JERANTUT - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini bertitah mengingatkan penerima Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru'RASA) untuk bersyukur kerana terpilih menerima rezeki dalam bentuk sebuah kediaman selesa bagi dijadikan tempat berlindung seisi keluarga.
Seri Paduka bertitah rumah yang dibina dengan usaha baginda dan Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan itu seharusnya dijaga dengan sebaik mungkin.
"Saya selalu ingatkan supaya jadikan rumah (sebagai) syurga buat kita semua dan biarlah rumah ini diwarisi keluarga sahaja. Jangan kita (penerima) cepat nak fikir soal hendak jual atau sewakan (rumah yang dikurniakan).
“Itu bukan niat kita beri rumah ini, sebaliknya kerana mahu memberikan sedikit sebanyak keselesaan kepada mereka yang menghadapi kesukaran," titah Seri Paduka semasa mencemar duli menyempurnakan Majlis Pengurniaan Replika Kunci Ru'RASA di Kampung Kedondong di sini hari ini.
Turut berangkat anakanda Seri Paduka, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah. Majlis juga dihadiri Duta Besar UAE ke Malaysia Dr Mubarak Saeed Ahmed Burshaid AlDhaheri.
Selain itu, Al-Sultan Abdullah yang berkenan menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Pahang kerana berusaha mempercepatkan pembinaan rumah yang menelan kos antara RM75,000 dan RM100,000 sebuah, turut berkenan berkongsi kriteria pemilihan penerima rumah.
"Pemilihan penerima berdasarkan cadangan oleh Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) mengikut lokasi, dengan keutamaan ialah mereka yang berada di kawasan selalu dilanda banjir. Disebabkan itu, kita ada dua reka bentuk iaitu jenis bertiang dan tidak bertiang (jenis sebuah).
"Saya sendiri tidak tahu lokasi rumah yang dipilih kerana PTD yang bertanggungjawab. Saya harap tiada yang mempersoalkan mengapa rumah saya (penerima) bertiang atau tidak kerana ini adalah rezeki Allah SWT," titah Seri Paduka.
Secara keseluruhan, terdapat 22 penerima Ru'RASA bagi daerah Jerantut dan usai majlis pengurniaan itu, baginda berkenan menziarahi makam pahlawan Pahang Mat Kilau yang terletak di kampung itu.
Sementara itu, seorang penerima Rozi Yaakob, 57, menjunjung kurnia terhadap rumah jenis bertiang yang diterimanya dan menyifatkan ia sangat sempurna kerana tidak mungkin dia berkemampuan membina rumah sendiri dengan pendapatan sekitar RM700 sebulan.
Rozi yang bekerja sendiri dan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berkata rumah baru itu dibina di atas tanah pusaka keluarga isterinya di Kampung Kedondong, selepas rumah asal dua bilik yang diperbuat daripada kayu rosak teruk akibat banjir besar pada 2014.
"Saya baiki rumah (asal) seadanya menggunakan wang bantuan diterima, namun keadaannya tidak sama kerana banjir tahun itu arusnya terlalu kuat...bukan hanya rosak, kedudukan rumah juga berubah. Walaupun tidak sempurna, tapi itulah menjadi tempat berteduh saya sekeluarga.
"Siapa sangka kami dapat rezeki rumah yang lebih baik, yang saya sendiri tidak pernah terfikirkan. Lebih manis buat saya dan keluarga apabila majlis pengurniaan berlangsung di rumah baharu ini. Buat saya, ia kenangan sepanjang hayat kerana Seri Paduka berkenan mencemar duli ke sini," katanya.
Seorang lagi penerima, Habita @ Haziqah Mohamed Koya, 47, dari Kuala Tembeling di sini menyifatkan Ru'RASA sangat membantu dalam meringankan beban kewangan keluarganya yang terpaksa menyewa rumah dengan kos RM700 sebulan sejak 10 tahun lepas.
Keinginan membina rumah sendiri, katanya sering dibincangkan dengan suami tetapi keutamaan perlu diberikan kepada perbelanjaan bulanan enam anak yang berusia antara empat dan 18 tahun khususnya belanja persekolahan.
"Anak-anak paling seronok bila diberitahu dapat masuk ke rumah sendiri. Boleh dikatakan, dalam seminggu antara tiga ke empat kali mereka akan menjenguk rumah dari luar dan akhirnya kami sudah boleh mula berkemas untuk berpindah ke rumah baharu ini," katanya. - BERNAMA

