KUALA LUMPUR- Kertas siasatan berhubung rasuah bernilai RM6 juta membabitkan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) kini dalam semakan terakhir sebelum diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC).
Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki kepada media ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah ke-10 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) yang dirasmikan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, di sini hari ini.
"Siasatan (KFA) telah siap dan telah dikemukakan pada Timbalan Pendakwa Raya (SPRM) dan kini sedang dalam kajian mereka. Kertas siasatan itu belum lagi dihantar ke AGC," katanya.
Pada 5 Januari lepas, media melaporkan SPRM mendapat perintah tahanan reman selama tiga hari terhadap empat individu berusia lingkungan 40 hingga 60 tahun termasuk Ketua Pegawai Eksekutif KFA bagi membantu siasatan dalam kes meminta dan menerima rasuah berjumlah lebih RM6 juta pada 2020.
Wang itu dipercayai sebagai balasan bagi membantu seorang pemilik syarikat mendapatkan tender projek pembinaan litar lumba dan projek mengurus, mengoperasi serta menyelenggara lima loji takungan air di Kedah. - BERNAMA

