Berita Terkini

7 jam yang lalu: Tokoh Wartawan Negara 2014 Datuk Ahmad Rejal Arbee meninggal dunia awal pagi hari ini - isteri Allahyarham, Datin Noraini Shariff. 3 hari yang lalu: Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap tuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam 6 hari yang lalu: KKM nasihatkan semua aktiviti di luar bilik darjah ditangguhkan sementara di semua lokasi yang merekodkan cuaca panas antara 35 hingga 37 darjah celsius 6 hari yang lalu: Pihak Ocean Infinity akan bentang kawasan pencarian baharu MH370 kepada MOT awal Mei - Loke 6 hari yang lalu: MAVCOM tambah 342 penerbangan domestik di seluruh negara untuk perjalanan antara 3 hingga 18 April - Loke

IKUTI KAMI


Glamorama Rozita Che Wan

Sejak kemunculan pertamanya 15 tahun lalu, hidup Rozita Che Wan sentiasa dilimpahi sinar glamor dan dihimpit pelbagai kontroversi. Namun dia masih berdiri teguh sehingga hari ini.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 18 Dec 2021 9:09AM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Jika sebut sahaja nama Rozita Che Wan atau lebih mesra disapa sebagai Che Ta, pasti terbayang imejnya yang glamor serta kehidupannya yang sering dihimpit dengan kontroversi dan drama.

Setiap inci tubuhnya menjadi lirikan, gaya hidupnya sering menjadi bualan. Jadi tidak hairanlah kenapa bilangan pengikut di akaun Instagramnya sahaja mencecah angka 5.1 juta.

Sudah lama Getaran menyimpan hasrat untuk menjadikan bekas Ratu Cantik Malaysia Intercontinental 1992 ini sebagai Wajah TARA.  Lihat sahaja foto sampul digital kami minggu ini.

Pesona bintangnya jelas terpancar pada wajah anak jati kelahiran Alor Setar, Kedah ini. 

Saya menghubungi Che Ta dan memberitahu hasrat mahu jadikannya sebagai penghias muka depan. Lantas dia bersetuju dan kami mengatur pertemuan di sebuah restoran di Bukit Bintang untuk sesi wawancara. 

Sewaktu saya tiba, Che Ta sedang menjamah hidangan Nasi Dulang. Katanya kepada saya “Hangpa kena order nasi ni. Kerabu dia sedap!” Ya kami berdua memang ‘hantu nasi’. Bagi Che Ta tiada istilah diet sehingga tidak menjamah nasi. 

Jujur, apabila kami berdua bertentang empat mata, pelbagai perkara akan dibualkan diselang-selikan dengan hilai ketawa kami.

Begitulah seorang yang bernama Rozita Che Wan, penuh dengan sense of humour. Seperti biasa dia datang ‘bersiap’ dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.  

“Tak penat ke jadi cantik Che Ta?” Ya itulah soalan yang sering diajukan kepadanya di ruangan komen akaun media sosialnya. 

This is me. Saya memang jenis bersiap nak ke mana-mana pun. Tiada istilah penat kerana saya sudah terbiasa. Bagi orang yang tak biasa bersiap, mungkin akan rasa penat.

“Bagi saya, untuk tampil cantik dan menarik bukan sahaja khusus untuk wanita, lelaki pun perlu jaga penampilan. Sebab itu saya titik beratkan penampilan suami dan anak-anak,” kongsi wanita yang berusia 48 tahun ini.  

Tahun ini sudah 15 tahun Che Ta bergelar seorang anak seni. Bermula sebagai seorang peragawati, Che Ta dilamar menjadi pelakon saat menemani adiknya, Ayu Raudhah ketika menghadiri satu sesi bacaan skrip.

Siapa yang tidak terpegun melihat kejelitaannya? Lantas Che Ta ditawarkan untuk membintangi muzik video lagu Datuk M.Nasir berjudul ‘Juwita Citra Terindah’.

Sejak detik itu, nama Rozita Che Wan terus mekar di arena seni. Sana sini bercakap tentang gerangan jelitawan yang satu ini. Antara drama-drama lakonannya yang menjadi bualan ialah ‘Diari Ramadan Rafique’, ‘Sesuci Cinta Sofea’ dan ‘Kiah Pekasam’.

Wajahnya juga kerap kali menghiasi muka depan akhbar dan majalah popular. Malah sering kali disunting untuk menjadi duta produk kecantikan antarabangsa dan tempatan. 

Che Ta memulakan langkah dalam bidang seni ketika usia 33 tahun dan berstatus ibu tunggal anak dua. Sesuatu yang jarang berlaku untuk mereka yang memilih lapangan ini sebagai punca rezeki.

Soal saya kepadanya, kenapa seseorang yang serba-serbi lengkap pakej sebagai seorang bintang sepertinya tiba lewat di persada seni tanah air? Kenapa tidak memulakan langkah sebagai selebriti sejurus bergelar ratu cantik? 

“Saya sertai pertandingan ratu cantik kerana memikirkan duit kemenangan yang mereka tawarkan. Selepas menang saya masih tidak tahu hala tuju ke mana.

“Kemudian saya dapat tawaran menjadi pramugari. Selepas berkahwin, saya menjadi suri rumah sepenuh masa selama 10 tahun.

“Sebenarnya sewaktu bertugas di awan biru, ada penerbit yang pernah tawarkan saya untuk menjadi pelakon. Tetapi ia berlalu begitu sahaja.

“Selepas saya bercerai dan bekerja di pejabat, barulah banyak tawaran yang datang,” katanya.

Nama Rozita Che Wan dan gosip panas ibarat berpisah tiada. Setiap tahun ada saja gosip yang mengaitkan namanya. Andai hati tidak kental, mahu berendam air mata dibuatnya. Kerana gosip yang singgah dalam perjalanan kariernya bukan sembarangan.

Dia pernah digosip menjadi buruan serta dibela VVIP, bercinta dengan suami orang, foto lucah yang disunting serta banyak lagi gosip liar. 

“Saya masih ingat lagi gosip pertama yang dikaitkan dengan saya adalah ‘Che Ta digilai VIP’. Tapi ada satu gosip yang kaitkan saya dengan seorang VVIP sampai ada yang memberitahu saya ada yang nak datang pukul.

“Kebanyakan gosip tentang saya adalah berkaitan dengan VIP. Mungkin kerana status saya sebagai ibu tunggal pada ketika itu dan penampilan saya yang seksi. Seksi-seksi manjalah!” katanya sambil ketawa.

Namun biarpun sudah lali dengan gosip-gosip skandal bersama VIP, kata Che Ta dia agak kesal apabila pernah dikaitkan mempunyai hubungan dengan suami kepada seorang penyanyi popular. 

“Gosip itu agak mengeruhkan keadaan. Ada satu ketika mereka berdua muncul dalam sebuah program TV. Ketika itu pihak produksi menghubungi saya di telefon untuk temu bual secara langsung bagi menjelaskan perkara yang sebenar.

“Saya tidak pernah kenal pun suami kepada penyanyi berkenaan. Berjumpa pun tidak pernah. Dia ahli perniagaan, saya pula pelakon. Saya cuma pernah ternampak kelibatnya di sebuah majlis anugerah. Itu sahaja,” jelasnya.

Soal saya padanya lagi, tidak pernahkah dia mengalirkan air mata mengenang nasib diri yang tidak habis-habis menjadi bahan gosip, kata Che Ta tidak pernah sama sekali.

“Mungkin kerana saya masuk ke dalam industri ketika usia yang sudah matang, bukannya gadis mentah. Jadi saya sudah bersedia dari segi mental.

“Saya tahu saya tidak buat perkara seperti yang diperkatakan. Saya masih ingat pesan Mejar David Teo, katanya kepada saya, jika benar kita buat sesuatu perkara itu, tak perlu nafikan. Kerana andai nafikan, satu hari pasti terbongkar jua.” 

Baru sahaja menyambut ulang tahun perkahwinannya yang kelapan bersama Zain Saidin, Che Ta akui sangat bersyukur kerana suaminya itu sangat memahami dirinya. 

“Alhamdulillah. Kalau berbicara soal hati dan perasaan, saya tidak pernah rasa ragu dengan Zain. Contohnya kalau dia keluar rumah atau tengok perempuan lain. Tidak pernah ada perasaan ragu itu.

“Pada saya, kalau dia nak tengok perempuan lain pergilah. Kalau dia tak ada jodoh dengan saya pun saya reda. Kami saling mempercayai satu sama lain.

“Saya juga tidak pernah berahsia dengan Zain. Dia tahu sejarah saya sebelum berkahwin begitu juga sebaliknya.” 

Hasil perkahwinan yang pertama Che Ta dikurniakan dua anak lelaki iaitu Ammar Effendy, 25 dan Aniq Ezzra, 23. Bersama Zain pula dia dikurniakan seorang puteri comel iaitu Aaisyah Dhia Rana yang kini berusia 7 tahun.

Melihatkan populariti yang diraih oleh anak-anaknya serta memiliki wajah yang komersial, pasti ramai yang beranggapan mereka akan mengikut jejak langkahnya menjadi seorang bintang ternama.

“Anak-anak lelaki saya tidak berapa minat untuk menjadi selebriti. Mungkin kerana bapa mereka bukan artis. Mereka kata mereka tiada bakat dan malu. Pernah juga mereka dapat tawaran tetapi mereka tolak.

“Tapi berlainan dengan Aaisyah. Mungkin kerana bapanya juga seorang selebriti jadi genetik itu turun kepadanya. Tetapi Zain sebenarnya tak galakkan Aaisyah untuk menjadi selebriti.

“Tambahan pula Aaisyah kini bersekolah di sekolah agama antarabangsa. Tetapi Aaisyah ada menyuarakan hasrat untuk menyertai sebuah pertandingan nyanyian di televisyen.

“Sekarang ini dia baru tujuh tahun. Lama kelamaan nanti bila meningkat dewasa dia sendiri akan faham tentang halal haram serta aurat wanita.

Lumrah menjadi popular dan memiliki anak yang kian membesar, apa saja yang dilakukannya pasti menjadi buah mulut termasuklah cara dia membesarkan anak-anaknya. 

“Kalau lihat akaun Instagram saya, saya jarang kongsikan kehidupan peribadi, Kebanyakannya gambar-gambar yang cantik sahaja ataupun berkenaan bisnes.

“Bila saya di rumah dengan keluarga, tak teringat nak jenguk media sosial kerana sibuk melayan mereka. Saya jaga eksklusiviti itu.

“Sebab itu sebelum ini Astro tawarkan program 'The House' saya terima, kerana mereka bayar untuk lihat kehidupan peribadi kami. Kenapa nak kongsi perkara peribadi secara percuma kepada umum?” katanya.

Ditanya sampai bila dia mahu menceburkan diri dalam bidang lakonan, kata Che Ta dia meletakkan had umur sehingga usia 50 tahun.

“Sebenarnya saya dah mula rasa penat jadi artis selepas 15 tahun. Takkanlah sampai dah jadi nenek saya nak berlakon. Lagi pula saya bukan berlakon dari umur belasan tahun.

“Jadi lakonan itu tidaklah begitu sebati dengan diri saya, cuma sebahagian dari kehidupan saya. Rindu nak berlakon itu tidak ada, saya lebih rindukan suasana di set bersama teman-teman,” ujarnya. 

 

DI SEBALIK TABIR PEMBIKINAN WAJAH TARA – GETARAN

Wajah TARA : Rozita Che Wan

Pengarang Urusan : M. Zulkifli Abd Jalil

Pengarang Gaya Hidup & Hiburan : Shah Shamshiri

Penyelaras & Teks : Helmi Anuar

Suntingan Teks : Ili Farhana

Penata Gaya : Abu Shaef Hamza

Solekan : Rozita Che Wan

Busana : Gaun ungu (Ezuwan Ismail), Gaun merah jambu ( Ivan Young)

Jurugambar : Blackpepper Production

Rekaletak : Hanif Zahari

Lokasi : Arte by Thomas Chan

Isu Pada

Glamorama Rozita Che Wan

18 Dec 2021

Berita Berkaitan

1

Semasa 1 hari yang lalu

Anwar Terima Kunjungan Menteri Luar India

2

Sukan 2 hari yang lalu

Beraksi Di Laman Sendiri Gagal Bantu Harimau Malaya Saingi Kehebatan Oman

3

Semasa 5 hari yang lalu

Malaysia Hantar 100 Kontena Bantuan Ke Gaza

4

Sukan 1 minggu yang lalu

Oman Beri Harimau Malaya Kekalahan Pertama

Sorotan

1

PNB Umum Pengagihan Pendapatan 5.25 Sen Bagi ASB 2 Dan 4.75 Sen Bagi ASM 

2

Mohd Na'im Jalani Pembedahan Kecil Buang Kelenjar Air Liur

3

Polis Tahan Lelaki Disyaki Abai Kanak-kanak  

4

Padang Bukan Faktor Penentu Kekalahan Malaysia Kepada Oman - Darren

5

Dasar Buku Negara Diteliti Semula - Fadhlina

6

Perdana Menteri Dijangka Hadir Majlis Iftar MADANI Anjuran JAKIM Esok