Berita Terkini

2 hari yang lalu: Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap tuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam 5 hari yang lalu: KKM nasihatkan semua aktiviti di luar bilik darjah ditangguhkan sementara di semua lokasi yang merekodkan cuaca panas antara 35 hingga 37 darjah celsius 6 hari yang lalu: Pihak Ocean Infinity akan bentang kawasan pencarian baharu MH370 kepada MOT awal Mei - Loke 6 hari yang lalu: MAVCOM tambah 342 penerbangan domestik di seluruh negara untuk perjalanan antara 3 hingga 18 April - Loke 6 hari yang lalu: Tiket tambahan ETS dan perkhidmatan tren khas mula dijual hari ini bermula 5 petang - Loke

IKUTI KAMI


Di Sebalik Kontroversi, Pementasan 'Putri Santubong' Sukses, Dikenali Dunia!

Kampung Budaya Sarawak mempunyai mempunyai perancangan yang besar untuk pementasan drama muzikal 'Putri Santubong: The Warrior Princess'. Ikuti wawancara bersama pengarah eksekutifnya, Zaini Hj. Zainuddin.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 16 Jan 2022 3:38PM

oleh

Ellyna Ali

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Sejak kecil, kita sudah mengenal watak Puteri Santubong, Puteri Sejinjang dan Gunung Santubong menerusi sebuah lagu rakyat yang diinspirasikan dari sebuah kisah mitos sejarah yang cukup terkenal di negeri Sarawak yang disampai dari generasi ke generasi. 

Jika tidak kerana pencipta lagu, Madzi Johari yang merupakan anak jati kelahiran Sarawak yang telah pun bersara sebagai Pengarah Bahagian Program Radio, RTM Angkasapuri, barangkali kisah mitos sejarah Puteri Santubong ini sudah pupus dalam ingatan kita semua khususnya dalam kalangan masyarakat di negeri Bumi Kenyalang sendiri.  

Atas sebab itu, usaha yang dilakukan Kampung Budaya Sarawak untuk mengangkat kisah legenda Puteri Santubong menerusi sebuah pementasan drama muzikal berjudul Putri Santubong: The Warrior Princess ini adalah suatu usaha yang cukup bagus sekali. 

Dipentaskan di Kampung Budaya Sarawak, Kuching secara hibrid menggunakan pemetaan kandungan 3D pada 11 dan 12 Disember yang lalu, pementasan ini mempunyai sisi yang berbeza dengan cerita rakyat mengenai pertarungan di antara Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang yang berebut cinta seorang putera raja hingga mengakibatkan kematian mereka. 

Apa yang cuba dipersembahkan adalah sebuah dimensi baharu mengenai susur galur, empayar dan kehebatan Putri Santubong yang berasal dari kayangan dan telah mentadbir kerajaan Santubong serta membina tamadun Nusantara. 

Bagaimanapun, pementasan drama muzikal ini tidak lepas daripada menjadi bahan kecaman segelintir masyarakat tempatan di Sarawak sendiri serta kalangan masyarakat di Indonesia. 

Segelintir penduduk di negeri itu mempertikaikan pemilihan Maya Karin sebagai Putri Santubong serta menganggap dia tidak layak membawakan watak puteri kayangan itu kerana dia bukanlah pelakon kelahiran Sarawak.

Bagi masyarakat Indonesia pula, mereka tidak habis-habis menuduh Malaysia sebagai pencuri budaya apabila beberapa pakaian yang digunakan di dalam pementasan itu dikatakan mirip pakaian budaya mereka termasuk perhiasan kepala yang kononnya mempunyai persamaan dengan warisan budaya Palembang.

Selaku pengarah eksekutif pementasan drama muzikal Putri Santubong: The Warrior Princess, Zaini Hj. Zainuddin berkata, sebelum ini, Kampung Budaya Sarawak sudah pernah mementaskan beberapa jenis pementasan, tetapi ia hanyalah dalam skala yang kecil sahaja. 

Pengarah eksekutif pementasan drama muzikal 'Putri Santubong: The Warrior Princess', Zaini Hj Zainuddin
Pengarah eksekutif pementasan drama muzikal 'Putri Santubong: The Warrior Princess', Zaini Hj Zainuddin

“Apabila kita merancang untuk menerbitkan Putri Santubong: The Warrior Princess dalam skala besar, kita berasakan kita perlu gabungkan pelakon-pelakon dari Semenanjung dan Sarawak. 

“Kita memilih beberapa pelakon dari Semenanjung seperti Soffi Jikan, Azrel Ismail serta Maya Karin dan kita pilih Maya Karin untuk pegang watak Putri Santubong. 

“Bahkan kita turut menggunakan khidmat Hamzah Tahir sebagai pengarah artistik dan Ellie Suriaty Omar sebagai konsultan untuk keseluruhan pementasan ini. 

“Maya Karin adalah seorang yang hebat. Bagi saya dia telah berjaya membawakan watak sebagai Putri Santubong ini dengan begitu baik sekali. 

“Saya juga suka untuk bekerja sekali lagi dengan Ellie Suriaty. Dia seorang yang sangat profesional. Memang kami ada bergaduh disebabkan pementasan ini tetapi ia sekadar gaduh kerana kerja,” katanya kepada Getaran. 

 

Isu Curi Budaya 

Mengenai tuduhan mencuri budaya Indonesia di dalam pementasan ini, Zaini berkata, suatu ketika dahulu seluruh kepulauan Nusantara dinamakan sebagai Nusantara Sundaland dan juga Malay Archipelago yang mana ia tidak mempunyai batas sempadan dari sudut lautan dan daratan. 

“Sebesar itulah jajahan Putri Santubong menerusi jajah dan empayar kerajaan Santubong. Apabila kita bercakap tentang Malay Archipelago, ia meliputi Malaysia sehingga ke Filipina. 

“Kalau kita kaji lagi, Kuching sebetulnya berada di tengah-tengah Malay Archipelago ini dan Pontianak yang terletak di Kalimantan berada di bawahnya. 

“Sudah tentulah kita berkongsi budaya yang sama pada ketika itu. Bahkan, baju etnik Iban juga kalau hendak diikutkan mempunyai persamaan dengan baju etnik yang terdapat di Kalimantan. 

“Jadi siapa yang dulu dan siapa yang kemudian? Sebenarnya, persoalan ini tidak timbul kerana kita dahulu dikenali sebagai Nusantara Sundaland dan juga Malay Archipelago,” katanya. 

Berpegang kepada sejarah inilah, kata Zaini, menyebabkan dia tidak mahu memberikan apa-apa respons apabila orang-orang Indonesia membuat tuduhan mengenai isu mencuri budaya ini. 

“Andai kita menjawab, ia akan jadi berpanjangan. Jadi kita abaikan sahaja segala tuduhan-tuduhan tersebut. 

“Untuk merealisasikan pementasan ini, kita cuba menggunakan kreativiti dari sudut pakaian-pakaian dengan berlandaskan elemen Nusantara ini termasuk dari Semenanjung sebab itulah adanya pakaian seperti kebaya. 

“Kalau kita lihat dalam filem dan pementasan Puteri Gunung Ledang yang diterbitkan dan dilakonkan Puan Sri Tiara Jacquelina, pakaian yang dipakai Puteri Gunung Ledang itu sendiri seperti Indonesia, kan? 

“Kita harus faham bahawa suatu ketika dahulu kita hidup di alam Nusantara ini dan kalau hendak diikutkan susur galur orang-orang Melayu di Malaysia ini memang ramai yang berasal dari Indonesia,” katanya. 

 

Dimensi Baharu Putri Santubong 

Mengenai dimensi baharu yang cuba diketengahkan dalam pementasan Putri Santubong: The Warrior Princess, Zaini berkata, pementasan itu sebenarnya cuba lari daripada aspek persepsi negatif mengenai perebutan cinta Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang seperti mana dalam mitos cerita rakyat. 

“Kita cuba angkat pula tentang empayar Putri Santubong di dalam pementasan ini dan kepahlawanannya serta sumbangan Putri Santubong terhadap penduduk di Bumi dengan mengajar  ilmu-ilmu peradaban menerusi tujuh orang puteri. 

“Pementasan ini, tidak lebih sekadar untuk menonjolkan kegemilangan pentadbiran kerajaan yang dipimpin Putri Santubong kepada seluruh rakyat jelata yang berada di bawah tampuk pentadbirannya. 

“Cinta Putri Santubong kepada rakyat jelata tidak berbelah bahagi dan apabila melihat penduduk di Bumi berada di dalam keadaan yang kacau-bilau, dia menghantar tujuh orang puteri turun ke bumi untuk membantu mereka untuk menguasai pelbagai jenis ilmu peradaban. 

“Namun, memang ada kisah cinta yang cuba kita selitkan dan kita cuba tumpukan percintaan di antara Putri Santubong dengan Kijang Mas.

“Ada juga babak peperangan di Bumi yang berpunca dari orang Kayangan yang dihukum dan dicampak ke Bumi. Manusia di Bumi pula berbunuh sesama sendiri kerana pergaduhan dan hawa nafsu,” katanya. 

 

Perancangan Masa Depan 

Jelas Zaini lagi, pihaknya mempunyai perancangan yang lebih besar untuk meneruskan kesinambungan pementasan drama muzikal Putri Santubong: The Warrior Princess. 

“Pasukan kami sedang menilai sama ada mahu meneruskan pementasan ini lagi atau menjadikan ia dalam bentuk drama bersiri atau filem. 

“Apa yang pasti, jika Putri Santubong: The Warrior Princess ini dipentaskan lagi, mungkin kita akan membawanya ke Istana Budaya pula. Kita sedang menilai dan menimbang banyak perkara,” katanya. 

Apa pun Zaini mengakui, gembira apabila pementasan Putri Santubong: The Warrior Princess yang ditayangkan menerusi laman web rasmi www.putrisantubong.com berlangsung dengan jayanya. 

“Ia sebuah pementasan yang cukup bagus dan cukup sukses. Kita memilih orang-orang yang tepat untuk bekerja dan menjayakan pementasan ini. 

“Walaupun ada yang mengecam tapi ramai yang memuji dan yang mengecam juga adalah orang-orang yang turut menonton pementasan ini. 

“Pada awalnya berlaku masalah teknikal pada server kami apabila ia hanya boleh menampung jumlah tontonan sebanyak 50,000 sahaja. Ia tidak sepatutnya berlaku begitu dan sepatutnya jumlah penonton seharusnya  dapat ditampung seramai yang boleh. 

“Jadi, kita terpaksa bukakan laman web ini secara percuma kepada semua orang. Hasilnya, pementasan Putri Santubong: The Warrior Princess telah ditonton oleh seramai 110,000 orang pada malam pertama.

‘Kita sendiri banyak mengeluarkan banyak wang untuk mempromosikan pementasan ini menggunakan pemasaran digital seperti iklan Facebook dan Instagram. Hasilnya satu dunia tahu mengenai Putri Santubong: The Warrior Princess,” katanya lagi. 

Pementasan teater muzikal ini ditaja oleh Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak.

Selain Maya dan Azrel, pementasan teater muzikal ini turut dijayakan pelakon Soffi Jikan (Dewa Kejora), Anding Indrawani (Datuk Nakhoda) dan Dewi Liana Seriestha (Putri Sejinjang). Ia masih boleh ditonton di laman web rasmi pementasan ini. Harga tiket ialah RM20. - Getaran, 16 Januari 2022

Gambar: Kampung Budaya Sarawak

Isu Pada

Kenali Copenhagen, Antara Permata Di Bumi Scandinavia

15 Jan 2022

Berita Berkaitan

1

Semasa 1 minggu yang lalu

Ditipu Penjual Barangan Terpakai, Suri Rumah Rugi Lebih RM30,000

2

Semasa 1 minggu yang lalu

Anggota Polis Korban Bot Karam Kapit Selamat Dikebumi

3

Semasa 3 minggu yang lalu

MA63: 9 Tuntutan Asas Selesai Sepenuhnya

4

Semasa 3 minggu yang lalu

Mangsa Banjir Sarawak Meningkat Lebih 1,000

Sorotan

1

PNB Umum Pengagihan Pendapatan 5.25 Sen Bagi ASB 2 Dan 4.75 Sen Bagi ASM 

2

Mohd Na'im Jalani Pembedahan Kecil Buang Kelenjar Air Liur

3

Polis Tahan Lelaki Disyaki Abai Kanak-kanak  

4

Padang Bukan Faktor Penentu Kekalahan Malaysia Kepada Oman - Darren

5

Dasar Buku Negara Diteliti Semula - Fadhlina

6

Perdana Menteri Dijangka Hadir Majlis Iftar MADANI Anjuran JAKIM Esok