KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersikap terbuka untuk mengakui sebarang kelemahan yang ada.
Anwar berkata, kerajaan pimpinannya itu juga bersedia untuk menilai beberapa pendekatan dalam memberikan perkhidmatan yang lebih baik dan bermutu kepada rakyat.
Beliau berkata, kerajaan juga berusaha untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan dan hebat.
“Hari ini adalah hari terakhir di mana semua anggota Jemaah Menteri dan pegawai tertinggi kerajaan telah berkumpul dan menekuni pelbagai isu yang wujud dalam aspek penyampaian perkhidmatan.
“Tujuan permukiman ini adalah antara lain bagi menyemak semula pelbagai ‘hindrance’ (halangan) yang melambatkan urusan kerajaan selain turut mendengar pandangan dan kritikan dari pelbagai pihak termasuk pihak swasta, ilmuwan, penyelidik serta pakar pakar dari dalam dan luar negara,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian melalui satu hantaran di media sosial, malam tadi.

Pemukiman selama dua hari di sebuah hotel di Cyberjaya itu membabitkan seramai 31 menteri dan pegawai kanan kerajaan termasuk Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Pada masa sama, Anwar berkata, kerajaan juga memberi perhatian khusus kepada beberapa sektor pelaburan yang berimpak tinggi, seperti yang diperincikan dalam Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat yang dilancarkan setahun lalu.
“Lapangan Kecerdasan Buatan atau AI, peralihan tenaga, ekonomi digital antara yang ditekuni dalam sesi permukiman kali ini.
“Tantangan dari sudut ekonomi serta bagaimana untuk memampannya turut dibincangkan secara terperinci agar aspek pelaksanaan kebijakan kerajaan tidak terganggu dan matlamat mensejahterakan rakyat dan negara dapat digapai sebaiknya,” katanya.
Sementara itu, BERNAMA melaporkan, penilaian yang dilakukan kerajaan untuk memperbaiki setiap ruang yang ada juga membabitkan isu pendidikan, digital dan teknologi dalam perkhidmatan, bertujuan mengangkat martabat serta keupayaan negara menjadi lebih hebat.
Anwar, ketika bercakap pada sidang media selepas pemukiman itu, dilaporkan berkata, penilaian berkenaan dilaksanakan ketika pemukiman berkenaandengan mengambil pandangan serta input daripada pihak swasta, ilmuwan, penelidik dan pakar antarabangsa serta cadangan dikemukakan Jemaah Menteri. – Getaran, 19 Januari 2024

