Berita Terkini

2 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 1 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 2 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019

IKUTI KAMI


Wrestlemania Kembali Gemilang?

Wrestlemania adalah ibu kepada semua acara gusti setiap tahun. Bagaimanakah impak COVID-19 kepada acara tahunan kegemaran ramai seluruh dunia ini?

TARA Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 04 Apr 2021 8:45AM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Wrestlemania merupakan acara terbesar sukan gusti profesional. Jika sukan bola sepak mempunyai temasya Piala Dunia, American Football berbangga dengan Superbowl, maka Wrestlemania adalah ibu kepada semua acara gusti yang dianjurkan oleh World Wrestling Entertainment (WWE) pada setiap tahun.

Bermula pada 1985 di Madison Square Garden, pemilik WWE Vince McMahon mencetuskan idea ‘gila’ untuk menganjurkan acara tahunan terbesar ini khusus bagi menjadikan gusti profesional sebagai sebahagian daripada budaya pop arus perdana, sekali gus meletakkan ia sebagai salah satu medium hiburan paling dinanti-nantikan oleh peminat gusti di seluruh dunia.

Dalam acara sulung Wrestlemania itu, ia bukan sahaja menampilkan bintang gusti sensasi ternama, malah turut melibatkan beberapa selebriti hiburan bagi menarik lebih banyak spotlight untuk acara itu.

Manakan tidak, acara utama menyaksikan bintang gusti pujaan ramai Hulk Hogan bergandingan dengan pelakon aksi ternama Mr. T menentang pasangan penggusti berhaluan kiri ‘Rowdy’ Roddy Piper dan Mr. Wonderful, dengan Hogan dan T akhirnya dijulang sebagai pemenang serta disambut dengan sorakan kegirangan penonton yang memenuhi The Garden waktu itu.

Hasilnya, ia memperoleh keuntungan berganda dan berjaya meraih tumpuan media arus perdana. Tradisi Wrestlemania kemudiannya diteruskan setiap tahun.

Malah kualiti penganjuran juga semakin meningkat saban tahun dengan pertambahan jumlah penonton dan venue yang semakin luas khusus bagi menyantuni para peminat gusti yang datang dari setiap pelosok dunia dan sanggup berhabis ribuan dolar hanya untuk temasya sehari semalam itu.

Beberapa rakan penulis sendiri pernah terbang ke Amerika Syarikat untuk hadir ke acara Wrestlemania beberapa tahun lepas.

Apabila ditanya, mereka menyatakan yang lebih daripada RM12,000 dibelanjakan untuk kos penerbangan pergi dan balik, penginapan, tiket dan sebagainya. Itu hanya untuk seorang peminat. Bayangkan jika ratusan ribu orang membanjirinya. Manakan tidak ia mampu mendatangkan senyuman di bibir Vince McMahon hasil laba yang dijana daripada acara Wrestlemania ini.

Dari arena yang hanya mampu memuatkan 20,000 ke 30,000 penonton, WWE beralih ke arena yang lebih besar seperti stadium yang mampu memuatkan sehingga lebih 100,000 penonton pada satu-satu masa.

Acara Wrestlemania 32 pada 2016 contohnya mencipta rekod tersendiri apabila berjaya menghimpunkan 101,763 penonton di AT&T Stadium di Arlington, Texas. Satu angka yang begitu membanggakan walau pun ramai yang mendakwa sukan gusti itu sudah kurang peminatnya.

Namun segalanya berubah pada tahun lalu. Tahun 2020 yang dijangkakan akan menjadi sejarah dan mencipta momen gilang-gemilang tiba-tiba berlaku plot twist yang langsung tidak dijangka.

Pandemik COVID-19 yang bermula pada November 2019 di Wuhan, China mula menampakkan taringnya apabila menjangkiti seluruh dunia bermula pada Februari 2020 sehingga memaksa kerajaan di seluruh dunia menutup sempadan masing-masing.

Setiap orang juga diarah duduk di rumah dan tiada sebarang aktiviti keramaian dibenarkan.

Pihak WWE yang telah berbulan-bulan merancang acara Wrestlemania untuk edisi ke-36 mula pening kepala. Manakan tidak, jualan tiket telah bermula, set produksi telah disiapkan, perjanjian dengan penaja telah termeterai.

Dan yang paling mustahak, Raymond James Stadium di Tampa, Florida yang telah dipilih menjadi tuan rumah telah bersedia menerima kedatangan lebih 70,000 orang penonton. Namun natijah pandemik COVID-19 yang begitu menggigit, menyebabkan semuanya terpaksa dibatalkan dan pelan baharu terpaksa dirangka. Sama ada Wrestlemania 2020 ini perlu diteruskan atau ditangguh ke tahun berikutnya.

Akibatnya, bermula pada 13 Mac 2020, acara Raw, Smackdown dan NXT yang sebelum ini diadakan di beberapa arena besar, terpaksa beralih ke WWE Performance Centre yang merupakan pusat latihan untuk para penggusti baharu WWE.

Kesemua acara diadakan secara tertutup tanpa kehadiran penonton dan rakaman diadakan dengan mematuhi semua garis panduan dan peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan bagi menghentikan penularan COVID-19.

Setelah mengambil kira semua aspek, WWE mengambil keputusan untuk meneruskan juga acara Wrestlemania 36. Namun ia mencipta sejarahnya yang tersendiri apabila buat pertama kali, Wrestlemania dianjurkan tanpa kehadiran penonton dan hanya mengambil tempat di WWE Performance Centre.

Bagi membebat luka kekecewaan akibat Wrestlemania tidak dapat dianjurkan seperti apa yang dirancang, WWE dengan tema Too Big For One Night menganjurkan Wrestlemania selama dua hari berturut-turut iaitu pada 25 dan 26 Mac 2020.

Tidak dinafikan, selama ini yang menghidupkan kemeriahan sesebuah acara itu adalah penonton. Sorakan dan cemuhan para penonton terhadap bintang gusti kegemaran dan yang dibenci amat signifikan serta kritikal bagi menambah rencah gegak gempita sesebuah perlawanan. Kerana itulah gusti memaparkan dua sisi penggusti iaitu baik dan jahat.

Oleh itu, tanpa kehadiran penonton yang menggamatkan suasana, maka acara gusti itu akan menjadi janggal dan boleh dikatakan kurang daya penarik untuk diikuti.

Begitulah apa yang disaksikan di acara Wrestlemania tahun lalu. Tidak dapat disangkal, senarai perlawanan yang telah dimuktamadkan tidak kurang hebatnya. Malah sejajar dengan norma baharu, beberapa perlawanan turut diubah coraknya menjadi lebih sinematik, membuatkan kita sebagai penonton ibarat menyaksikan sebuah filem.

Justeru itu, perlawanan yang diberi nama Boneyard Match di antara AJ Styles dan The Undertaker begitu mencuri tumpuan dan mendapat pujian banyak pihak. Walaupun ia hanya perlawanan bersifat sinematik dan dirakam lebih awal. Begitu juga perlawanan Firefly Fun House antara Bray Wyatt dan John Cena yang sangat mengelirukan. Sehingga memaksa para peminat berfikir secara aras tinggi tentang misteri di sebalik naratif perlawanan tersebut.

Ada juga perlawanan yang terpaksa diubah saat akhir. Bintang legenda Goldberg yang ketika itu memegang gelaran sebagai Juara Universal sepatutnya menentang Roman Reigns. Namun disebabkan Roman baru pulih daripada penyakit leukemia dan menjadi golongan berisiko ketika penularan wabak ini, maka tempatnya digantikan dengan Braun Strowman.

Tapi ia merupakan sesuatu yang baik juga buat The Monster Among Men apabila beliau berjaya menewaskan Goldberg dan seterusnya bergelar juara dunia di WWE buat pertama kali.

Biar pun tanpa kehadiran penonton, persembahan yang ditonjolkan oleh setiap bintang gusti yang beraksi sama sahaja seperti ketika adanya penonton. Kevin Owens menghempas badannya ke atas Seth Rollins dari ketinggian beberapa kaki, perlawanan bertangga di antara Kofi Kingston, Jey Uso dan John Morrison bagi merebut Kejuaraan Beregu Smackdown juga tidak kurang hebatnya.

Tidak dilupakan, perlawanan utama bagi perebutan Kejuaraan WWE di antara Drew McIntyre yang merupakan pemenang Royal Rumble 2020 menentang juara bertahan Brock Lesnar.

Drew akhirnya berjaya menumbangkan Brock Lesnar dan menjadi Juara WWE buat pertama kali setelah hampir dua dekad di dalam industri ini. Biar pun gembira, namun rasa ralat masih bersisa di hati Drew kerana kemenangannya itu tanpa kehadiran penonton.

Jika tidak, pasti ia akan menjadi sesuatu yang amat bermakna buat dirinya. Namun apalah yang hendak dikata, pandemik COVID-19 merubah segalanya.

Kini setelah setahun berlalu dan COVID-19 yang mula menampakkan suasana reda dengan penghasilan vaksin, acara Wrestlemania 36 bertemakan lanun laut dalam yang tertangguh tahun lalu akan kembali diadakan di pentas yang sama iaitu Raymond James Stadium pada 11 dan 12 April ini mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Dua malam Wrestlemania akan berlangsung dan yang menariknya, ia akan dihadiri separuh daripada kapasiti penuh penonton yang boleh dimuatkan stadium. WWE sendiri dalam satu kenyataan menyasarkan jumlah kehadiran penonton sebanyak 45,000 bagi setiap malam dan semua perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan dengan penjarakan fizikal serta perlu memakai pelitup muka setiap masa.

Beberapa perlawanan menarik turut dimuktamadkan bagi menggamit keterujaan penonton. Antaranya perlawanan bagi merebut Kejuaraan Universal WWE di antara Roman Reigns dan Edge yang merupakan pemenang Royal Rumble 2021, Drew McIntyre menentang Bobby Lashley bagi Kejuaraan WWE dan banyak lagi perlawanan yang tidak kurang hebatnya.

Dengan kehadiran semula penonton, pastinya kemeriahan Wrestlemania akan kembali terasa dan terus meletakkan acara ini di kelasnya yang tersendiri.

Seakan ingin meng’qada’ segala yang terencat tahun lalu, minggu Wrestlemania kali ini penuh dengan acara tanpa henti setiap hari.

Bermula dengan acara Raw, Smackdown, NXT Takeover: Stand & Deliver yang juga berlangsung selama dua malam dan juga majlis penganugerahan Hall Of Fame WWE yang turut menghimpunkan penerima anugerah tahun lalu dan tahun ini di dalam majlis yang sama.

Bukan itu sahaja, beberapa promotion gusti lain seperti All Elite Wrestling dijangka menumpang kemeriahan Wrestlemania tahun ini dengan bersama-sama menganjurkan beberapa acara penting dalam minggu tersebut.

Memang penuhlah jadual pengembara yang akan hadir pada acara Wrestlemania ini nanti.

Sebagai peminat gusti, Wrestlemania ini boleh diibaratkan Hari Raya kepada mereka. Seperti juga sambutan Hari Raya yang tidak dapat disambut meriah tahun lalu natijah daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) begitulah juga apa yang dirasai dengan Wrestlemania tahun lalu.

Justeru diharapkan Wrestlemania 37 yang akan berlangsung hanya beberapa minggu dari sekarang akan mengubat semula kekecewaan tahun lalu dan kembali menjadi acara yang disebut-sebut peminat gusti dari dulu, kini dan selamanya.

Memetik kata-kata yang pernah diungkapkan Vince McMahon di tahun-tahun awal penganjuran temasya gilang gemilang ini, “Welcome ‘back’ to Wrestlemania!” - Getaran, 4 April 2021

Semua gambar: WWE.com

Isu Pada

Mungkin Ini Kisah Paling Sedih – Naim Daniel

03 Apr 2021

Berita Berkaitan

1

Sukan 4 hari yang lalu

Sze Fei-Nur Izzuddin Tewas Di Final BAC 2024

2

Sukan 1 minggu yang lalu

Perlawanan Piala Sumbangsih 2024 Diadakan 10 Mei

3

Sukan 1 bulan yang lalu

Harimau Malaya Berlepas Ke Oman Tanpa Matthew Davies

4

Sukan 3 bulan yang lalu

Geran KWASN Diperluaskan Kepada Atlet Persendirian

Sorotan

1

Lelaki Sindrom Down Melecur Disimbah Air Panas Dalam Lif

2

8 Aksi Pramusim Digunakan Untuk Uji Sistem VAR - Stuart

3

Misi Hantar Bantuan Kemanusiaan Ke Gaza Dengan Kapal Tetap Diteruskan - Ann Wright

4

PRK Kuala Kubu Baharu: Kerajaan Perpaduan Ada Kaedah Pastikan Calon Menang

5

Pemain Badminton Negara Pamer Kekuatan Mental Menjelang Piasa Thomas, Uber

6

Pelajar Sekolah Meninggal Dunia Ketika Acara Larian Rentas Desa

7

Lelaki Israel Miliki Senjata: 10 Individu Ditahan Bawah SOSMA