PARIS - Manchester City mengalahkan Paris St Germain (PSG) 2-1 tetapi kedua-dua kelab layak ke pusingan seterusnya Liga Juara-Juara Eropah, di samping Real Madrid, Inter Milan dan Sporting Lisbon.
Kylian Mbappe membuka jaringan buat PSG sebelum Raheem Sterling menyamakan kedudukan. Gabriel Jesus menjadi wira City selepas menjaringkan gol kemenangan.
“Kami harus memperbaiki persembahan. Saya gembira dengan perkembangan kami.
“Keadaan lebih baik daripada dua bulan lalu, sedikit demi sedikit pasukan ini semakin memperbaiki kelemahan,” kata pengurus PSG Mauricio Pochettino yang dikatakan sedang dilamar Manchester United untuk menggantikan Ole Gunnar Solskjaer.
Karim Benzema menjaringkan gol dalam kemenangan 3-0 Real Madrid ke atas Sheriff Tiraspol, yang membawa pasukan itu ke pusingan seterusnya, beberapa jam selepas didapati bersalah oleh mahkamah Perancis dalam kes peras ugut.
David Alaba dan Toni Kross juga menyumbangkan jaringan untuk membalas dendam kekalahan mengejut mereka kepada Sheriff di awal saingan kumpulan.
Pengurus Real Carlo Ancelotti berkata keputusan mahkamah itu dan hukuman penjara setahun yang digantung, kerana memeras ugut bekas rakan sepasukan Perancis Mathieu Valbuena dengan pita seks, tidak memberi kesan kepada penyerang itu.
“Kami belum berbincang mengenai keputusan mahkamah itu, dia tenang, ia adalah perkara berkenaan dirinya yang sudah lama kami bincangkan untuk jangka masa yang lama,” kata Ancelotti.
Kemenangan itu membawa gergasi Sepanyol itu ke puncak Kumpulan D dua mata di hadapan Inter Milan yang juga layak ke pusingan seterusnya selepas mengalahkan Shakhtar Donetsk 2-0. - AFP
Keputusan lain:
Besiktas 1 Ajax 2
Inter 2 Shakhtar Donetsk 0
Sporting 3 Borussia Dortmund 1
Atletico Madrid 0 AC Milan 1
Liverpool 2 Porto 0
Club Brugge 0 RB Leipzig 5

