KUALA LUMPUR – Kelvin Kiptum, pemegang rekod dunia maraton, maut selepas terbabit dalam satu kemalangan jalan raya berdekatan bandar Eldoret di barat Kenya, lewat malam Ahad, waktu tempatan.
Turut maut dalam kemalangan berkenaan adalah jurulatihnya, Gervais Hakizimana, 36, yang berasal dari Rwanda, manakala seorang lagi penumpang dalam kereta terbabit, seorang wanita, mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke hospital.
Portal berita CNN, yang memetik Komander Polis Wilayah Elgeyo Marakwet, Peter Mulinge, melaporkan, Kiptum, 24, atlet Kenya, yang memandu kereta jenis Toyota Premio, hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam parit di tepi jalan kemudian menghentam sebatang pokok besar.
Mulinge dilaporkan berkata, kemalangan itu berlaku kira-kira jam 11 malam waktu tempatan.
CNN turut melaporkan, kemalangan berlaku dua minggu selepas rekod 2:00:35 yang dibuatnya pada Maraton Chicago pada Oktober tahun lalu, diraktifikasikan oleh World Athletics.
Hakizimana pula adalah bekas atlet profesional berasal dari Rwanda yang sebelum ini bertanding dalam pelbagai jenis perlumbaan termasuk larian 5,000 meter dan separuh maraton.
Sementara itu, The Associated Press yang memetik rakan atlet Milcah Chemos, sebagai berkata, kejadian itu berlaku antara bandar Eldoret dan Kaptagat, iaitu di kawasan beraltitud tinggi yang terkenal sebagai pangkalan latihan untuk pelari jarak jauh terkemuka Kenya dan dari seluruh dunia.
Kiptum juga dikatakan lahir dan membesar di kawasan berkenaan. – Getaran, 12 Februari 2024

