Berita Terkini

2 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 3 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Adakah Pita Kaset Akan Kembali Menguasai Industri Muzik?

Walaupun kemunculan CD telah membunuh kaset dan penstriman digital muzik membuatkan kaset dianggap semakin tidak relevan, namun ia tetap akan kekal menjadi satu medium yang ikonik dalam sejarah industri muzik.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 26 Sep 2021 3:44PM

Kaset edisi istimewa kumpulan tempatan, Couple

oleh

Ellyna Ali

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Pita kaset meninggalkan sebuah nostalgia dan nilai sentimental yang cukup mendalam buat para peminat serta pencinta muzik yang membesar pada era 70-an dan 80-an.   

Ia bukan sekadar digunakan untuk mendengar dan menghayati muzik daripada penyanyi-penyanyi lokal dan antarabangsa yang sangat diidolakan pada masa itu.

Pita kaset turut membantu generasi X dan generasi Y yang lahir dan membesar dari pertengahan tahun 1960-an hingga 1990-an untuk menjadi lebih kreatif. 

Dari pita kaset inilah, ia mengajar kedua-dua generasi ini untuk menjadi ahli 'cetak rompak' tidak bertauliah apabila rata-rata anak muda ketika itu gigih melakukan kompilasi untuk himpunan lagu-lagu dari pelbagai artis yang disukai. 

Gambar: Unsplash
Gambar: Unsplash

Ia juga dijadikan pengganti surat cinta apabila ingin meluahkan perasaan kepada seseorang yang dicintai dengan merekodkan suara mereka sendiri. Juga tanda luahan cinta apabila mengirimkan kaset yang mempunyai seleksi lagu-lagu cinta tentang perasaan mereka kepada seseorang. 

Ada juga yang menjadikan kaset sebagai bahan mendidik kepada anak-anak murid atau digunakan sebagai alat untuk mengingati sesuatu pelajaran. 

Tidak kurang juga yang menjadikan kaset sebagai bahan untuk merakamkan sesuatu majlis atau acara yang kecil dan sederhana. Paling popular adalah acara sambutan hari ulang tahun di kalangan keluarga. 

Untuk kaset yang sudah tidak berupaya digunakan lagi kerana pitanya kehausan akibat sering diulang dengar, ia dijadikan pelbagai jenis bahan dekorasi sama ada dekorasi di dinding seperti yang terdapat di studio Rakita FM di Puchong, mahu pun dijadikan meja, lampu hiasan, pasu bunga atau pun kotak letak pensil.  

Apabila CD mula menggantikan kaset sepenuhnya pada 1993, pita kaset sudah mula dipinggirkan dan langsung tidak mendapat perhatian. Awal tahun 2000 pula, kegemilangan pita kaset secara rasmi telah pun berakhir. 

 

Amerika Syarikat dan United Kingdom Catat Jualan Kaset Yang Tinggi 

Lalu, apa yang menyebabkan pita kaset kembali popular sejak beberapa tahun kebelakangan ini sedangkan dari segi kualiti audio, ia memang tidak mampu menandingi piring hitam (vinyl) atau pun CD? 

Artikel Los Angeles Times bertarikh 6 Ogos 2019 melaporkan bahawa jualan pita kaset di Amerika Syarikat meningkat sebanyak 23 peratus pada 2018.

Menurut majalah Pitchfork pula, pita kaset di Amerika Syarikat dijual sebanyak 219,000 keping pada 2018 berbanding 178,000 keping pada 2017. Iaitu selepas peningkatan 35 peratus pada 2017. 

Di United Kingdom, jualan meningkat sebanyak 112 peratus pada separuh pertama 2019, walaupun ia bermakna hanya 36,000 kaset dijual.

Forbes dalam artikel pada 28 Mac 2021 melaporkan bahawa pada tahun 2019, United Kingdom telah mencatatkan jualan tertinggi dalam tempoh sedekad dengan angka sebanyak 75,000 pita kaset dijual pada akhir tahun (meningkat daripada 58,000 jualan pada 2018). 

Album sulung Billie Eilish, When We Fall Asleep, Where Do We Go? adalah keluaran terbesar United Kingdom dengan jualan sebanyak 4,000 salinan.

Kaset Billie Eilish. Gambar: Etsy.com
Kaset Billie Eilish. Gambar: Etsy.com

Pada tahun yang sama, Bjork mengeluarkan semula katalog album studionya menerusi pita kaset edisi terhad pelbagai warna yang bergaya.

Namun, artikel Snopes yang bertarikh 22 Mac 2021 ternyata cukup menarik. Snopes melaporkan bahawa suasana pandemik dan kesannya kepada industri muzik telah menyebabkan 2020 menjadi tahun buat kaset. 

Menurut to British Phonographic Industry, 156,642 kaset telah dijual di United Kingdom pada tahun lalu (2020). Ia merupakan angka tertinggi sejak 2003 dan ia menunjukkan peningkatan sebanyak 94.7 peratus pada jualan 2019. 

Tidak hairanlah mengapa ikon superstar seperti Lady Gaga dan Dua Lipa juga berlumba-lumba untuk menghasilkan keluaran mereka dalam bentuk kaset dan ia turut habis dijual! 

Katalog kaset Bjork. Gambar: Bjork.com
Katalog kaset Bjork. Gambar: Bjork.com

The Guardian dalam laporan yang tidak bertarikh telah menemu bual Ketua Eksekutif Key Production Group, Karen Emmanuel yang menerbitkan piring hitam, kaset dan CD mengakui bahawa kaset masih mendapat permintaan daripada pihak tertentu.

Kilang-kilang yang bekerjasama dengan Key Production terpaksa mencari bekalan pita kaset apabila wujudnya permintaan. 

“Kaset bukan sahaja dikeluarkan artis yang besar tetapi juga artis kecil yang sedang berjuang. Kaset lebih menarik minat band yang baharu kerana ia lebih murah daripada CD dan boleh dihasilkan dalam pengeluaran yang lebih kecil berbanding piring hitam,” katanya. 

Ketua Muzik HMV, John Hist dalam wawancara bersama The Guardian pula mengatakan artis dengan fanbase yang besar kebanyakannya menghasilkan kaset. 

Kaset Lady Gaga edisi istimewa. Gambar: Amazon.com
Kaset Lady Gaga edisi istimewa. Gambar: Amazon.com

 “Artis dan label rakaman telah menambah pita kaset dalam jualan album secara bundle termasuk CD, piring hitam dan kemeja-T dalam usaha untuk meningkatkan jualan.

“Seperkara tentang pita kaset, ia lebih dibeli sebagai barangan koleksi daripada didengar. Kami tidak jual banyak kaset di kaunter. Jualan kaset selalunya dilakukan di laman web artis.

“Disebabkan pita kaset lebih murah dihasilkan, kebanyakan label indie yang yang kecil akan mengeluarkan muzik mereka menerus kaset kepada kelompok peminat yang memang mendengarnya, tetapi jualannya tidak banyak mana,” katanya.  

 

The Island – Band Reggae Lokal Mengeluarkan Kaset 

Kumpulan The Island
Kumpulan The Island

Pendapat Karen Emmanuel dan John Hist ini memang benar.

Buktinya, sebuah band indie reggae daripada Pulau Pinang yang menamakan diri mereka sebagai The Island telah mengeluarkan pita kaset semasa meluncurkan EP pertama mereka, Power Up Your Mood  tahun lalu. 

Vokalis The Island, Tamizie Jidin atau Mizie berkata, keputusannya untuk mengeluarkan kaset itu dibuat olehnya sendiri kerana dia secara peribadi adalah peminat kaset. 

“Kebetulan kami ada duit lebih untuk hasilkan kaset. Jadi kami pun keluarkan 100 keping kaset dengan bantuan rakan di Kuala Lumpur yang boleh memindahkan segala rakaman yang dibuat di dalam CD ke kaset. 

“Pada waktu yang sama kami juga takut untuk keluarkan kaset itu dalam kalangan kelompok peminat kami. Akhirnya, kami membuat strategi untuk keluarkan kaset  ini sebagai edisi terhad sahaja. 

“Dalam tempoh 21 jam ia telah habis dijual. Ada juga peminat yang masih bertanya bagaimana mereka boleh dapatkan kaset ini. Tapi, disebabkan ia adalah edisi terhad, kami tak boleh mengeluarkannya lagi. Kami pun tak sangka,” katanya

 

Pita Kaset di Malaysia Hanya Sekadar Koleksi 

Pengarah Urusan Warner Music Malaysia, Darren Choy berkata, walaupun jualan kaset kembali meningkat di Amerika Syarikat dan United Kingdom, namun dia tidak melihat bahawa kaset akan kembali mendominasi industri muzik secara global. 

Pengarah Urusan Warner Music Malaysia, Darren Choy
Pengarah Urusan Warner Music Malaysia, Darren Choy

“Sebabnya tidak banyak pengeluar yang mengeluarkan kaset dan pemain kaset. Kebanyakan pengeluar kereta juga sekarang ini sudah tidak lagi menyediakan kemudahan pemain CD dan kaset di dalam kereta buatan mereka. 

“Atas sebab-sebab ini, pasti sukar untuk kaset kembali mendominasi industri muzik semula dan perkara paling utama ialah kualiti audio tidak sebaik piring hitam atau CD. Itu adalah hakikat yang perlu kita terima.

“Memang tidak dinafikan di negara-negara lain, masih ada yang mengeluarkan kaset. Tapi, medium kaset ini sukar bertahan kerana perubahan format yang terlalu drastik di dalam industri muzik. 

“Sekarang ini adalah zaman streaming. Semuanya dilakukan secara digital. Tapi, muzik sentiasa mengalami evolusi dan kita tidak tahu selepas streaming, apakah format lain yang akan digunakan pula,” katanya. 

Bagi Radzi Mohd Jasni, pemilik kedai muzik Teenage Head Records di Subang Jaya, dia tidak bersetuju dengan istilah 'revival' untuk kaset dan juga piring hitam.

Radzi Mohd Jasni, pemilik kedai muzik Teenage Head Records
Radzi Mohd Jasni, pemilik kedai muzik Teenage Head Records

“Istilah itu bagi saya tidak wujud dan tidak akan wujud. Kaset masih lagi mempunyai permintaan kerana ia mempunyai nostalgia dan estetikanya.  Disebabkan itu, ia diminati semula dan tiba-tiba mendapat permintaan yang tinggi. 

“Sebenarnya kebanyakan underground band lebih suka menghasilkan kaset kerana harganya lebih murah dan ia boleh dihasilkan sebanyak 100 sehingga 200 keping. 

“Tapi kemunculan filem Guardian Of The Galaxy sebenarnya telah menyumbang kepada permintaan yang tinggi terhadap kaset. 

“Filem itu telah memberikan impak yang besar kepada kaset dan tiba-tiba artis dan band-band muzik mahu mengeluarkan kaset sedangkan kalau dibandingkan dari sudut kualiti audio, ia masih tidak dapat menandingi CD,” katanya. 

Walau apapun, kita mungkin harus berterima kasih kepada Lou Ottens, jurutera dari Jerman yang meninggal dunia pada 6 Mac 2021 kerana dialah orang yang bertanggungjawab mencipta pita kaset ini.

Ottens sendiri tidak menyangka inovasinya telah memberikan sumbangan yang besar kepada industri muzik secara global. 

Walaupun kemunculan CD telah membunuh kaset dan penstriman digital muzik membuatkan kaset dianggap semakin tidak relevan, namun ia tetap akan kekal menjadi satu medium yang ikonik dalam lipatan sejarah industri muzik. - Getaran, 26 September 2021

Gambar The Island: Ihsan The Island

Semua gambar lain, kecuali tertera: Sadiq Asyraf Mohd Yusof

Isu Pada

Sisi Tersembunyi Daiyan Trisha

25 Sep 2021

Berita Berkaitan

1

Sukan 1 minggu yang lalu

Pecahkan Dominasi JDT Musim Ini - Azman Adnan

2

Luar Negara 4 minggu yang lalu

Singapura Rampas 1.5 Tan Produk Segar, Makanan Proses Dari Malaysia

3

Semasa 4 minggu yang lalu

Anwar Terima Kunjungan Menteri Luar India

4

Sukan 4 minggu yang lalu

Beraksi Di Laman Sendiri Gagal Bantu Harimau Malaya Saingi Kehebatan Oman

Sorotan

1

Anak MB Perlis, 4 Yang Lain Dilepas Dengan Jaminan SPRM

2

Pemilik Stesen Minyak Diminta Lapor KPDN Jika Diancam Sindiket

3

Najib Diberi Peluang Jelaskan Mengenai Dokumen 1MDB Ketika Disoal Siasat - Pegawai SPRM

4

Elak Ketirisan, Perkukuh Tatakelola, Boleh Beri Upah Lumayan Kepada Pekerja - PM

5

5 Laluan Ditutup Sementara Sempena Hari Penamaan Calon PRK KKB Esok

6

Misi Pelayaran Ke Gaza Ditangguhkan Berikutan Tekanan Rejim Zionis - FFC

7

Najib Tak Pernah Arah Pengurusan 1MDB Pindah US$1.03 Bilion Kepada Syarikat Jho Low – Saksi