Berita Terkini

2 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 1 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 2 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019

IKUTI KAMI


'Sitora' Kisah Harimau Jadian Malaysia Ke Pentas Hollywood

Walaupun 'Sitora' diterbitkan Fangoria Studios di Amerika Syarikat, namun ia tetap sebuah filem Malaysia kerana para pelakon dan kru produksinya dari Malaysia. Lokasi penggambarannya juga di sini.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 12 Sep 2021 6:54PM

oleh

Ellyna Ali

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Tidak ramai yang berpeluang menontonnya filem genre drama dan seram, Sitora Harimau Jadian yang diterbitkan di Studio Merdeka, Kuala Lumpur pada November 1964.

Namun, ramai yang mengetahui bahawa filem ini adalah naskhah karya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang diarahkan serta dilakonkan Seniman Agung itu bersama Datuk Mahmud June, Rosmawati, Ali Rahman, Minah Hashim dan Fazliyaton. 

Antara pelakon dan kru filem 'Sitora Harimau Jadian'. Gambar: Twitter Mubi Malaysia
Antara pelakon dan kru filem 'Sitora Harimau Jadian'. Gambar: Twitter Mubi Malaysia

Malangnya, sampai bila-bila pun, Sitora Harimau Jadian versi ini tidak dapat dinikmati oleh generasi hari ini dan akan datang kerana filem itu sudah pun musnah dan lenyap begitu sahaja berikutan kondisi penyimpanan arkib tidak dilakukan dengan baik di bangunan Studio Merdeka yang kini digunakan sebagai pejabat Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS).

Mujurlah, syarikat penerbitan Fixi telah menerbitkan buku Sitora Harimau Jadian tulisan P. Ramlee pada 2012 sebagai suatu inisiatif untuk meraikan sesuatu karya yang masih wujud.

Setidak-tidaknya ia mampu dijadikan sebagai bahan rujukan atau bahan bacaan untuk mereka yang ingin tahu tentang kewujudan cerita ini. Novel ini asalnya diterbitkan pada tahun 1965. 

Buku Sitora Harimau Jadian terbitan Fixi
Buku Sitora Harimau Jadian terbitan Fixi

Penerbitan buku inilah yang telah mendorong pengarah Malaysia yang bertapak di Los Angeles, Diffan Sina Norman untuk menginspirasikan kisahnya ke dalam filem yang diberikan judul Sitora.

Sitora bakal diterbitkan Fangoria Studios yang pada awalnya bermula sebagai penerbitan majalah peminat filem seram di Amerika di bawah Fangoria Publishing. 

Menariknya, Sitora juga bakal menjadi filem cereka pertama yang diarahkan Diffan selepas pengarah berdarah campuran Melayu-Iran ini berjaya mengarahkan dua filem pendek, Kekasih dan Benevolent Ba

Kekasih yang menerima geran daripada FINAS telah ditayangkan di Sundance Film Festival pada 2014, dicalonkan di Festival Filem Malaysia Ke-24 dan turut menerima anugerah juri di Nashville Film Festival. 

Manakala, Benevolent Ba dipertandingkan untuk Short Filem Grand Jury Prize di Sundance Film Festival 2020 bagi kategori Short Film Grand Jury. Filem pendek ketiganya, Hereafter bakal menyusul. 

Sewaktu dihubungi Getaran, Diffan yang ketika ini masih lagi berada di Los Angeles berkata, dia masih belum mendapat pelepasan untuk pulang ke Malaysia bagi menjayakan penggambaran Hereafter.

“COVID-19 telah menyebabkan saya tersekat di sini. Kalau hendak diikutkan, saya sepatutnya pulang ke Malaysia pada Jun atau Julai. Memandangkan ia tidak menjadi kenyataan, saya memikirkan untuk pulang pada November nanti jika sempadan telah dibuka dan keadaan sudah mula reda. 

“Jika tahun ini penggambaran Hereafter  tidak menjadi kenyataan, mungkin, kita terpaksa memindahkannya ke tahun hadapan sahaja. Selepas itu, barulah saya akan melakukan penggambaran Sitora,” katanya. 

Pengarah, Diffan Sina Norman
Pengarah, Diffan Sina Norman

Mengakui bahawa dia merupakan peminat kepada filem-filem P. Ramlee dan sering menonton filem-filem arahan dan lakonan seniman serba boleh itu bersama bapanya sewaktu zaman membesarnya, Sitora Harimau Jadian bagaimanapun sangat asing buatnya. 

“Apabila saya membaca buku yang diterbitkan Fixi, barulah saya dapat mengenali dan mendalami karya P. Ramlee ini.

“Daripada buku ini, saya dapati bahawa karya Sitora Harimau Jadian ini sangat menarik kerana ia menyentuh tentang ilmu agama, ilmu persilatan, ilmu sains, perundangan dan alam mistik.

“Dalam interpretasi saya untuk Sitora, saya cuba untuk gabungkan kesemua elemen ini dan saya akan cuba terokai lagi penceritaan dari sudut keimanan seorang lelaki.

“Karya P. Ramlee yang saya cuba adaptasikan ini perlu saya lakukan dengan cermat kerana saya sangat memandang tinggi kebolehannya.

“Bayangkan, pada zaman yang serba kekurangan teknologi, beliau mampu hasilkan filem sebegitu, bagi saya dia dan karyanya sangat advanced pada ketika itu,” jelasnya. 

Diffan juga mahu memaparkan sesuatu kelainan di dalam Sitora dalam konsep seram pada waktu siang hari. 

“Dalam konteks seram, ia pasti akan dikaitkan dengan waktu malam. Kebanyakan filem-filem seram juga menampilkan elemen seram pada waktu malam. 

“Bagi, saya rasa seram atau elemen seram ini boleh diterjemahkan dengan sesuatu yang tidak dijangka dan tetapi ketegangannya dapat dirasai,” sambungnya. 

Dia bagaimanapun sengaja tidak mengulas lanjut bagaimana harimau dijelmakan di dalam filem Sitora ini. 

“Saya tahu pasti orang akan memikirkan bahawa kami menggunakan CGI di dalam filem (sambil tertawa). Tapi, nyata, kita tidak akan gunakan CGI,” katanya sambil tersenyum. 

Walaupun filem ini diterbitkan Fangoria Studios yang berpusat di Amerika Syarikat, namun Diffan berkata, Sitora adalah sebuah filem Malaysia. 

Diffan bersama pengarah sinematografi Saifuddin Musa di set penggambaran 'Benevolent Ba'
Diffan bersama pengarah sinematografi Saifuddin Musa di set penggambaran 'Benevolent Ba'

“Filem ini menggunakan bahasa Malaysia. Pelakon-pelakonnya juga adalah pelakon Malaysia. Tenaga produksi kerja adalah kru Malaysia dan lokasi penggambarannya juga dilakukan di Malaysia. 

“Ini adalah satu-satunya cara untuk mengangkat filem kita ke negara luar, memaparkan keindahan Malaysia serta menampilkan kehebatan aktor-aktor kita. 

“Aktor Wan Hanafi Su bagi saya adalah seorang pelakon yang sangat berkaliber. Dialah yang akan memegang watak sebagai dukun dengan nama Sir. Ada beberapa lagi pelakon yang sudah menjadi pilihan saya, tetapi saya belum boleh kongsikan.

“Saya juga sangat suka bekerja dengan krew produksi kita. Sebab, mereka juga punya skil dan kehebatan sendiri.

“Ada krew saya yang bila dia dongak ke langit dan tengok matahari sahaja, dia sudah tahu kita boleh shoot atau tidak. Bolehkah anda berjumpa krew begini di negara luar? 

“Seperkara lagi, saya juga suka dengan konsep mengamalkan doa sebelum shooting bermula.

“Bagi saya, ini adalah perkara-perkara yang saya ingin kongsikan kepada para penerbit saya apabila saya memulakan principal photography untuk Sitora,” katanya yang mengakui tidak sabar untuk memulakan penggambaran filem cereka pertamanya itu. 

Kata Diffan lagi, dia mula menulis naskhah Sitora pada 2014. “Saya ada pitch filem ini dengan beberapa pihak di Malaysia. Tapi, mungkin mereka tidak dapat hala tuju dan pemikiran filem ini. 

“Terus-terang, sukar untuk saya mempengaruhi pihak-pihak tertentu untuk saya menghasilkan filem cereka apabila saya tidak pernah melakukannya.

“Jadi, apabila saya menceritakan tentang naskhah ini kepada tiga orang produser iaitu Tara Ansley, Armen Aghaeian dan Abhi Goel, mereka menyukainya. 

“Saya bersyukur kerana mereka berminat dengan karya ini dan mahu menerbitkannya untuk Fangoria Studios,” katanya lagi yang menggunakan masa terluang ini untuk memperkemaskan lagi nashkah Sitora

Meminati muzik, kartun dan filem, Diffan mengakui sangat mengagumi hasil kerja pengarah-pengarah filem Malaysia yang lebih dahulu bergelumang dalam pembikinan filem. 

“Saya menonton karya filem Aziz M. Osman, Shuhaimi Baba (Datuk Paduka), Yasmin Ahmad, Hatta Azad Khan (Datuk) dan U Wei Hj. Shaari. 

“Mereka adalah pengarah-pengarah filem yang sangat hebat dan banyak yang perlu saya lakukan jika saya ingin mengecapi tahap seperti mereka,” katanya yang gemar memasak dan sering memasak masakan Melayu untuk menghilangkan rasa rindu terhadap makanan Malaysia. - Getaran, 12 September 2021


Gambar, kecuali tertera: Ihsan Diffan Sina Norman dan Fangoria Studios

Isu Pada

Tony Eusoff Dan Zizi Kirana Terus Mara Ke Hadapan

11 Sep 2021

Berita Berkaitan

1

Sukan 1 minggu yang lalu

Pecahkan Dominasi JDT Musim Ini - Azman Adnan

2

Luar Negara 3 minggu yang lalu

Singapura Rampas 1.5 Tan Produk Segar, Makanan Proses Dari Malaysia

3

Semasa 3 minggu yang lalu

Anwar Terima Kunjungan Menteri Luar India

4

Sukan 3 minggu yang lalu

Beraksi Di Laman Sendiri Gagal Bantu Harimau Malaya Saingi Kehebatan Oman

Sorotan

1

Lelaki Sindrom Down Melecur Disimbah Air Panas Dalam Lif

2

8 Aksi Pramusim Digunakan Untuk Uji Sistem VAR - Stuart

3

Misi Hantar Bantuan Kemanusiaan Ke Gaza Dengan Kapal Tetap Diteruskan - Ann Wright

4

PRK Kuala Kubu Baharu: Kerajaan Perpaduan Ada Kaedah Pastikan Calon Menang

5

Pemain Badminton Negara Pamer Kekuatan Mental Menjelang Piasa Thomas, Uber

6

Pelajar Sekolah Meninggal Dunia Ketika Acara Larian Rentas Desa

7

Lelaki Israel Miliki Senjata: 10 Individu Ditahan Bawah SOSMA