KUALA LUMPUR: Enam wanita yang sebelum ini dikatakan menjadi ‘pelakon’ dalam rakaman aksi seks yang dijual melalui media sosial, didakwa di Mahakamah Majistret di sini hari ini.
Ia membabitkan tuduhan memiliki video lucah bagi maksud menunjukkannya secara awam, yang dikaitkan dengan seorang lelaki yang juga bapa tiga anak dikenali ‘Hot Daddy' yang sebelum ini didakwa mengiklan khidmat persundalan menerusi aplikasi X.
Media melaporkan, empat daripada mereka, termasuk seorang penuntut universiti, membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan berkenaan dan didenda antara RM2,500 dan RM4,800.
Dua lagi tertuduh, seorang pelajar kolej dan seorang akauntan, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.
Mereka dakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan melakukan kesalahan itu di Pejabat unit Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Wangsa Maju semalam.
Kesalahan itu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,
Keempat-empat tertuduh yang mengaku salah itu adalah Nurnabilah Ayuni Hanafi (penganggur), 22; Amira Natasha Mohammad (pemandu pelancong), 26; Nur A’liaa Muhamad Rosly (penuntut universiti), 22; dan Farah Adila Hanum Khairuddin (eksekutif pemasaran), 36.
Nurnabilah Ayuni dan Amira Nastasha yang didakwa di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim masing-masing didenda RM3,000 manakala Farah Adila yang didakwa di hadapan Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim didenda RM2,500 dan Nur Aliaa yang didakwa di hadapan Majistret Illi Marisqa Khalizan pula didenda RM4,800.
Mereka juga diperintahkan dipenjara antara sebulan dan enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Sementara itu, pelajar kolej swasta Felecia Lisa Nandong, 21, dan akauntan, Norfatihah Ramle, 30, yang turut didakwa tuduhan sama, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan masing-masing dibacakan di hadapan Majistret Nurul Izzah Shaharuddin dan Majistret S Arunjothy.
Mahkamah kemudian membenarkan Felecia diikat jamin RM2,000 dan Norfatihah diikat jamin RM3,000 dan menetapkan pada 12 Mac dan 26 Mac ini bagi sebutan kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurhafiezah Mohamed Fauzi, Nadia Eleena Jamaluddin Akbal, Zuhairi Osman, Sheryn Yong Shi Yee dan Nor Aisyah Mohamed Zanyuin.
Jumaat lalu, seorang lelaki dikenali 'Hot Daddy' yang ditahan pada 17 Januari, kerana merakam dan menjual aksi hubungan intim melalui aplikasi X, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Lelaki terbabit, Hasli Ikhwan Arif Zul Hasli, 32 dan dua teman wanitanya Norhidayah Mahadi, 24, dan Norshazrina Md Zamri, 27, mengaku tidak bersalah mengikut Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34, kerana mempromosikan aktiviti seks untuk keuntungan.
Mereka ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman dalam serbuan di sebuah rumah di Janda Baik, Pahang.
Siasatan oleh JSJ sebelum ini mendapati suspek menjual video berkenaan dalam aplikasi X dengan kadar RM100 bagi 200 video sebulan dan RM20 bagi 13 video sebulan.
Sebelum ini, portal berita Berita Harian yang memetik Mohd Shuhaily, melaporkan kegiatan suspek lelaki itu dikesan melalui maklumat dan risikan JSJ Bukit Aman mengenai kegiatan mempromosikan aktiviti seks dirinya sendiri yang dirakam dan dijual untuk tontonan di platform Telegram.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek utama yang pernah dua kali berkahwin dan bercerai memulakan aktiviti menjual dan mempromosikan ubat kuat seks dari China menerusi platform media sosial, sejak awal tahun lalu.
"Demi mengaut keuntungan lebih tinggi, suspek kemudian mempelajari cara baharu merakam video dia melakukan hubungan seks ganas dengan teman wanitanya sebelum menjual adegan berkenaan dalam tiga saluran di aplikasi Telegram, sejak Julai tahun lalu,” katanya. – Getaran, 31 Januari 2024

.jpg)