lebih baik. Show me, show me, make me scared.' Itulah yang saya ulang hari-hari sehinggalah Allah jawab doa saya.”

“Jadi macam mana kehidupan lepas berhijab ini?” tanya penulis. 

Dalam tempoh enam bulan mengenakan hijab, Kila mengakui bahawa hidupnya terasa sangat tenang dan lapang sekali. 

“Niat saya nak bertudung memang semata-mata kerana Allah. Jujurnya, saya serahkan bulat-bulat urusan rezeki kepada Yang Maha Kuasa. Tapi Alhamdulillah, dalam tempoh enam bulan ini tak adalah ujian yang sangat berat. Tenang sahaja semuanya. Semua urusan dimudahkan.

“Kalau nak cakap tentang rezeki, Subahanallah macam air masuk. Ada sahaja rezeki tak berhenti.

“Bila berhijab, kehidupan dan persepsi Kila berubah serta merta. Kalau dulu bila dengar sahaja orang berceramah rasa cepat-cepat nak tutup.Tapi sekarang, saya lagi nak dengar sebab nak tahu lebih.

“Bila saya pakai tudung, taklah menunjukkan yang saya alim. Saya pun masih belajar, masih pergi usrah. Masih cuba sempurnakan solat,” katanya yang menggemari ceramah daripada Ustaz Wadi Annuar. 

Lucunya, sebaik sahaja Kila berhijab. Ramai makcik bawang tiba-tiba mesej di laman Instagram meminta maaf kerana berkata yang buruk kepada gadis itu sebelum ini. 

“Mereka minta maaf sebab banyak komen dan cakap saya bukan-bukan sebelum ini. Sebenarnya kata-kata buruk yang dilemparkan orang kepada saya, tak pernah sedikit pun masuk dalam hati. Sebelum pakai tudung pun saya dah maafkan mereka,” tambahnya.

Pernah berduet dengan artis antarabangsa Sean Kingston menerusi lagu ‘Put The World In’, bakat nyanyian Kila memang sayang jika dibuang begitu sahaja. Nampaknya gadis manis itu memberi khabar gembira apabila bakal hadir dengan sebuah lagu baru berjudul ‘Ratu’.

“Lagu tersebut sudah dirakam dan kami sedang dalam proses untuk menghasilkan video muzik. Tapi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan, kami terpaksa tunda projek tersebut.”

Mengenali Kila yang serius dalam menghasilkan karya yang bermutu, sudah tentu lagu bergenre pop itu bakal tampil segar dan memeriahkan industri muzik tanah air. Selain itu, Kila masih aktif berlakon cuma sedikit memilih projek yang bersesuaian dengan dirinya. 

Penulis mengalihkan pandangan kearah Sa’aid yang sedang menikmati kek (temu ramah ini diadakan sebelum Ramadan).

“Jadi Sa’aid, bercinta dah lama. Kila pun dah berhijab, sejuk mata memandang. Bila pula nak ke jinjang pelamin?” sengaja memancing soalan sempat membuat lelaki itu terkedu seketika.

“Eh, sempat pula ya dia,” pasangan kekasih itu tertawa. 

“InshaAllah. Kami akan percepatkan urusan perkahwinan,” kata mereka yang sudah saling mengenali sejak 12 tahun lalu. Masing-masing memohon doa agar mereka disatukan dengan penamat yang baik.

April ini menjadi Ramadan pertama Kilafairy berhijab, sudah tentu ia bakal menjadi sesuatu yang baru serta bermakna buat pelakon filem Karak itu.

“Kalau ada niat untuk berubah, jangan putus doa. Teruskan meminta agar Allah lembutkan hati. Jangan berubah sebab orang atau sebab nak ikut trend semasa. Jangan pula takut tentang rezeki kerana semua perkara datang daripada Allah. 

“Tak mungkin Dia akan beri kita perkara buruk bila kita melakukan perkara yang baik.

“Setiap orang mempunyai ujian yang berbeza. Semoga Allah memudahkan jalan untuk kita. Iman ini macam bateri telefon. Kalau kita tak cas, nanti dia mati,” tambahnya lagi. 

Bertahun-tahun Kila bertarung dengan suara kerisauan yang ada dalam kepalanya. Selama itu juga dia tidak berhenti berdoa sehinggalah suatu hari gadis itu bangun dari tidur dan berkata 'inilah harinya.'

Kila membulatkan hasrat, menguatkan tekad. Jalan yang ditempuhnya selepas itu nyata berbeza. Namun tidak sedikit pun dalam hatinya ingin kembali kepada kehidupan lamanya. 

Rupanya selama ini Tuhan mendengar segala permintaan Kila tanpa dia mengetahuinya. Rupanya Tuhan mengerti kerisauan, cemas, keraguan yang berdebat dalam jiwa seorang Kila. Sehingga akhirnya, doa-doa itu semua diperkenankan oleh Tuhan Yang Maha Cinta.

Begitu juga kita, semoga takdir merestui segala permintaan kita, selayaknya. - Getaran, 17 April 2021.

DI SEBALIK TABIR PEMBIKINAN WAJAH TARA - GETARAN

Wajah TARA : Kilafairy

Editor Getaran: M. Zulkifli Abd Jalil

Penyelaras : Shah Shamshiri

Teks : Wafa Aula

Suntingan : Ili Farhana

Penata Gaya : Nurul Azwa (Gune)

Busana : SAA Studios

Solekan: Saidatulnisa

Jurugambar : Mohd Azim Rahman

Video Belakang Tabir : Muharram Kasim

Rekaletak: Hanif Zahari

Lokasi : Gallery des Artistes (Terima Kasih Puan Edith Ho dan suami)


 

Isu Pada

Hamparan Doa Kilafairy

17 Apr 2021

Berita Berkaitan

1

Sukan 1 minggu yang lalu

Pecahkan Dominasi JDT Musim Ini - Azman Adnan

2

Luar Negara 3 minggu yang lalu

Singapura Rampas 1.5 Tan Produk Segar, Makanan Proses Dari Malaysia

3

Semasa 3 minggu yang lalu

Anwar Terima Kunjungan Menteri Luar India

4

Sukan 3 minggu yang lalu

Beraksi Di Laman Sendiri Gagal Bantu Harimau Malaya Saingi Kehebatan Oman

Sorotan

1

Jenazah Tun Hanif Omar Selamat Dikebumikan Di Bukit Kiara, Sebelah Pusara Anaknya

2

Anwar Beri Penghormatan Terakhir Kepada Mendiang Joseph Kurup

3

DNB Telus Dalam Jalankan Operasi

4

Malaysia, Thailand Tingkatkan Kerjasama Perangi Jenayah Rentas Sempadan

5

Lelaki Sindrom Down Melecur Disimbah Air Panas Dalam Lif

6

8 Aksi Pramusim Digunakan Untuk Uji Sistem VAR - Stuart