TOKYO - Brisbane telah diberikan penghormatan untuk menjadi tuan rumah bagi Sukan Olimpik 2032 hari ini, ini menjadikan ia bandar ketiga Australia untuk menganjurkan temasya musim panas itu selepas Melbourne dan Sydney.
Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach mengesahkan keputusan tersebut selepas para perwakilan mengundi 75-5 dengan lima memilih untuk tidak mengundi dalam sesi IOC di Tokyo.
Pengumuman itu disambut dengan sorakan dari perwakilan Australia di Tokyo, manakala di Brisbane bunga api mewarnai langit dan orang ramai yang berkumpul menunggu keputusan undian itu bersorak kegembiraan.
Kemenangan Brisbane tampak tidak diragui selepas ia dicadangkan secara sebulat suara sebagai calon sulung untuk menjadi tuan rumah Olimpik 2032 oleh Lembaga Eksekutif IOC pada bulan Jun.
“Saya sangat teruja. Saya sangat berbangga akan negeri ini dan penduduknya. Tidak saya sangkakan yang perkara ini akan berlaku dalam hayat ini,” kata Ketua Negeri Queensland Anna Palaszczuk. - AFP

