Berita Terkini

2 minggu yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 2 minggu yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 3 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 3 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 4 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Nuansa Baharu Hip Hop: Noki, Luca Sickta Dan Kmy Kmo

Bersempena dengan Anugerah Juara Lagu ke-35, kami tampilkan tiga jejaka yang bukan sahaja finalis AJL35, tetapi juga fenomena terbaharu dunia hip hop tempatan. TARA mendekati Noki, Luca Sickta dan Kmy Kmo.

TARA Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 13 Mar 2021 8:45AM

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Seperti semua cabang seni di dunia, muzik turut berevolusi dan bergerak ubah.

Daripada genre-genre lama seperti pop, jazz, soul, rock dan bermacam-macam lagi, terlahirlah hip hop, punk, electro, heavy metal serta ajnas bunyi dan irama baharu.

Di Malaysia, evolusi ini ada diabadikan lewat Anugerah Juara Lagu (AJL), yang merupakan pertandingan lagu serta anugerah muzik paling lama dan berprestij negara.

Tanpa disedari, AJL kini bakal menyambut ulang tahunnya yang ke-35, dan sekaligus merumuskan aliran budaya muzik tempatan sepanjang 35 tahun. 

Jelas terbukti, salah satu genre baharu yang dijulang adalah hip hop, di mana genre ini berjaya menyelinap masuk ke dalam arus perdana muzik setempat.

AJL turut menjadi saksi fenomena ini sejak zaman kegemilangan kumpulan KRU lagi, saat mereka tercalon di AJL ke-9, tahun 1994.

Malah Joe Flizzow dan SonaOne pula mengukir sejarah muzik tempatan kala lagu mereka berjudul ‘Apa Khabar’ menjuarai AJL ke-29 pada tahun 2015, lantas menjadikannya lagu rap dan hip hop pertama yang menyandang kejuaraan tersebut.

Sejak itu, nuansa hip hop Malaysia terus berkembang dan semakin ramai bakat dalam bidang tersebut yang muncul setiap hari.

Bersempena dengan Anugerah Juara Lagu ke-35, kami tampilkan tiga jejaka yang bukan sahaja finalis AJL35, tetapi juga fenomena terbaharu dunia hip hop tempatan.

TARA mendekati Noki, Luca Sickta dan Kmy Kmo.

Kehidupan itu 'GILA' – Noki K-Clique

Jejaka Sabah berketurunan Sino-Kedayan di sebelah bapa dan Sungai di sebelah ibu ini hadir dengan pengurusnya.

Orangnya ramah dengan senyuman, pemilik nama Ahmad Ikhwan Aji atau lebih dikenali dengan nama pentas Noki dari kumpulan K-Clique ini tak betah dalam berbicara.

Noki berkongsi, dia tidak pernah terfikir akan sampai ke tahap ini. Terlintas pun tidak pernah.

Betullah kata orang, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu? Rezeki tak pernah salah alamat.

Akui Noki, dia tidak pernah terfikir untuk mencari rezeki dengan cara rap.

"Sebelum menyanyi, saya menari. Banyak mengikuti pertandingan menari di stesen-stesen televisyen swasta. Jadi, saya menari terlebih dahulu. Kemudian barulah menyanyi, sebelum ke bidang rap."

"Menari dan menyanyi itu ada beza, ada juga yang sama. Kita boleh menari mengikut rentak. Begitu juga dengan rap. Lebih kurang."

"Kita menyanyi ikut ‘aliran’ melodi. Sama juga seperti rap, kiraan rentak itu, saya sudah pandai mengimbanginya."

"Jadi saya sudah lama menari sedari berusia 11 tahun. Tingkatan dua saya sudah berhenti sekolah. Fokus untuk menari. Masuk rancangan menari itu dan ini. Mungkin rezeki saya lebih di bidang ini," ujarnya.

"Saya hanya sekolah sampai UPSR" – Noki 

Mendengar pengakuan Noki, membuat kami jadi panasaran. "Jadi, Noki tidak habis bersekolah?" tanya kami dalam perasaan ingin tahu. 

Seraya Noki menjawab, "Sejujurnya, saya kurang menyerlah dalam pelajaran. Sebenarnya, saya hanya sekolah sampai UPSR. PMR pun tidak."

"Semasa 14 tahun, keluarga saya berpindah dari Kota Kinabalu, Sabah ke Semenanjung di Subang Jaya, Selangor."

"Semasa berada di tingkatan dua, saya membuat keputusan untuk tidak meneruskan persekolahan. Sehari sahaja saya memasuki sekolah," tawanya mengimbas kembali memori. 

Noki memang seorang yang jujur dan bersahaja. Mendengar pengakuannya sahaja sudah tahu dia seorang yang transparent atau dalam kata mudah seorang yang telus.

Dia tidak peduli dengan cakap-cakap orang. Baginya rap adalah segala-galanya.

Sebermula, Noki bukanlah pendatang baharu dalam industri muzik, dia sudah pun berkecimpung dalam industri ini sejak belasan tahun lagi.

Mungkin ya, dia baharu dalam industri arus perdana, tetapi tidak di Sabah. Noki bintang besar. Dia bangkit setelah rebah menyembah bumi. 

"Saya anggap diri sebagai seorang perempuan" – Noki 

Jadi, sempena edisi Anugerah Juara Lagu kali ini, kami bertanyakan tentang lagu ciptaan dan nyanyiannya, ‘Gila’  yang berjaya mara ke peringkat akhir. 

Noki dengan penuh teruja menjelaskan, "Kebetulan semasa saya menulis, kita sedang berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama."

"Oleh kerana itu, liriknya berkenaan ‘keterasingan’. Minda tak terbuka, ‘terperangkap’ terlalu lama."

"Cuba bayangkan seorang gadis kampung yang datang ke Kuala Lumpur buat pertama kali. Saya bayangkan situasi itu dan saya masukkan idea."

"Saya anggap diri sebagai seorang perempuan. Situasi semasa itu sangat kena dengan lirik," ceritanya.

Tambah Noki, "'Gila' menceritakan tentang kekuatan diri dalam menangani kekalutan yang membelenggu minda dan jiwa. Menguasai rasa takut dan terus kental menjalani kehidupan."

"Kehidupan itu bagi saya adalah ‘semangat’. Apa yang kamu mahu, jangan diubah-ubah. Kalau kamu sudah tetapkan satu-satu tujuan itu, nekad untuk mencapainya."

"Kehidupan itu gila. Ada banyak cabarannya. Onak dan pancaroba yang harus ditempuhi. Kehidupan adalah cerminan diri. Kerja keras bagi mencapai matlamat."

"Dalam kehidupan ini kamu akan berjumpa banyak persimpangan. Jangan celaru. Tetapkan asa. Berserah pada Yang Esa," akhirinya.

Luca Sickta mahu muziknya mendunia 

Orangnya ramah, rancak berkongsi cerita tentang perjalanannya sebagai insan seni.

Mengalah atau kecewa pasti tiada dalam kamus hidup jejaka yang berasal dari Kuantan, Pahang ini.

Setelah lebih sedekad berkarya, akhirnya Luca Sickta berjaya menempatkan diri dalam acara muzik yang menjadi penanda aras ramai penggiat muzik tempatan, Anugerah Juara Lagu (AJL).

Biarpun ia adalah hasil gandingannya bersama Kmy Kmo, namun pencapaian ini pasti membuatkan pemilik nama sebenar Shameer Ashraf Shahruddin ini tersenyum bangga.

Ini bukti formula atau resepi yang diguna pakai mula menjentik hati ramai pendengar muzik. Pertama kali melangkah ke acara berprestij, debarannya pasti bukan sedikit.

Jadi apa yang diharapkan oleh jejaka yang baru sahaja melancarkan lagu ‘Neraca’, bergandingan dengan Kmy Kmo dan lagenda, Datuk Jamal Abdillah ini? 

"Debaran memang sudah mula terasa kerana ini pertama kali menempatkan diri. Kalah menang itu perkara kedua. Kami hanya mahu lakukan yang terbaik."

"Sejujurnya, saya berpendapat industri muzik sekarang kurang memberi impak."

"Persiapan untuk AJL semuanya berjalan lancar, susunan muzik kami sudah siapkan kira-kira dua minggu lalu. Tentang persembahan, saya tak mahu dedahkan kerana mahu peminat tonton sendiri nanti."

"Cuma kami agak terkilan sedikit kerana apabila tiada penonton, tenaganya macam kurang sedikit. Terutamanya untuk kami yang membawakan genre rap ini."

"Genre ini memang perlukan audiens untuk membangkitkan suasana. Jadi, untuk pentas akhir ini kami akan cuba bayangkan kononnya ada penonton yang menyaksikan persembahan kami secara langsung."

"Harap-harap persembahan kami nanti menjadi. Kami percaya ia akan memberi impak kepada penonton," ujar Luca berkongsi cerita.  

Terlanjur berbicara, Luca juga diajak berbicara tentang situasi muzik tempatan ini.

Rupa-rupanya dia tidak begitu gembira. Misinya adalah untuk membawa muzik Malaysia mendunia, seperti yang pernah dilakukan oleh penyanyi-penyanyi hebat sebelum ini. 

"Sejujurnya, saya berpendapat industri muzik sekarang kurang memberi impak (proposed pull out quote)."

"Tidak seperti zaman saya membesar dulu. Dahulu muzik kita banyak ke luar. Sekarang muzik kita lebih dipengaruhi muzik luar dan ia mendominasi banyak perkara."

"Jadi, ia agak menyedihkan. Sebab itu, saya dan Kmy buat muzik hip hop nusantara ini. Kami mahu naikkan original sound negara kita."

"Misi kami adalah untuk menonjolkan bunyi tradional Malaysia dan harapnya ia boleh menembusi pasaran luar."

"Setiap pihak kena main peranan untuk mengangkat muzik kita di persada antarabangsa. Kena buang persepsi yang muzik kita tidak bagus sedangkan orang luar sebenarnya suka dengan elemen tradisional yang kita ada."

"Sebabnya mereka tiada. Untuk memperkasakan muzik atau irama tradisonal ini ramai yang kena mainkan peranan, bukan kerja seorang."

"Penyanyi, penggubah lagu, dan mereka yang terlibat dengan industri muzik perlu mainkan peranan masing-masing," ujar Luca.

"Kena buang persepsi yang muzik kita tidak bagus sedangkan orang luar sebenarnya suka dengan elemen tradisional yang kita ada."

Sebelum mengakhiri bicara, Luca sempat berkongsi maksud di sebalik nama Luca Sickta. 

"Dulu saya guna nama LS yang bermakna Lil Sham, tapi setelah berjumpa dengan Abang Malique, dia suruh ubah nama itu kepada dua perkataan supaya lebih catchy."

"Lepas buat research, saya pilih Luca Sickta sebab nak kekalkan nama LS tu. Nama ini sebenarnya membawa maksud ‘orang yang mempengaruhi’."

"Saya rasa ia sesuai sebab saya buat muzik yang boleh mempengaruhi orang lain,” tuturnya.

Dari Agenda ke Kmy Kmo

Jika disebut nama Lukmanul Hakim dalam industri hiburan tempatan, mungkin tiada siapa yang mengenali empunya nama.

Namun jika dicanang Kmy Kmo dewasa kini, generasi muda dan pengikut setia muzik Malaysia pasti mengenali orangnya.

Pernah menjadi sebahagian daripada kumpulan rap trio Nukilan dengan menggunakan nama pentas Agenda, Kmy Kmo kini merupakan salah satu bintang hip hop Melayu yang mula mencuri perhatian peminat setia genre muzik ini di Malaysia dan Singapura.

Sungguhpun sekarang dirinya sering berkarya bersama rakan seperjuangannya Luca Sickta, Kmy sebenarnya pernah bergerak solo dan menghasilkan muzik untuk beberapa artis tempatan.

Malah dia juga pernah ditampilkan dalam album salah satu idola dan mentornya, penyanyi rap tersohor Malique Ibrahim (bekas ahli kumpulan Too Phat) yang berjudul TKO.

"Biarpun kami hanya menumpang populariti beliau, Dato' Siti begitu merendah diri saat kami merakam lagu tersebut."

“Saya sebenarnya sudah lama meminati bidang muzik, khasnya genre rap dan hip hop sejak di bangku sekolah lagi."

"Saya begitu terpengaruh dengan muzik yang diperjuangkan oleh kumpulan rap dan R & B senior seperti Poetic Ammo, The Tarik Crew, Ruffedge, V.E. dan Too Phat."

"Malah saya dan Luca Sickta sudah saling mengenali sejak tahun 2003 melalui acara-acara berkaitan hip hop di bandar asal kami di Kuantan. Sejak itu kami memang sering bekerjasama dalam bidang muzik,” jelas anak kelahiran Pahang ini.

Berbakat besar menulis lirik dan menerbitkan melodi serta muzik, penat lelah jejaka yang sudah pun berstatus suami dan ayah ini berbaloi kala berpeluang bekerjasama dengan ramai artis senior tersohor.

“Dulu, sewaktu mula-mula sampai ke Kuala Lumpur, kami banyak bekerja di belakang tabir dengan pelbagai artis termasuklah Amy Search, Cat Farish serta ramai lagi."

"Namun selepas mengeluarkan single 'Gong Nekara' yang menjadi tular gara-gara beberapa isu, kami dilamar Universal Music pada tahun 2018 dan sejak itu rezeki kami semakin murah."

"Pihak Universal Music telah membuka peluang untuk kami bekerjasama dengan nama-nama besar lain seperti M. Nasir, Dato' Siti Nurhaliza dan terbaharu, Jamal Abdillah,” jelasnya lagi.

Kini, lagu mereka bersama penyanyi nombor satu negara, Dato' Siti Nurhaliza yang berjudul ‘7 Nasihat’ tercalon untuk AJL35.

Semestinya mereka teruja dan ada harapan tersendiri dengan pencalonan ini.

"Sejujurnya kami tak sangka mampu sampai ke tahap ini dan sudah tentu kami sangat gembira dengan pencalonan tersebut."

"Namun kami sedar, aura Dato' Siti memang susah untuk ditandingi. Jadi mungkin berkat aura dan sokongan semua peminatnya, kami mampu menembusi pusingan akhir."

"Biarpun kami hanya menumpang populariti beliau, Dato' Siti begitu merendah diri saat kami merakam lagu tersebut."

“Dari dulu kami memang mempunyai tiga impian besar iaitu untuk berkolaborasi dengan artis ternama tanah air, memenangi sebuah anugerah sebagai tanda penghargaan untuk usaha kami sendiri dan terakhir adalah untuk membawa irama nusantara dengan muzik moden ke serata dunia."

"Malah dia mengatakan bahawa ini adalah lagu kami dan dia hanya membawa karya itu. Kami tak sangka seorang bintang yang begitu gah akan berkata sedemikian," tambahnya lagi.

Kala ditanya pandangannya tentang Shiha Zikir yang akan menggantikan tempat Dato' Siti Nurhaliza di malam AJL nanti, Kmy mengatakan bahawa kedua-dua artis ini punya kekuatan masing-masing.

"Dato' Siti sentiasa memberikan kami kata-kata semangat semasa kami membuat latihan. Shiha juga banyak bertanya kepada Dato' Siti tentang cara membawa lagu tersebut."

"Kami yakin Shiha akan memberikan yang terbaik, seperti mana kami juga," ujarnya.

Sebelum menutup kata, kami sempat bertanyakan harapannya untuk AJL35 nanti.

"Dari dulu kami memang mempunyai tiga impian besar iaitu untuk berkolaborasi dengan artis ternama tanah air, memenangi sebuah anugerah sebagai tanda penghargaan untuk usaha kami sendiri dan terakhir adalah untuk membawa irama nusantara dengan muzik moden ke serata dunia."

"Jadi, jika dapat merangkul anugerah, itu akan memenuhi salah satu daripada tiga impian tersebut," bingkasnya menutup bicara.

Getaran mendoakan yang terbaik buat ketiga-tiga bintang berbakat ini untuk malam AJL35 esok. Anugerah Juara Lagu ke-35 boleh disaksikan secara langsung di TV3 jam 9 malam dan juga di saluran YouTube rasmi TV3 Malaysia. – Getaran, 13 Mac 2021

DI SEBALIK TABIR PEMBIKINAN WAJAH TARA - GETARAN

Wajah TARA : Noki, Luca Sickta dan Kmy Kmo

Editor GETARAN.MY : M.Zulkifli Abd Jalil

Penyelaras : Shah Shamshiri

Teks : Zaidi Che, Rahayu MN dan Shah Shamshiri

Penyunting : Syariza Tahir

Penata Gaya: Ardi Idewani 

Arahan Seni : Zaidi Che

Pakaian : Rizman Ruzaini (Noki) Bon Zainal (Luca Sickta dan Kmy Kmo)

Solekan: Chandra Shegar (Noki) Sara Mack Lubis (Luca Sickta dan Kmy Kmo)

Jurugambar : Azim Rahman

Rekaletak: Hanif Zahari

Lokasi : Pejabat Redcomm, Petaling Jaya (Terima Kasih Cik Lina Tan dan warga Redcomm)

Isu Pada

Nuansa Baharu Hip Hop

13 Mar 2021

Berita Berkaitan

1

Muzik 1 minggu yang lalu

ONEUS Pun Terikut Trend Lagu Alamak Raya

2

Muzik 1 bulan yang lalu

'Cinta Tak Mungkin' Hadiah Raya Siti Nurhaliza

3

Muzik 3 bulan yang lalu

Hip Hop Jadi Pilihan Ketua Pemuda Umno Untuk Dekati Anak Muda

4

Muzik 4 bulan yang lalu

Tiket Konsert Siti Nurhaliza Licin Dijual Dalam Masa 2 Jam

Sorotan

1

Tanah Milik Keluarga Ammar Baharin Yang Dipindah Milik Diratifikasi Semula – Amirudin

2

Laporan Interim Nahas Helikopter TLDM Dikeluarkan Esok – Fahmi

3

Pokok Tumbang: Mangsa Lelaki Dibenar Keluar Hospital, Warga Sweden Masih Dirawat

4

Kecederaan Beberapa Tonggak Utama Resahkan TFC

5

Мahkamah Benar Muhyiddin Dapatkan Pasport Bagi Lawat Kakak Sakit Di Australia

6

Mutang Tagal Masih Dirawat Di IJN, Keadaan Agak Serius