KUALA LUMPUR – Tiga sahabat dari Sri Lanka iaitu Nadun, Sampath dan Callum memukau hadirin di Tokong Buddha Maha Vihara di Brickfields dengan persembahan tarian Kandyan yang mempesonakan pada sambutan Hari Wesak.
Ketiga-tiga mereka yang telah membuat persembahan di Malaysia sejak 14 tahun lepas, memaparkan keunggulan mereka dalam bentuk tarian tradisional, sekali gus menambah sentuhan kemeriahan pada perayaan itu.
Nadun dan Sampath, kedua-duanya berusia 40 tahun serta Callum, 41, yang mula menari sejak berusia 12 tahun, mendedikasikan hidup mereka untuk tarian Kandyan yang popular dari Sri Lanka dan terkenal dengan pergerakan rumit serta pakaian berwarna terang itu.
"la tarian tradisional Sri Lanka yang sangat terkenal, merangkumi wilayah utara dan selatan negara itu," kata Nadun ketika ditemui di tokong berkenaan di sini semalam.
Tahun ini, kembara mereka ke Malaysia termasuk perarakan di Melaka semalam, mempersembahkan bakat mereka kepada penonton sebelum pertunjukan memukau di Tokong Buddha Maha Vihara di sini semalam.
Sambutan Hari Wesak di Brickfields disulami dengan rentak irama dan gerak tari yang lemah gemalai oleh penari Kandyan, memaparkan sekilas gambaran tentang warisan budaya Sri Lanka yang kaya dan memupuk semangat perpaduan dan perayaan dalam kalangan hadirin.
Sementara itu, Presiden Persatuan Sasana Abhiwurdhi Wardana di Tokong Buddha Maha Vihara, Prematilaka KD Serisena berkata sebanyak 45,000 orang datang ke tokong itu dari pagi hingga 6 petang semalam.
"Kami menjangkakan lebih ramai akan hadir, dengan kira-kira 20,000 hingga 30,000 orang akan menyertai perarakan. Walaupun hujan, semangat para penganut tidak untur, malah mereka terus menunaikan nazar," katanya.
Beliau berkata orang ramai daripada segenap lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama turut kelihatan berada di tokong itu semasa sambutan Hari Wesak hari ini.
Hari Wesak merupakan perayaan terpenting bagi penganut Buddha untuk memperingati kelahiran, pencerahan agung serta kematian pengasas agama itu, Siddharta Gautama dan diraikan dengan menyalakan colok dan lilin berbentuk bunga teratai, menabur bunga dan memandikan patung Buddha. – BERNAMA
