BARCELONA - Lewis Hamilton memenangi perlumbaan GP Sepanyol kelima berturut-turut hari ini selepas pasukan Mercedesnya melakukan strategi pit-stop yang membantu beliau menamatkan perlumbaan di hadapan pelumba Red Bull, Max Verstappen.
Hamilton mencatat kemenangan ke-98 kariernya di Barcelona selepas pertukaran tayar membantu beliau menjarakkan diri daripada Verstappen dengan 14 mata di kedudukan kejuaraan Formula Satu (F1).
Valtteri Bottas menamatkan perlumbaan di tempat ketiga di hadapan pemandu Ferrari Charles Leclerc.
Hamilton memulakan perlumbaan daripada petak utama untuk kali ke-100, tetapi beliau dipintas oleh Verstappen sebelum tiba di selekoh pertama.
Pada pusingan kelapan, jentera Alpha Tauri Yuki Tsunoda berhenti berfungsi dan kereta keselamatan terpaksa keluar untuk mengawal perlumbaan sementara kereta pemandu Jepun itu dikeluarkan daripada litar.
Verstappen berjaya menghalang Hamilton selepas perlumbaan bermula kembali pada pusingan ke-11.
Dengan jumlah satu pertiga perlumbaan telah berjalan, pusingan pertama pit-stop bermula dan semua menumpukan perhatian kepada siapa yang akan berhenti dahulu.
Verstappen masuk dahulu ke laluan pit di pusingan ke-25 tetapi pit-stopnya lembap dalam satu lagi kesalahan kecil tetapi kritikal yang dilakukan oleh pasukan yang ingin bersaing untuk kejuaraan dunia itu.
Mercedes memanggil Hamilton masuk dan melakukan pit-stop yang pantas dan menukar kepada tayar medium yang mereka harapkan akan memberi kesan positif di akhir perlumbaan.
Di pusingan ke-43 Mercedes mula menunjukkan muslihat mereka.
Hamilton masuk kembali ke dalam laluan pit untuk menukar kepada tayar medium baharu.
Beliau masuk kembali ke litar dengan kelebihan 23 saat untuk Verstappen, di mana kehausan tayar beliau menyebabkan dia menjadi senang dikejar buat Hamilton.
Dengan tinggal sepuluh lagi pusingan, jarak diantara Hamilton dan Verstappen cuma tinggal tiga saat sahaja dan pada pusingan ke-60 beliau berjaya memotong pemandu dari Belanda itu untuk mendahului perlumbaan hingga ke akhir. - AFP

