BUTTERWORTH – Siasatan terhadap pasangan suami isteri yang didakwa mengganggu penunggang motosikal di Jambatan Pulau Pinang diteruskam biarpun seorang daripada suspek berstatus Orang Kurang Upaya (OKU.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin, seperti dilaporkan media, berkata, ia berikutan perbuatan kedua-dua suspek berkenaan masih satu kesalahan.
Beliau dilaporkan berkata, semakan dijalankan pihaknya mendapati kedua-dua suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau.
Katanya, pihaknya juga akan membuat semakan sama ada suspek wanita mengalami masalah mental, begitu juga status pemegang kad OKU yang dimiliki suspek.
"Bagaimanapun, dalam hal ini kita tegaskan bahawa salah tetap salah," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Op Selamat Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Sungai Dua, di sini, hari ini.
Khaw berkata, pihaknya menyiasat kejadian itu bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan.
Selain itu, beliau berkata, pihaknya sudah memperoleh perintah reman selama empat hari terhadap kedua-dua suspek sehingga 10 Februari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Sementara itu, portal Kosmo! ONLINE melaporkan pasangan suami isteri berkenaan yang sebelum ini tular selepas rakaman perbuatan menendang serta melempar pasir ke arah muka pengguna Jambatan Pulau Pinang, kelmarin tersebar di media sosial, ditahan reman selama empat hari, mulai hari ini.
Portal itu melaporkan, perintah reman berkenaan terhadap kedua-dua suspek berusia 50-an dan 37 tahun itu dikeluarkan Majistret Mohd. Harith Mohd. Mazlan di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam. – Getaran, 7 Februari 2024

