Tiga pakar pemakanan dari farmasi terbesar di Malaysia, Farmasi Alpro, telah bergabung untuk mencipta resipi hidangan sarapan tempatan yang lebih sihat serta diinspirasikan daripada makanan kegemaran tempatan.
Inisiatif ini bertujuan bagi mendorong lebih ramai rakyat Malaysia untuk mengamalkan pemakanan yang lebih sihat. Bersama, mereka bertiga mencipta resipi sihat untuk tiga sarapan pagi kegemaran rakyat Malaysia seperti roti sarang burung, mi kolo dan tose.
#1 Roti Sarang Burung

Roti ‘Wholemeal’ Sarang Burung ciptaan Nor Anieza Abas ini diinspirasikan dari hidangan ‘roti canai sarang burung’ yang tular di media sosial.
Nor Anieza memberikan sentuhan yang lebih sihat dengan menggantikan roti canai dengan roti gandum untuk kalori yang lebih rendah dan kurang lemak.
“Resipi ini mengandungi jumlah kalori yang lebih rendah berbanding roti canai. Saya menggunakan bahan-bahan yang mudah diperolehi bagi memudahkan semua orang untuk mencuba resipi ini di rumah,” jelas Anieza.

#2 Mi Kolo Ayam

Berasal dari Bumi Kenyalang, sarapan sihat ini dicipta oleh Ivy Hew dengan menggunakan bahan-bahan sihat seperti dada ayam tanpa lemak, sayur bak choy, lobak merah dan juga minyak zaitun dalam resipinya.
Menggunakan pendekatan resipi mesra Muslim, Ivy berkata, “Saya menggunakan minyak zaitun sebagai asas hidangan ini bagi menyediakan semangkuk mi kolo yang lebih sihat.
“Idea di sebaliknya ialah untuk mencipta hidangan mi kolo yang lebih seimbang dari segi nutrisi. Ia bersesuaian dengan nisbah ‘suku-suku-separuh’ yang disyorkan oleh ramai pakar pemakanan, termasuk saya,” tawa Ivy.

#3 Tose Diet Sihat

Kebiasaannya tose dihidangkan bersama kari dan chutney. Ia mudah didapati di kebanyakan restoran makanan India dan restoran mamak.
Digemari oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, pakar pemakanan Deva Bhargunan mencipta ‘Tose Diet Sihat’, satu versi tose yang lebih sihat.
Rendah karbohidrat, Deva menggantikan tepung beras dengan tepung soya (metabolic sauver) bagi membantu mengawal kadar gula dalam darah, terutamanya bagi penghidap diabetes.
“Antara faktor utama penyakit kencing manis tidak terkawal yang semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat adalah disebabkan oleh pengambilan karbohidrat yang berlebihan.
“Tose sihat ini mesra diabetes kerana menggunakan metabolic sauver atau tepung soya yang membantu meningkatkan kepekaan insulin dan mencegah lonjakan gula dalam darah,” katanya.

Menurut Pengarah Jenama, Promosi dan Pemasaran Alpro, Lee Yin Chen berkata, “Bukanlah menjadi satu rahsia lagi, Malaysia mencatatkan kadar obesiti di antara yang tertinggi di Asia.
“Ia dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti tabiat pemakanan yang tidak seimbang, kekurangan aktiviti fizikal dan pengamalan gaya hidup yang kurang aktif dalam kalangan masyarakat.
“Namun begitu, orang ramai seharusnya lebih peka terhadap peningkatan kadar obesiti ini, terutamanya sepanjang wabak COVID-19.
“Justeru, kami menawarkan khidmat nasihat pemakanan dan konsultasi diet secara percuma di semua cawangan Farmasi Alpro serta melalui laman Facebook rasmi kami,” ucap Chen.
Layari Farmasi Alpro untuk maklumat lanjut. - Getaran, 18 September 2021
Semua gambar: Farmasi Alpro