Langganan kereta atau ‘subscription’ adalah cara terbaharu pemilikan sebuah kenderaan di dalam negara kita.
Ia hampir seperti konsep pajakan atau ‘leasing’ yang ditawarkan kepada syarikat-syarikat, tetapi jauh lebih lengkap dan lebih sesuai untuk individu.
Di Malaysia, cara tradisional pemilikan kenderaan adalah sistem sewa beli, di mana faedah dikenakan ke atas jumlah asas pinjaman.
Contoh paling mudah ialah jika anda mengambil pinjaman sewa beli kenderaan sebanyak RM100,000 untuk sembilan tahun dengan kadar faedah 2.5 peratus, faedah yang anda perlu bayar ialah RM22,500.
Jumlah faedah sahaja sudah hampir harga skuter Yamaha XMAX 250!
Dan jika anda mahu melangsaikan hutang kereta itu dalam tempoh separuh masa pinjaman asal, pihak bank akan memastikan anda turut membayar 80 peratus jumlah faedah dari pinjaman asal (Rule of 78).
Pinjaman syariah atau tidak, ini adalah dunia perbankan moden - keuntungan ialah apa yang bank mahukan tidak kira apa cara.
Jadi, adakah melanggan cara yang terbaik? Kita cuba upas satu persatu.

Bayaran muka mana lebih tinggi?
Untuk pinjaman sewa beli, anda perlu membayar 10 peratus dari harga kenderaan tersebut.
Untuk skim langganan, anda perlu meletakkan deposit yang akan dipulangkan apabila kontrak anda tamat.
Deposit yang diminta adalah jauh lebih rendah. Contohnya, Renault Subscription cuma meminta deposit RM2,500 untuk Captur yang berharga hampir RM100,000.
Bayaran bulanan mana lebih tinggi?
Sekiranya kita mengambil pinjaman jangka pendek tiga tahun, bayaran untuk langganan adalah lebih murah sebenarnya.
Tetapi jika anda mengambil pinjaman tujuh ke sembilan tahun, bayaran ansuran sewa beli adalah lebih rendah.

Kos penyelenggaraan?
Untuk skim sewa beli, kos penyelenggaraan tidak dimasukkan sekali.
Untuk langganan, kos servis, insurans dan cukai jalan sudah dimasukkan ke dalam pakej. Ini lebih menguntungkan.
Namun begitu, kebanyakan syarikat kereta sudah pun memberikan pakej servis percuma untuk tiga hingga lima tahun dan ini menjimatkan bagi mereka yang membeli kenderaan baharu.
Susut nilai?
Untuk sewa beli, semestinya susut nilai kenderaan akan jatuh ke bahu pembeli.
Untuk skim langganan, tidak ada kerugian susut nilai kerana selepas tamat tempoh, anda pulangkan kereta tersebut dan ambil balik deposit anda atau anda simpan deposit dan ambil kereta model terbaharu.
Dalam bab ini, langganan nampak lebih menarik, terutama untuk kenderaan-kenderaan dengan susut nilai yang tinggi.
Had perbatuan
Jika anda membeli kenderaan anda, pihak bank tidak meletakan sebarang syarat had perbatuan tahunan.
Namun begitu, untuk skim langganan, ada had perbatuan yang akan diletakkan kepada anda. Selalunya, antara 15,000 ke 20,000km setahun.
Ada juga yang meletakan had perbatuan bulanan, contohnya tidak boleh melebihi 1,000km sebulan.
Jika anda mahu meningkatkan had perbatuan, anda perlu membayar fi atau meningkatkan bayaran bulanan langganan anda.

Modifikasi?
Untuk kenderaan sewa beli, pihak bank tidak melarang anda untuk melakukan apa jenis modifikasi.
Anda boleh beli sebuah Proton Saga hari ini dan esoknya anda bebas untuk memasang segala jenis sayap dan kepak pada kereta anda itu.
Untuk langganan, modifikasi tidak dibenarkan langsung. Jika anda menambah aksesori, contohnya sistem audio, anda perlu memasang balik unit asal sebelum memulangkan kenderaan tersebut.
Jika ada sebarang kecacatan atau kerosakan pada kenderaan langganan, kos pembaikan akan dipotong dari deposit anda.
Kesimpulannya, mana yang lebih afdal?
Jika anda mahu memiliki kenderaan itu untuk satu jangka masa panjang, seperti lima tahun dan ke atas, skim pinjaman sewa beli masih menguntungkan.
Jika anda mahu menggunakan sebuah kenderaan untuk tempoh yang lebih pendek, atau anda suka menukar kenderaan anda setiap tiga tahun, sistem langganan lebih praktikal.
Ia juga sesuai untuk orang asing yang mahu menggunakan kereta di Malaysia untuk tempoh mereka tinggal di sini.
Langganan kereta juga sesuai untuk kenderaan syarikat kerana ada banyak kawalan dan kos penyelenggaraan serta susut nilai tidak wujud.
Pastinya syarikat langganan kenderaan adalah lebih telus, lebih profesional dan lebih mudah dari memajak kenderaan dari syarikat-syarikat kecil atau dari individu.
Buat masa sekarang, tidak ada banyak syarikat yang menawarkan pakej langganan kenderaan di Malaysia.
Kita ada Flux Malaysia, Renault Subscription , GoCar, Nissan Malaysia tetapi hanya untuk kereta elektrik Leaf sahaja dan Kinto One yang khusus untuk model-model Toyota dan Lexus.
Langganan kenderaan ini dilihat oleh industri sebagai langkah permulaan untuk perubahan konsep pengangkutan di mana kita tidak lagi memiliki kenderaan, tetapi hanya menyewa bila ia diperlukan sahaja.
Untuk Malaysia, sebelum itu berlaku, sistem pengangkutan awam perlu lebih mantap dan lebih lengkap.
Selagi itu tidak berlaku, kita akan tetap menyambar kunci kereta untuk ke mamak yang terletak 200 meter dari rumah. - Getaran, 10 April 2021