Berita Terkini

2 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 3 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


#Sheinspiresme: Raikan Perjuangan Wanita Bangkit Menempuh Cabaran

Sempena sambutan Hari Wanita Sedunia 2022, Twitter membawakan kempen #SheInspiresMe untuk meraikan peranan dan sumbangan golongan wanita dalam memberi inspirasi kepada komuniti mereka.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 20 Mar 2022 1:32PM

Gambar Hiasan, Pexels

oleh

Rahayu MN

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Sempena sambutan Hari Wanita Sedunia 2022, Twitter membawakan kempen #SheInspiresMe di seluruh Asia Tenggara untuk meraikan peranan dan sumbangan golongan wanita dalam memberi inspirasi kepada komuniti mereka. 

Hari Wanita Sedunia bertujuan membentuk masyarakat seimbang serta menghormati setiap pencapaian dari segi sosial, ekonomi, budaya dan politik para wanita yang telah bangkit untuk memecahkan stereotaip dan menggunakan #KuasaWanita.

Dalam meniti arus globalisasi ini, wanita menggunakan Twitter sebagai pemangkin perbualan berkaitan isu-isu semasa termasuk tentang hak wanita, akses kepada sumber maklumat dan isu sosial.

#WomenOnTwitter menyumbang, membentuk dan membangkitkan beberapa peristiwa penting di Twitter. 

Melalui perbualan ini, golongan wanita dapat berjumpa dengan komuniti yang mempunyai pandangan dan hala tuju yang sama. Hal ini dapat memberi inspirasi kepada mereka untuk kekal bersatu dalam usaha memberi impak pada era ini.

Berikut adalah senarai akaun Twitter wanita-wanita yang suaranya mungkin anda ingin dengari sebagai sumber inspirasi. 

 

Alina Amir (@alinaamir) - Pengasas Bersama Arus Academy

Merupakan graduan University of Illinois di Urbana Champaign dan mempunyai pengalaman sebagai penganalisa di Accenture Management Consulting selama setahun.

Alina mengambil langkah untuk menyertai gerakan Teach For Malaysia (TFM) dalam usaha membanteras ketidakadilan dalam sistem pendidikan. 

Pada 2014, Alina tercalon mewakili Malaysia di World Innovation Summit for Education di Doha, Qatar. Pengalaman di TFM telah membuka mata beliau bahawa lebih banyak perkara yang perlu dilakukan selepas Fellowship dua tahun untuk benar-benar menyelesaikan ketidakadilan sistem pendidikan. 

Alina bersama-sama tiga alumni TFM memulakan Arus Academy dengan harapan untuk menjadi sebahagian daripada penyelesaian dalam memberi inspirasi dan motivasi kepada pelajar menanam minat untuk belajar dan mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian mereka.

Arus Academy menawarkan program kurikulum berkaitan falsafah Maker Education, komputer dan STEM kepada pelajar yang kurang berkemampuan. 

 

Boo Su Lyn (@boosulyn) - Ketua Editor di CodeBlue

Ketua Editor di CodeBlue, Boo Su-Lyn merupakan definisi wanita perkasa. Misi hidupnya adalah untuk menangani isu serangan seksual, salah laku etika dan isu penjagaan kesihatan. 

Su-Lyn sentiasa bersuara berkenaan isu-isu ini di Twitter dan menurutnya, Twitter adalah platform terbaik untuk menyampaikan maklumat yang kompleks terutamanya dalam bidang kesihatan, sains dan perubatan dalam bahasa yang ringkas. 

Dalam misinya menyampaikan berita yang kompleks dalam bahasa ringkas untuk rakyat Malaysia, Su-Lyn juga menggunakan Twitter sebagai alat advokasi untuk abstrak Rang Undang-undang kerajaan mengenai kawalan penyakit berjangkit dalam konteks kehidupan sebenar. 

Dengan cara ini, rakyat Malaysia dapat memahami impak dan ketidakadilan penalti yang dikenakan terhadap salah laku COVID-19.

Baru-baru ini, Su-Lyn telah melancarkan Ova, sebuah laman berita yang membicarakan isu berkaitan kesihatan wanita serta perkara-perkara lain seperti ruang pekerjaan, hak wanita dalam seks dan hal rumah tangga. 

“Lelaki mahupun wanita perlu hentikan stereotaip terhadap jantina dan mengenal pasti diskriminasi jantina sistemik dan bebannya yang lebih berat ke atas wanita.

Sebagai contoh, wanita bekerjaya memikul tanggungjawab membesarkan anak dan mengurus hal rumah tangga yang lebih berat. Golongan lelaki hendaklah memberi sokongan kepada pasangan dalam usaha mencapai matlamat mereka.”

 

Dr. Amalina Che Bakri (@DrAmalinaBakri) - Pakar Bedah Am, National Health Service UK

Rakyat Malaysia tidak asing dengan Dr. Amalina, seorang gadis muda yang pernah menggemparkan setiap isi rumah pada tahun 2004 apabila beliau memecahkan rekod bilangan A1 yang dicapai oleh seorang pelajar dalam sejarah pendidikan Malaysia. 

Kini Felo Penyelidik Klinikal di Imperial College London, Dr. Amalina terkenal dengan semangatnya dalam memperjuangkan hak wanita. Beliau menggunakan Twitter sebagai medium untuk memperkasakan wanita untuk merealisasikan impian mereka, memecahkan stereotaip, serta berkongsi petua kesihatan dan perubatan. 

Beliau turut berkongsi pengalaman menarik yang beliau lalui sendiri tentang stereotaip.

“Dalam suatu pembedahan kecemasan, saya pernah membedah seorang warga emas lelaki. Keesokan harinya, saya melawat beliau dan memperkenalkan diri saya sebagai pakar bedah kes tersebut.

“Saya menerangkan tentang keputusan pembedahan dan proses operasi yang telah dilakukan. Waktu itu, saya bersama-sama dengan junior yang juga rakan sekerja saya iaitu seorang lelaki warga tempatan yang tinggi dan berkulit putih. 

“Beliau memegang nota pesakit manakala saya masih dalam pakaian bedah. Selepas saya bercakap dengan pesakit selama kira-kira 10 minit, pesakit kemudian bertanya kepada rakan sekerja saya, 'Jadi, adakah kamu pakar bedah?' mengabaikan apa yang saya katakan kepadanya selama 10 minit yang lepas. Dia kemudiannya menyedari kesalahannya dan meminta maaf.”

 

Ivy Josiah (@ ivyjosiah) - Aktivis Hak Asasi Wanita

Ivy Josiah adalah seorang aktivis yang memainkan peranan penting dalam pembentukan Women’s Aid Organisation, sebuah NGO Malaysia yang memberikan bantuan kepada wanita bebaskan diri daripada keganasan rumah tangga.

Kini, Ivy bersama-sama empat organisasi wanita menerajui Tribunal Wanita pertama Malaysia. Misi tribunal adalah untuk menyediakan satu bentuk keadilan alternatif serta advokasi untuk hak wanita dan kesaksamaan jantina di negara ini.

Usaha ini akan memperkasakan suara wanita yang terjejas oleh diskriminasi jantina dan menawarkan bantuan yang dapat menzahirkan perubahan.

“Pemerkasaan adalah peribadi dan politik, anda bukan sahaja memperkasakan diri sendiri tetapi anda memperkasakan dan bekerja dengan wanita lain.”

 

Moon (@mumu_thestan) - Artis NFT

Mumu the stan, juga dikenali sebagai Munira Hamzah (Moon), merupakan seorang artis visual dan penyair tempatan yang telah mula mencipta non-fungible tokens (NFTs) sebagai sumber pendapatan. 

NTF adalah aset digital yang mewakili pemilikan item digital seperti karya seni dan barang koleksi. Dengan wujudnya NFT, artis dan pengumpul boleh menjadi pemilik kekal seni digital dan aset digital unik lain dan menjana pendapatan daripadanya.

Kisah Moon menyertai ruang NFT adalah kisah yang tidak dapat dilupakan. Ketika pandemik dan perintah kawalan pergerakan, artis kegemarannya iaitu Mike Shinoda, vokalis kumpulan Linkin Park, mula menstrim di Twitch (platform penstriman video), sebuah komuniti yang beliau cipta untuk berhubung dengan peminatnya dan membincangkan topik berkaitan seni dan muzik. 

Karya seni Moon menarik perhatian Mike Shinoda (@mikeshinoda) dan beliau turut menjadi pembeli NFT pertamanya. Mike juga mendorongnya untuk meneruskan kerja-kerja NFT demi kelangsungan hidup.

Pada tahun 2021, karya seni Moon dipamerkan di sebuah pameran seni di Art Basel, Miami. Dengan NFT, Moon menjana keuntungan dengan menjual karya seni digital. Malah, Moon turut menerima royalti daripada penjualan semula karya seninya. 

 

Nadiah Wan (@lapetitemaligne) - Ketua Pegawai Eksekutif, Thomson Hospital

Seorang wanita yang memegang pelbagai peranan penting, Nadia Wan merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Thomson Hospital, Kota Damansara dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TMC Life Sciences Bhd. 

Pada masa yang sama, beliau juga memegang jawatan sebagai Pengarah di Institute of Corporate Directors Malaysia (ICDM) dan seorang mentor bersama sebuah NGO antarabangsa, Endeavour.

Kadangkala mempunyai pandangan tersendiri, Nadiah sentiasa memanfaatkan akaun Twitter beliau untuk membantu meningkatkan lagi komunikasi tentang perihal kesihatan.

Sebagai seorang yang berkhidmat dalam industri kesihatan, Nadiah kerap berkongsi pandangan beliau tentang usaha kerajaan dalam memerangi virus COVID-19 dan sampaikan mesej kepada para pengikutnya.

Nadiah percaya bahawa dalam usaha memecahkan budaya berat sebelah, kita harus bermula dari akar umbi di mana setiap orang berpeluang menjadi versi diri mereka yang terbaik.

Tugas kita sebagai masyarakat adalah untuk membantu memudahkan proses itu supaya semua orang boleh menyumbang untuk membina dunia yang lebih baik

“Hal ini bertakuk kepada pilihan dan ianya datang daripada pemahaman pertama tentang apa yang anda inginkan untuk diri anda sendiri.

“Tidak semua wanita mahukan anak dan sesetengah wanita lebih suka menumpukan perhatian kepada keluarga daripada kerjaya mereka. Namun, berapa ramai wanita yang cukup yakin untuk menegaskan bahawa ini adalah apa yang mereka mahukan?” 

 

Nalini Elumalai (@nalinielumalai) - Aktivis Hak Asasi Manusia

Nalini Elumalai merupakan seorang aktivis yang memperjuangkan hak asasi manusia yang berpengalaman selama 15 tahun. Pada masa ini, beliau memegang jawatan sebagai Senior Malaysia Program Officer di ARTICLE 19, sebuah NGO antarabangsa yang memperkasakan hak kebebasan bersuara. 

Sebelum menyertai ARTICLE 19, Nalini memegang jawatan di NGO, Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), dan Anti ISA Movement (AIM).

“Kita perlu membuka minda dan membebaskan diri daripada norma masyarakat terhadap wanita. Jadilah diri sendiri dan jalani hidup anda tanpa sebarang penyesalan atau keraguan.

“Tidak mengapa untuk melepaskan diri dari rantai yang dikenakan pada wanita selama beberapa generasi.”

 

Suraya Zainudin (@surayaror) - Pakar Kewangan Peribadi

Seorang penulis, penceramah dan pemasar digital, Suraya juga merupakan pengasas laman web kewangan peribadi yang popular, RinggitOhRinggit.com. Selain itu, beliau juga merupakan kurator siri buku ternama Cerita Duit Orang Malaysia. 

Suraya telah banyak meluaskan ilmu kewangan peribadi di Malaysia dengan berkongsi petua, nasihat untuk berbelanja dengan bijak, simpanan dan pelaburan. Beliau juga telus dalam berkongsi maklumat berkaitan pendapatan dan kewangannya sendiri dan hal ini turut menyumbang kepada kehadiran pengikutnya yang ramai.

Berkongsi tentang maksud pemerkasaan wanita, Suraya secara peribadi berpendapat, “Bagi saya, pemerkasaan wanita bermakna tugas seorang wanita untuk menjaga keluarga, komuniti dan masyarakat, kebanyakannya pada masa ini tidak berbayar dan hal ini akan meruntuhkan mereka dari segi ekonomi dan politik.

Ia bukan hanya tentang 'melengkapkan diri dengan set kemahiran untuk berjaya dalam dunia lelaki', akan tetapi lebih kepada memperakui bahawa tugas yang dipikul secara percuma adalah sangat berharga dan layak mendapat ganjaran dari segi kewangan.”

Anda juga boleh berkongsi Senarai Twitter versi anda sendiri dengan barisan wanita yang menjadi sumber inspirasi.

Pergi ke bar navigasi dalam aplikasi Twitter anda dan klik Senarai dalam menu ikon profil anda. Sebaik sahaja anda telah membuat Senarai, tambahkan penerangan ringkas dan mulakan menambah akaun yang anda mahukan.

#SheInspiresMe adalah sebuah kempen di mana orang ramai boleh turut menyertai dengan berkongsikan inspirasi sepanjang Hari Wanita Antarabangsa atau Hari Wanita Sedunia (#IWD2022) kali ini.

Ikuti Senarai #IWD2022 Twitter untuk berhubung dengan golongan wanita yang komited dalam menyemarakkan #KuasaWanita. - Getaran, 20 Mac 2022

Gambar: Twitter kecuali Dr. Amalina dari Instagram

Isu Pada

Jiwa Bebas Fauzi Baadila

19 Mar 2022

Berita Berkaitan

1

Luar Negara 8 bulan yang lalu

Logo Baharu Twitter 'X' Diturunkan Dari Ibu Pejabat Selepas Aduan

2

TARA 8 bulan yang lalu

10 Perkara Mengenai Aplikasi X Yang Anda Perlu Tahu

3

Luar Negara 9 bulan yang lalu

Saingan Baharu Twitter, Threads Melepasi 10 Juta Pengguna, Kata Zuckerberg

4

Luar Negara 10 bulan yang lalu

Twitter Berdepan Saman AS$250 Juta Daripada 17 Penerbit Muzik

Sorotan

1

Pemangku Ketua Bahagian BERSATU  Calon PN Untuk PRK KKB

2

Najib Tak Pernah Arah Pengurusan 1MDB Pindah US$1.03 Bilion Kepada Syarikat Jho Low – Saksi

3

Keperluan Teliti SOP Latihan Udara Bergantung Laporan Siasatan – Khaled

4

Norjuma Didakwa Cederakan 3 Individu, Berbuat Khianat

5

Pengebumian Joanna Diiringi Tangisan Anaknya

6

Tragedi Helikopter TLDM : Jasad Mendiang Joanna Felicia Dikebumikan Di Serian Pagi Ini