LONDON - Newcastle menamatkan penantian untuk melantik pengurus baharu dengan memperkenalkan bekas pengendali Bournemouth, Eddie Howe sebagai individu yang akan mengemudi kelab itu menghala ke era baharu di bawah pemilikan Saudi yang kaya raya.
Howe, 43, akan mengambil alih pasukan yang berada pada kedudukan kedua tercorot di Liga Perdana Inggeris, lima mata dari zon selamat dan belum menang lagi musim ini.
Beliau menggantikan Steve Bruce, yang meninggalkan kelab itu dengan “persetujuan bersama” pada 20 Oktober lalu iaitu selepas dua minggu pengambilalihan kelab yang diketuai oleh Saudi.
Newcastle mengikat Howe sehingga musim panas 2024.
Howe dalam pada itu menyifatkan pelantikan berkenaan sebagai satu penghormatan kepadanya.
“Ini adalah peluang yang baik bagi saya, tetapi banyak yang perlu dilakukan dan saya tidak sabar untuk turun padang serta melatih pemain,” katanya.
Newcastle, merupakan kelab yang mempunyai status yang dihormati di England dan mempunyai penyokong yang ramai namun gagal memenangi trofi besar sejak 1969. - AFP

