Berita Terkini

2 hari yang lalu: Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap tuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam 5 hari yang lalu: KKM nasihatkan semua aktiviti di luar bilik darjah ditangguhkan sementara di semua lokasi yang merekodkan cuaca panas antara 35 hingga 37 darjah celsius 6 hari yang lalu: Pihak Ocean Infinity akan bentang kawasan pencarian baharu MH370 kepada MOT awal Mei - Loke 6 hari yang lalu: MAVCOM tambah 342 penerbangan domestik di seluruh negara untuk perjalanan antara 3 hingga 18 April - Loke 6 hari yang lalu: Tiket tambahan ETS dan perkhidmatan tren khas mula dijual hari ini bermula 5 petang - Loke

IKUTI KAMI


Peristiwa Sejarah Bangsa Malaysia Wajar Digali Untuk Filem Kenegaraan, Bhg. 2

Minggu lalu, Akmal Abdullah bercerita tentang kenapa kita masih perlu 'menggali' peristiwa dan sejarah kita untuk filem-filem kenegaraan. Tulisan minggu ini ialah sambungannya.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 29 Aug 2021 1:00PM

Yap Ah Loy, Rentap dan Aishah Ghani. Kisah mereka boleh difilemkan, tapi kenapa belum ada yang mahu? Gambar: Wikipedia

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Bacalah bahagian pertama Peristiwa Sejarah Bangsa Malaysia Wajar Digali Untuk Filem Kenegaraan di sini dahulu.

Negara kita baru saja mencapai kemerdekaan yang ke-64. Amerika Syarikat yang sudah lebih 250 tahun merdeka pun saban tahun sentiasa menghasilkan filem propaganda mengenai kehebatan, kebijaksanaan rakyatnya dan kemajuan hebat negara Uncle Sam itu. 

Malang buat industri filem dan rakyat negara ini yang sangat kekurangan filem propaganda yang menjurus kepada sumbangan untuk elemen patriotisme. Malah, kita kesal ada warganya sendiri yang menghasilkan filem dengan agenda jahat untuk menjatuhkan imej dan maruah negara. 

Banyak lagi kisah ketokohan, sejarah hebat peristiwa bangsa Malaysia wajar digali untuk tema filem kenegaraan. Lihat saja sejarah alam Tanah Melayu yang sarat dengan kisah tokoh pejuang bangsa dan pencinta tanah air. 

Kita masih ternanti-nantikan filem berlatarkan kisah perjuangan Tok Janggut, Datuk Maharaja Lela, Abdul Rahman Limbong dan Tengku Kudin. Mana filem tentang kehebatan pemikiran Datuk Wan Mat Saman?

Selain itu, ada juga kisah tokoh sejarah silam seperti Rentap, Mat Salleh, Dol Said, Rosli Dhoby, Datuk Bahaman, Temenggung Jugah, Henry HS Lee, Tan Cheng Lock serta tokoh pejuang wanita, termasuk Ibu Zain, Khatijah Sidek dan senator wanita pertama negara, Aishah Ghani.

Kita ada kisah legenda yang maha hebat seperti ketokohan Cik Siti Wan Kembang, Sultan Alauddin Riayat Syah, mahupun kisah perjuangan anti-Malayan Union.

Kita ada cerita mengenai pembesar bernama Sultan Puasa yang menjadi tokoh sebenar membuka Kuala Lumpur. Kita ada tokoh masyarakat Cina yang menjadi peniaga hebat yang berjaya memajukan ekonomi di Kuala Lumpur, iaitu Yap Ah Loy.

Kita ada kisah Sultan Abdul Samad atau Sultan Abu Bakar yang menjadi bapa pemodenan negeri Johor zaman dahulu.

Negara ada tokoh bangsa yang menjadi anak Melayu pertama membuka bank pada era 40-an tetapi kejayaan dicemburui lalu beliau dibunuh, iaitu Maarof Zakaria, bapa kepada seniman Allahyarham Datuk Mustapha Maarof. 

Kisah kejayaan Serangan Subuh 1981 atau Dawn Raid yang bertemakan perang ekonomi yang berkisar mengenai usaha mengambil alih semula syarikat perladangan Guthrie yang menjadi milik kerajaan British juga sesuatu yang menarik untuk difilemkan. 

Industri kita perlukan juga filem yang mencipta sejarah kewujudan negara bernama Malaysia. Apabila Malaya, Singapura, Sabah dan Sarawak bergabung atas nama Persekutuan Malaysia, kita wajar memfilemkan bagaimana detik-detik itu tercapai dan apa halangan-halangannya hingga Presiden Sukarno dari Indonesia mencemburuinya lalu mengisytiharkan perang dengan slogan ‘Ganyang Malaysia’.

Gabungan ini adalah nikmat perpaduan terbesar tercatat pada 16 September 1963 yang wajar dijadikan sebuah riwayat filem kenegaraan. 

Tahun lalu, FINAS menerusi pengerusinya, Zakaria Abdul Hamid, ada memberi kenyataan bahawa ketandusan filem berunsur kenegaraan telah mendorong agensi perfileman itu untuk memberi tumpuan kepada usaha memartabatkan filem dalam konsep sedemikian, khususnya mengangkat kisah sejarah dan tokoh ikonik.

Kesedaran FINAS itu adalah sesuatu yang menjanjikan berita baik. Diharap FINAS konsisten dalam usaha sedemikian meskipun suasana politik negara tidak menentu.

Kita harap iltizam FINAS itu disokong oleh sesiapa sahaja yang menjadi menteri menaungi industri perfileman (Kementerian Komunikasi dan Multimedia).

Kita sangat mengimpikan industri filem cereka tempatan akan datang meriah dengan kehadiran lebih banyak filem berkonsep sedemikian. Ini penting supaya ia dapat memberi kesan positif untuk membantu kekuatan bangsa dan negara bagi jangka panjang.

Kita berharap, FINAS juga dapat menyediakan peruntukan besar untuk memastikan lebih banyak filem kenegaraan dihasilkan setiap tahun, iaitu sekurang-kurangnya lima hingga lapan judul setahun bagi mengisi pawagam. 

Juga memastikan projek filem kenegaraan yang mendapat bantuan sokongan dana ini harus dihasilkan dengan penuh tanggungjawab, naskhah skrip yang kukuh berasaskan fakta, disiapkan melalui produksi yang teliti dan nilai moralnya cenderung kepada kepentingan bangsa dan negara.

Baru-baru ini, FINAS mengambil inisiatif memperluaskan skop dan makna kategori filem kenegaraan kepada syarikat  produksi yang berminat untuk menerbitkan filem kenegaraan menerusi peruntukan dana ini dengan syarat ia mestilah bersandarkan skrip mengenai peristiwa penting dalam sejarah negara. 

Skrip atau lakon layar yang dihasilkan haruslah merujuk kepada perjuangan dan pengorbanan tokoh yang diiktiraf, selain komuniti, pasukan, kumpulan masyarakat atau individu yang menyumbang kepada pembangunan nilai serta memberi impak positif kepada aspek kenegaraan itu sendiri. 

Naratif dihasilkan juga harus berasaskan inspirasi peristiwa penting yang ikonik dalam lipatan sejarah diiktiraf, selain ada signifikan terhadap rasa cinta dan bangga untuk tanah air termasuk adaptasi dari karya sastera yang mengangkat nilai patriotisme, kemasyarakatan, kebudayaan, perpaduan dan pengorbanan.

Karyawan filem yang bakal menggalas tugas menyiapkan karya filem kenegaraan, haruslah memastikan sentuhan mereka itu berjaya menterjemahkan aspirasi dan kekuatan jati diri. Janganlah sekadar nama sahaja berkonsep filem kenegaraan tetapi hasil karya yang dihidangkan sekadar lepas tangan. 

Selalunya begitulah terjadi  apabila akhirnya filem kenegaraan yang dihasilkan itu tidak mempunyai kekuatan jiwa, tiada elemen spiritual serta menggunakan aspek teknikal yang ‘asal boleh’ atau cincai.

Sesungguhnya, bangsa Malaysia perlukan filem kenegaraan yang boleh menjunjung nama negaranya ke pentas dunia. - Getaran, 29 Ogos 2021

Isu Pada

Aspirasi Deborah Henry, Marsha Londoh Dan Douglas Lim

28 Aug 2021

Berita Berkaitan

1

Semasa 1 bulan yang lalu

Laungan Keramat 'Merdeka' Kembali Bergema Di Banda Hilir Selepas 68 Tahun

2

TARA 6 bulan yang lalu

5 Iklan Terbaik Sempena Hari Kebangsaan 2023, Sarat Mesej Bermakna Untuk Penonton

3

Semasa 6 bulan yang lalu

Cari Pengisian, Makna Sebenar Merdeka Atas Diri Sendiri Cabaran Utama - Mujahid

4

Semasa 6 bulan yang lalu

Program EMRKL Perlu Diteruskan Pada Hari Kebangsaan Akan Datang - Hannah  

Sorotan

1

PNB Umum Pengagihan Pendapatan 5.25 Sen Bagi ASB 2 Dan 4.75 Sen Bagi ASM 

2

Mohd Na'im Jalani Pembedahan Kecil Buang Kelenjar Air Liur

3

Polis Tahan Lelaki Disyaki Abai Kanak-kanak  

4

Padang Bukan Faktor Penentu Kekalahan Malaysia Kepada Oman - Darren

5

Dasar Buku Negara Diteliti Semula - Fadhlina

6

Perdana Menteri Dijangka Hadir Majlis Iftar MADANI Anjuran JAKIM Esok