KUALA LUMPUR - Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) menyasarkan 200,000 purata pengguna harian Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Ampang/Sri Petaling menjelang penghujung 2024
Rapid Rail dalam kenyataan hari ini memaklumkan, jumlah berkenaan bertambah berbanding 155,000 penumpang pada tahun lepas, susulan pembukaan semula laluan antara Stesen Masjid Jamek dan Stesen Bandaraya pada 6 pagi tadi.
"Serentak dengan pembukaan semula laluan antara kedua-dua stesen tersebut,kekerapan tren pada waktu puncak kembali normal dengan masa menunggu tiga minit bagi daerah pusat perniagaan (CBD) dan enam minit di luar daerah pusat perniagaan (non-CBD) dengan pengoperasian 37 tren," menurut kenyataan itu.
Rapid Rail memaklumkan pembukaan semula laluan itu dibuat setelah mendapat kelulusan daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) berdasarkan penilaian dan pemeriksaan yang dijalankan.
"Proses membaik pulih telah selesai sepenuhnya pada 30 Disember lepas dan pemeriksaan serta pengesahan telah dilakukan oleh pihak jurutera perunding selain beberapa siri ujian dan pemantauan menyeluruh telah dilaksanakan bermula 1 Januari hingga 16 Februari (semalam)," menurut kenyataan itu.
Laluan antara Stesen Masjid Jamek dan Stesen Bandaraya telah ditutup sejak 27 Januari tahun lepas atas faktor keselamatan akibat kerosakan struktur jejambat dan landasan berhampiran Stesen Bandaraya.
Menurut Rapid Rail kerja-kerja membaik puih kerosakan teleh dimulakan pada 17 Mac tahun lepas dengan melibatkan dua fasa merangkumi kerja-kerja menyokong jejambat di P163, Pl64 dan P165 serta mengembalikan struktur jejambat ke kedudukan asal.
Rapid Rail berharap pergerakan penumpang dipermudahkan selain jumlah penumpang dapat dipertingkatkan dan aktiviti ekonomi di sekitar laluan itu akan kembali rancak.
"Pihak Rapid Rail ingin merakamkan penghargaan terima kasih kepada pengguna setia LRT atas kesabaran dan sokongan berterusan ketika penutupan laluan ini," menurut kenyataan itu. - BERNAMA

