'Crime Scene: The Times Square Killer' (Netflix)

Sudahkah anda menonton siri dokumentari, 'Crime Scene: The Times Square Killer' arahan Joe Berlinger yang baharu sahaja ditayangkan di Netflix?
Mempunyai tiga bahagian, siri dokumentari yang memaparkan kejadian jenayah benar yang terjadi di Amerika Syarikat kali ini mendedahkan kegiatan pembunuh bersiri, Richard Cottingham yang juga dikenali sebagai Torso Killer dan Times Square Torso Ripper yang berlaku pada era 70-an.
Times Square pada ketika itu adalah tempat panas untuk industri seks, terutama di 42nd Street dan ia turut mempunyai pawagam yang memaparkan filem-filem 'X-Rated' serta pertunjukkan seks secara langsung.
Cottingham akan mencari mangsa-mangsanya dari kalangan pekerja seks wanita yang bekerja di rumah pelacuran untuk memenuhi fantasi anehnya dan kemudian menyeksa mereka dengan penuh kejam sebelum membunuh dengan mengerat anggota badan mereka.
Modus operandi yang dilakukan Cottingham sangat licik dan pihak polis seringkali gagal menemui bukti yang mampu mengaitkan setiap pembunuhan bersiri kejam itu dengannya.
Mengikut laporan polis, Cottingham secara rasmi telah membunuh 11 wanita, namun dia mengakui telah membunuh lebih daripada 85 hingga ke 100 orang mangsa. - Ellyna Ali
Tears of the Sun (Netflix)

Tears of the Sun adalh filem aksi yang diarahkan Antoine Fuqua pada tahun 2003. Filem ini dibintangi Bruce Will, Tom Skerritt dan Monica Belluci.
Ia berkisahkan sekumpulan tentera daripada pasukan komando yang menjalankan misi kemanusiaan di Nigeria. Ketika itu terdapat perang saudara antara President Azuka yang diguling oleh pemberontak yang dipimpin oleh Mustafa Yakubu.
Pemberontakan serta pembunuhan berlaku di setiap kampung bagi menguasai wilayah jajahan.
Pihak atasan mengeluarkan arahan kepada Ketua Komander Operasi Khas Angkatan Tentera Amerika, Leftenan A.K Waters untuk menjalankan misi menyelamatkan seorang doktor iaitu Dr. Lena yang sedang merawat orang kampung di situ.
Mereka perlu membuat memindahkan Dr. Lena dan sekumpulan orang kampung ke negara aman yang terdekat iaitu Cameroon.
Di sini banyak aksi yang mendebarkan apabila perjalanan mereka dapat dikesan dan diikuti oleh pihak pemberontak.
Tears of the Sun diinspirasikan daripada kisah sebenar dalam misi kemanusiaan Perang Saudara ini pada tahun 1996 yang dikarang oleh salah seorang bekas pasukan komando terlibat. Filem ini ditayangkan di Netflix. - Izwan Ramlan
Death to 2021 (Netflix)

Sambungan kepada Death to 2020, filem satira arahan Jack Clough ini melakonkan kembali peristiwa-peristiwa besar yang terjadi sepanjang 2021 berlangsung.
Dibintangi oleh Hugh Grant, Joe Keery dan ramai lagi, Ben Caudell selaku penulis skrip cuba mencari cara untuk membuat kita ketawa.
Diane Morgan kembali lagi untuk sekuel ini dan dia berkongsi perkara-perkara aneh yang dilakukannya sepanjang sesi berkurung awal tahun 2021.
Terdapat beberapa watak fiksyen lain yang memberi kita sudut pandang lucu tentang tahun yang gelap ini. Anda hanya perlu ketawa kerana 2021 adalah tahun yang istimewa buat kita semua. Setidak-tidaknya kita masih selamat dan bernafas! - Zaidi Che
I Care A Lot (Netflix)

Filem yang dibintangi oleh Rosamund Pike, Eiza González, Peter Dinklage ini diarahkan oleh J. Blakeson. Jangan terpedaya dengan tajuknya, biarpun ia kedengaran positif, tetapi kisah yang dipersembahkan cukup menarik.
Marla Grayson (Rosamund Pike) ialah penjaga profesional yang dilantik oleh mahkamah untuk berpuluh-puluh wad warga emas yang asetnya dirampasnya secara licik melalui undang-undang.
Bersama-sama kekasihnya, Fran (Eiza González) mereka cukup kejam dan arif dalam menyempurnakan misi merampas harta setiap kes yang dikendalikan.
Namun, akhirnya buku bertemu ruas apabila Marla cuba merampas harta dan aset Jennifer Peterson seorang pesara kaya tanpa waris atau keluarga yang masih hidup.
Ternyata wanita tua ini punya senjata yang boleh memusnahkan ‘kerjaya’ Marla, bahkan mampu melenyapkan dia dari muka bumi.
Filem bergenre komedi dan thriller, seronok ditonton bersama rakan-rakan sambil mengimbas kenangan di kampus, di mana ketika itu anda mempunyai ‘BFF’ yang sanggup melakukan apa sahaja demi persabahatan. - Rahayu MN
Ali Setan (Mubi)

Sambut tahun baharu anda dengan mengimbau kembali salah satu filem remaja paling ikonik pada zamannya.
Ali Setan merupakan sebuah karya hebat lakonan primadona tersohor Malaysia Fauziah Ahmad Daud bersama seorang lagi bintang legenda, Allahyarham Azmil Mustapha.
Ia mengisahkan percintaan dua orang mahasiswa universiti yang terpaksa berhadapan dengan pelbagai tekanan dan cabaran di menara gading.
Diserikan dengan pelbagai adegan lucu lagi menarik, filem ini pasti mengingatkan ramai orang tentang zaman kampus masing-masing khasnya mereka yang pernah belajar di universiti tempatan.
Biarpun ia hanyalah sebuah kisah cinta mudah namun impak yang ditinggalkan filem ini sangat mendalam sehinggakan banyak babak dan dialog filem ini yang menjadi ikutan penonton tika itu.
Kini boleh ditonton di platform Mubi. - Shah Shamshiri - Getaran, 2 Januari 2022
Dapat duit biasiswa terus nak beli motor! pic.twitter.com/OdSbDTh9Yq
— MUBI Malaysia (@mubimalaysia) July 1, 2021