Berita Terkini

1 jam yang lalu: AirAsia Group Bhd secara rasmi mengumumkan pertukaran nama syarikat pegangan kumpulan kepada Capital A Bhd 2 jam yang lalu: Wan Azizah dipangil ke bukit aman petang ini 3 jam yang lalu: Hampir 50 peratus populasi dewasa terima suntikan dos penggalak 5 jam yang lalu: 10 kematian COVID-19 dilaporkan semalam termasuk 3 BID, jumlah korban 31,940 5 jam yang lalu: Biden berikrar menyokong Ukraine - Rumah Putih

IKUTI KAMI


Transformasi Ara Johari

TARA mendekati penyanyi berbakat besar Ara Johari dan merungkai transformasi seninya seiring perubahan waktu.

TARA Dikemaskini 2 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 27 Nov 2021 9:16AM

oleh

Ellyna Ali

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Dia memahami bahawa untuk terus bertahan di dalam industri muzik tanah air, dia tidak boleh terlalu selesa dengan apa yang sudah dikecapinya pada masa ini. 

Dia juga harus melakukan transformasi dalam diri dan kerjaya seninya agar terus kekal relevan dengan arus perubahan yang begitu pantas berlaku di dalam industri. 

Hal ini jelas membuktikan bahawa penglibatan Nurfarrah Izzatie atau lebih dikenali sebagai Ara Johari, 24, sebagai anak seni bukanlah sekadar main-main.

Dia serius untuk memajukan diri dan sanggup melakukan perubahan jika ia mampu meningkatkan lagi kerjaya seninya pada tahap yang lebih tinggi. 

Buktinya adalah kemunculan lagu hip hop rock, 'Keliru' ciptaan Malique atau Mr. General yang telah menggandingkannya dengan rapper Lil J. 

Lebih menarik apabila lagu ini dikeluarkan beberapa bulan selepas dia muncul dengan single solo terbaharunya, 'Tetap Aku Cinta'. 

“Ini adalah kali pertama saya melakukan kolaborasi dengan penyanyi rap. Kebetulan Lil J juga adalah artis yang berada di bawah naungan syarikat pengurusan yang sama dengan saya iaitu Rocketfuel Entertainment. 

“Saya sudah lama mengenali dirinya dan sudah lama teringin untuk berkolaborasi dengannya. Lagipun kami selalu menyanyi bersama di dalam beberapa projek lagu sempena Hari Merdeka sebelum ini. Jadi, keserasian itu memang ada. Tapi, baru sekarang kolaborasi kami menjadi kenyataan. 

“Walaupun bahagian yang saya nyanyikan di dalam lagu ini tidaklah banyak seperti mana bahagian rap Lil J, namun saya tetap berasa bangga kerana bepeluang untuk membawakan karya lagu ciptaan Malique yang juga seorang rapper, komposer dan penerbit muzik tersohor,” katanya. 

Ara juga memberitahu bahawa karya lagu 'Keliru' itu penuh dengan makna. 

“Ia mempunyai kaitan dengan hidup Lil J kerana dia sendiri pernah berhadapan dengan masalah kesihatan mental. 

“Saya memahami masalahnya itu. Mental seseorang boleh terganggu apabila diri kita berada dalam keadaan kemurungan. 

“Perintah Kawalan Pergerakan dan pandemik COVID-19 adalah antara puncanya dan saya kira Lil J mahu berkongsi apa yang dia rasa itu kepada semua, termasuk orang lain juga yang turut berhadapan dengan masalah yang sama. 

“Apapun peluang yang diberikan untuk membawakan lagu 'Keliru' bersama Lil J ini juga dapat meluaskan lagi kelompok peminat muzik baharu saya terutama di kalangan peminat hip hop,” katanya. 

 

Mahu Bawakan Lagu Pop Tradisional

Pemenang tempat keempat program realiti Akademi Fantasia Musim Ke-13 ini  mengakui bahawa semakin luas genre muzik seseorang penyanyi itu semakin besar kelompok peminat mereka. 

“Sebab itulah saya tidak begitu gemar untuk menyanyi satu atau dua genre muzik sahaja. Sebelum ini orang mengenali saya dengan lagu-lagu yang bergenre balada dan rock. 

“Insya-Allah selepas ini, saya harap saya akan berpeluang untuk membawakan lagu genre pop tradisional. Secara peribadi saya meang meminati genre muzik ini. Mungkin ia juga turut dipengaruhi dengan zaman membesar saya. 

“Ketika itu, saya banyak mendengar lagu-lagu pop tradisional nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Syura. Mereka berdua merupakan penyanyi pop tradisional kegemaran saya.

“Lagu-lagu mereka banyak memberikan inspirasi kepada saya. Malah, saya selalu bawakan lagu-lagu mereka di karaoke. 

“Kalau mahu saya bawa lagu yang benar-benar tradisional, memang saya tidak dapat lakukan. Lagu asli tradisional sangat sukar dibawakan,” katanya sambil tersenyum. 

 

Tampil Imej Feminin Yang Lasak Tetapi Classy 

Penyanyi kelahiran Seri Menanti Negeri Sembilan ini juga dalam fasa untuk mendalami perkembangan dunia fesyen dan mahu mengubah penampilan dirinya supaya tampak lebih elegan, fashionable dan bergaya.  

“Sebelum ini, saya sering tampil dengan imej yang terlalu ringkas. Jadi, sudah sampai masanya untuk saya membuat perubahan. 

‘Saya pun teringin juga untuk memakai pakaian yang ada stail. Dulu saya tidak begitu yakin untuk memakainya. Tapi, sekarang tidak lagi. Saya mahu cuba macam-macam mood dan gaya. 

“Lagipun kalau asyik tampil dengan mood dan gaya yang sama sahaja, saya bimbang peminat akan bosan melihat diri saya di media sosial,” katanya dengan penuh keyakinan. 

Demi merealisasikan transformasi imej dan penampilan dirinya itu, Ara mengakui terpaksa membeli koleksi pakaian baharu. 

“Saya selalu bertanya kawan baik tentang hal yang berkaitan dengan fesyen. Sebab dia memang sangat feminin. 

“Tapi, perubahan yang saya lakukan ini bukanlah untuk menjadi feminin seperti dirinya. Feminin itu bukanlah saya. Apa yang boleh saya katakan, perubahan yang cuba saya lakukan ini adalah lebih kepada feminin yang lasak tetapi classy,” katanya sambil tertawa. 

 

Memancing Adalah Hobi 

Kehidupan yang sentiasa sibuk dengan pelbagai kegiatan seni mampu memberikan tekanan buat dirinya. 

Namun, Ara gemar melepaskan ketegangan yang dirasainya dengan bersukan. 

“Saya memang suka bersukan terutama bermain badminton dan bermain futsal. Satu lagi perkara yang saya akan buat untuk melepaskan ketegangan adalah memancing,” katanya sambil melepaskan tawa. 

Jelas Ara lagi, dia tahu pasti ramai yang tidak percaya bahawa dia suka memancing, tetapi itulah juga hobi yang memberikan kepuasan buat dirinya. 

“Memancing mendidik kita menjadi seorang yang penyabar. Tapi, saya hanya memancing di kolam kerana saya takut dengan laut. 

“Saya belajar memancing dari ayah saya. Dia selalu bahawa anak-anaknya pergi memancing waktu kami kecil-kecil dahulu. Nampaknya minatnya itu jatuh kepada saya dan adik saya. 

“Suatu perkara yang menarik tentang memancing adalah bila kita sudah sabar lama menunggu tetapi kemudian mendapat hasilnya. Ia lebih kurang macam kerjaya sebagai penyanyi juga.

“Bukan hasil itu yang berikan kepuasan tapi bila kita cuba tarik joran pancing tersebut. Pergelutan untuk menarik itu yang memberikan kepuasan,” kataya lagi. 

 

Pandai Masak Masakan Kampung 

Walaupun nampak agak lasak, tapi siapa sangka pemenang tempat kedua, Anugerah Juara Lagu Ke-33 (2019) menerusi lagu 'Bunga' ini pandai memasak orangnya. 

“Memang ramai tak percaya saya boleh memasak. Tapi, saya memang selalu memasak dan selalunya masakan kampung sahajalah. 

“Kalau masakan western, saya tak pandai membuatnya,” katanya dengan jujur. 

Memandang dia adalah anak jati Negeri Sembilan, maka bukanlah sesuatu yang pelik apabila dia mengetengahkan resepi istimewa masak lemak daging salai di gerai miliknya, Ara Kitchen yang dibuka di Masok Foodcourt di Kampung Baru. 

“Sebenarnya, banyak lagi lauk-pauk yang disediakan di gerai saya itu. Tapi, masak lemak daging salai adalah signature gerai saya ini. 

“Dulu saya masak. Bila sudah sibuk saya latih pula pekerja untuk masak. Tetapi saya selalu turun untuk memastikan rasa masakan itu kekal dan tidak lari,” katanya yang mengakui jadual seninya semakin padat kebelakangan ini. 

 

Berlakon Cabang Seni Baharu 

Bagi meluaskan lagi bakat seninya dan penjenamaan dirinya, Ara juga sudah mula cuba-cuba untuk menceburi dunia lakonan. 

“Sebenarnya saya ada berlakon dalam sebuah telefilem komedi romantik berjudul Cinta Hati Ayam untuk RTM. 

“Dalam drama ini, saya digandingkan dengan Ayie Floor 88. Ibu bapa saya adalah penjual ayam dan saya pula bercinta dengan Ayie. 

“Kami juga berkahwin dalam telefilem ini. Akhirnya, Ayie betul-betul berkahwin dengan gadis pilihannya dalam dunia realiti. 

“Drama ini sudah lama sudah lama kita shoot. Tapi, tak tahu bila ia akan keluar. Ramai yang asyik tanya dan tidak sabar menonton gandingan kami berdua,” katanya. 

Ara bagaimanapun mengakui semakin seronok berlakon dan tidak kisah jika ditawarkan berlakon lagi dalam produki terbaharu. 

“Dulu saya memang tak mahu berlakon. Tapi, bila sudah cuba buat pertama kalinya dalam drama berbeza episod iaitu 'Ulik Mayang' untuk Astro diikuti dengan 'Cinta Hati Ayam', ia semakin memberikan keseronokan. 

“Sebab kita dapat jumpa ramai orang, dapat luaskan lagi rangkaian kerja serta dapat jadi orang lain dengan watak yang dibawakan. 

“Sebetulnya, menyanyi tidak jauh berbeza dengan berlakon. Kita perlu menyampaikan emosi tapi dengan pendekatan yang berbeza,” katanya yang berharap keadaan industri akan benar-benar pulih dan mampu berfungsi seperti biasa seperti waktu-waktu sebelum ini. - Getaran, 27 November 2021

 

 

DI SEBALIK TABIR PEMBIKINAN WAJAH TARA – GETARAN

Wajah TARA : Ara Johari

Pengarang Urusan: M. Zulkifli Abd Jalil

Penyelaras: Shah Shamshiri

Pembantu Penyelaras & Teks: Ellyna Ali

Suntingan Teks: Ili Farhana

Penata Gaya dan Arahan Seni : Mursh Matsom

Solekan: Jibs Salim

Dandanan : Daniey Junaedy

Busana: Syomir Izwa Gupta

Jurugambar: Sairien Nafis

Juruvideo dan Suntingan Video: Muharram Kasim

Rekaletak: Hanif Zahari

Lokasi: G13 Gallery Kelana Square, Petaling Jaya

(Terima Kasih Encik Kenny Teng dan pengurusan galeri)

Isu Pada

Transformasi Ara Johari

27 Nov 2021

Berita Berkaitan

1

Selebriti 1 hari yang lalu

“Saya Dan Nazreem Musa Tidak Bercinta” - Daiyan Trisha

2

Selebriti 3 hari yang lalu

“Pengarah Perlu Berani Ambil Pelakon Pelbagai Bangsa”- Yassin

3

Video & Galeri 5 hari yang lalu

Di Sebalik Tabir Pembikinan Wajah TARA Bersama Yonnyboii

4

Selebriti 6 hari yang lalu

Penyanyi Meat Loaf Meninggal Dunia

Sorotan

1

AirAsia Sambung Semula Penerbangan Ke Phnom Penh

2

Selepas Fries McD, Ayam Goreng KFC Pula 'Hilang' 

3

Berlakon Watak Ibu Kepada Anak Dewasa, Erra Fazira Bersikap Realistik