Berita Terkini

1 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 2 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Semporna Sepi Angkara COVID-19

Semasa Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 14 Feb 2021 8:32AM

Mohd Rusdin (kiri) bersama pelancong luar negara ketika bertugas sebagai penyelam skuba.

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

SEMPORNA - Jika ditanya kepada pencinta selam skuba, semua pasti sepakat mengakui kecantikan Semporna yang dianggap sebagai syurga, lantaran keindahan memukau dimiliki dasar laut kepulauan itu.

Merupakan antara daerah terhampir dengan Tawau, Semporna yang terbentuk dari gugusan kepulauan ini adalah destinasi impian hampir semua penyelam skuba, untuk meneroka keunikan hidupan marin di sana.

Pada 5 Januari 2021, sebuah laman sesawang antarabangsa, www.scubtravel.co.uk menyenaraikan Pulau Sipadan di Semporna sebagai lokasi menyelam terbaik di seluruh dunia.

Menjadikan Barracuda Point di Sipadan sebagai destinasi pilihan, gambaran diberi laman web berkenaan sudah cukup mengungkap kecantikan dan keindahan bawah laut yang dimiliki Semporna.

Saban tahun, kawasan itu akan penuh sesak dengan pelancong, yang memenuhi pelbagai resort di sana, semata-mata mahu menghabiskan masa dengan meneroka dan menyaksikan sendiri keindahan serta keunikan hidupan marin.

Getaran difahamkan, ada tempahan perlu dibuat setahun lebih awal kerana pengusaha pusat menyelam mahu menjaga kawasan itu agar tidak terlalu sesak, demi memulihara kecantikan alam sekitar.

Kehadiran virus COVID-19 bagaimanapun mengubah landskap yang mendasari demografi kepulauan itu, apabila suasana di Semporna berubah sekelip mata.

Larangan merentas sempadan menjadikan syurga pelancong itu sunyi sepi dan hanya dihiasi kehadiran masyarakat setempat.

Walaupun keadaan itu sedikit sebanyak membantu memulihara alam sekitar dengan lebih efektif, realitinya ia mencetuskan kegusaran di hati pemain industri pelancongan, yang bergantung sepenuhnya kepada sektor berkenaan sebagai mata pencarian.

Perintah Sekatan Imigresen yang dilaksanakan kerajaan negeri bermula 18 Mac tahun lalu menambah luka di hati mereka, apabila bilangan pelancong, khususnya dari China menjunam mendadak.

Senario berkenaan turut dirasai kumpulan petugas di pusat selam skuba yang selama ini menjadikan aktiviti berkenaan sebagai sumber pendapatan, dengan membawa atau membantu pelancong ke destinasi pilihan mereka.

Sambal udang buatan sendiri Rusdin
Sambal udang buatan sendiri Rusdin

Mohd Rusdin Simeran, 29, ketika ditemui Getaran berkata, aktiviti dan khidmatnya terhenti apabila majikan tempat beliau bertugas terpaksa akur dengan arahan dikeluarkan kerajaan.

“Majikan saya sebenarnya sudah menjangkakan keadaan seperti ini akan menimpa kami, walaupun ketika itu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) belum dilaksanakan.

“Sejak Disember 2019, kami sudah dimaklumkan untuk mengambil cuti tanpa gaji, selepas kes COVID-19 yang bermula di China mula menular," katanya.

Keputusan itu katanya, dibuat majikan selepas mengambil kira kedudukan Semporna yang sering menjadi destinasi pilihan untuk pelancong dari China.

Sejak itu, anak jati Kampung Pantai, Sipitang ini, berpindah semula ke Kota Kinabalu selepas majikannya mengambil keputusan 'menutup' operasi lebih awal, dipercayai bagi mengurangkan impak kerugian.

"Sebaik berada di Kota Kinabalu, saya enggan mengambil masa lama dan mula menjalankan perniagaan menjual madu kelulut.

"Ini kerana kampung saya cukup terkenal dengan industri madu berkenaan," katanya.

Tambah Mohd Rusdin, kesempatan itu dimanfaatkannya demi meneruskan kehidupan yang terjejas sepanjang PKP sehingga kini.

"Selain itu, saya juga mempunyai pengalaman bekerja sebagai pembantu dapur di sebuah premis makanan sebelum menjadi penyelam skuba.

"Justeru, berdasarkan ilmu yang ada saya turut menjual sambal udang buatan sendiri untuk dipasarkan di Kota Kinabalu dan kawasan sekitar," katanya.

Mohd Rusdin mengakui, pendapatan dijana ketika ini tidak selumayan ketika bertugas di pusat selam skuba berkenaan, yang ada kalanya mencecah sehingga RM5,000 sebulan.

"Perniagaan saya hanyalah secara kecil-kecilan dan hanya mampu menampung perbelanjaan harian serta modal perniagaan.

"Mujur ada rakan dan keluarga sudi membantu, baik dari segi sokongan ke atas perniagaan atau sumbangan keperluan harian, termasuk makan dan minum,” katanya yang mengusahakan perniagaan itu secara atas talian, menerusi akaun Facebook, Rusdien Grind.

Antara promosi sambal udang yang dilakukan Mohd Rusdin menerusi platform Facebooknya.
Antara promosi sambal udang yang dilakukan Mohd Rusdin menerusi platform Facebooknya.

Berbeza pula situasinya dengan Suzimin Edris, 34, yang mula membina kerjaya sebagai penyelam skuba pada tahun 2008.

Akur dengan situasi semasa, Suzimin menerima tawaran majikan yang menyediakan makanan dan tempat tinggal secara percuma, tetapi perlu terus berkhidmat tanpa gaji.

"Sebagai balasan, saya perlu melakukan kerja baik pulih di pusat peranginan majikan termasuk menjaganya sepanjang ia ditutup.

"Dalam keadaan sekarang, kesudian majikan memberi menyediakan tempat tinggal dan makanan adalah jauh lebih baik, apatah lagi ketika ini sektor pelancongan di Semporna juga tidak beroperasi langsung," katanya.

Suzimin Edris
Suzimin Edris

Tambah Suzimin, seperti juga rakan yang lain, dia pernah melakukan beberapa pekerjaan seperti mengambil upah menghantar dan membeli barang.

"Dengan bayaran antara RM5 hingga RM8, ia agak kurang berbaloi memandangkan saya bergerak menggunakan kereta.

"Mujur ada i-Lestari yang disediakan kerajaan, dan dengan wang itu saya gunakan untuk membayar ansuran hutang bulanan sebanyak RM300," katanya.

Suzimin turut mengambil upah melakukan kerja penghantaran barang. - Gambar Facebook Suzimin
Suzimin turut mengambil upah melakukan kerja penghantaran barang. - Gambar Facebook Suzimin

Suzimin memberitahu, beliau juga pernah dipelawa menyertai sukarelawan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selama dua bulan bermula September tahun lalu.

"Seramai 11 orang penyelam skuba mendaftarkan diri sebagai sukarelawan KKM di Semporna, namun, hanya empat termasuk saya diterima selepas menjalani sesi saringan yang ketat.

"Saya difahamkan, ketika itu, ramai kakitangan KKM di Semporna tidak dapat bertugas selepas sebahagian daripada mereka disahkan positif COVID-19 dan perlu dikuarantin," katanya.

Kisah Mohd Rusdin dan Suzimin hanya sebahagian kecil daripada liku-liku hidup rakyat, yang menempuh seribu kegetiran akibat penularan COVID-19.

Seperti mana keindahan di Semporna yang tidak pernah surut, begitu juga harapan dua pemuda ini untuk melihat kehidupan mereka kembali bersinar seperti dahulu, moga ada cahaya di hujung sana buat mereka. – Getaran, 14 Februari 2021

Berita Berkaitan

1

Kisah Kita 3 bulan yang lalu

Kisah Bendera Putih, Cebisan Bukti Keluhuran Hati Al-Sultan Abdullah

2

Semasa 3 bulan yang lalu

COVID-19: Pemakaian Pelitup Muka Masih Digalakkan Di Sekolah - Wong

3

Semasa 3 bulan yang lalu

20 Kes Baharu COVID-19 Dikesan Libatkan Mangsa Di PPS Terengganu, Kelantan - Dr Dzulkefly

4

Semasa 3 bulan yang lalu

Peningkatan Kes COVID-19, Amalkan Semula SOP Kesihatan - Pakar

Sorotan

1

Norjuma Didakwa Cederakan 3 Individu, Berbuat Khianat

2

Pengebumian Joanna Diiringi Tangisan Anaknya

3

Tragedi Helikopter TLDM : Jasad Mendiang Joanna Felicia Dikebumikan Di Serian Pagi Ini

4

PRK DUN KKB : Aspek Ekonomi Antara Fokus Kerajaan Perpaduan Sepanjang Kempen

5

Lebih 14,000 Aduan Diterima Menerusi Aplikasi MYJalan Setakat Ini - Ahmad Maslan

6

Pang Sock Tao Calon Kerajaan Perpaduan Bagi PRK Kuala Kubu Baharu

Disyorkan untuk anda

Semasa 1 hari yang lalu

Kes Palsukan Dokumen : Anak Menteri Besar Perlis Antara 6 Direman SPRM

oleh Wartawan Getaran

Semasa 1 hari yang lalu

Prestasi Malaysia Dalam Laporan Amnesty International Buruk

Semasa 20 jam yang lalu

Sik Dibasahi Hujan, Ribuan Iringi Perjalanan Terakhir ‘Adik Mad’

oleh Rafisqi Radhi

Semasa 6 jam yang lalu

Akaun Fleksibel KWSP Bermula Baki Sifar Berkuatkuasa 11 Mei Ini

oleh Wartawan Getaran