KUALA LUMPUR – Negara memerlukan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan bagi memberi bidang kuasa pada negeri menggubal undang-undang jenayah yang turut berada dalam bidang kuasa Persekutuan.
Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berpendapat ia adalah satu penyelesaian menyeluruh terhadap status perundangan jenayah syariah yang ketika ini ditentukan pihak berkuasa agama di peringkat negeri.
Ia susulan beberapa tindakan perundangan yang dimulakan untuk mencabar keabsahan undang-undang jenayah syariah yang ditentukan di peringkat negeri.
Beliau berkata, Malaysia adalah sebuah negara yang tidak mengamalkan pentadbiran secara sekular, yang memisahkan pentadbiran negara dan negeri daripada agama Islam kerana amalan urus tadbir Islam termasuk perundangan syariah telah menjadi sebahagian daripada pentadbiran dan perundangan negara.
“Lebih khusus lagi undang-undang Islam dalam hal ehwal kekeluargaan telah terlaksana sebagai bidang kuasa kerajaan negeri menurut peruntukan perlembagaan Malaysia (Perlembagaan Persekutuan).
“Malaysia sebagai negara Persekutuan yang awalnya menggabungkan sembilan negeri Melayu berdaulat telah mengekalkan kuasa berkaitan Islam pada kuasa negeri bawah Raja-raja berdaulat setiap negeri sebagaimana kehendak raja-raja Melayu di setiap negeri tersebut.
“Dari situlah sejak merdeka bukan sahaja undang-undang kekeluargaan Islam malah undang-undang kesalahan syariah dalam perkara takzir diperundangkan menerusi dewan-dewan undangan negeri sebagai undang-undang negeri yang dipanggil enakmen kesalahan jenayah syariah,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik ke akaun media sosialnya.
Mohd Khairuddin berkata, penggubalan enakmen bagi jenayah syariah ini digubal dan dilaksanakan selaras dengan Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 yang membuka laluan untuk semua negeri-negeri dalam Malaysia menggubal undang-undang kesalahan jenayah.
Beliau berkata, melalui peruntukan itu, ia termasuk Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 Kelantan iaitu penambahbaikan terhadap Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1985 ketika Kelantan masih diterajui UMNO.
Katanya enakmen terdahulu itu disemak semula pada 2016 dan pada 2019 ia dijenamakan sebagai Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) 2019 Kelantan.
“Isu yang berbangkit hari ini di Mahkamah Persekutuan ialah apabila seorang peguam dan anaknya mengemukakan petisyen bagi mengisytiharkan 18 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 terbatal dan tidak sah kerana undang-undang jenayah berada dalam bidang kuasa Kerajaan Persekutuan bukannya kerajaan negeri.
“Justeru, isu berbangkit ialah berkaitan bidang kuasa menggubal undang-undang; adakah kerajaan negeri mempunyai bidang kuasa membuat undang-undang jenayah syariah atau ia hanya kuasa Persekutuan sahaja?
“Keputusan petisyen ini juga akan membabitkan keabsahan undang-undang jenayah syariah yang telah digubal di semua 14 negeri dalam Malaysia,” katanya.
Mohd Khairuddin berkata, biarpun ketika ini keputusan mengenai petisyen itu akan ditentukan pada tarikh lain oleh Mahkamah Persekutuan, perlu ada penyelesaian secara menyeluruh yang memberi bidang kuasa menggubal jenayah undang-undang jenayah yang berada dalam bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, kepada kerajaan negeri.
Beliau berkata, perkara itu boleh dilakukan dengan meminda peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Selain petisyen difailkan peguam berkenaan serta anaknya, ada satu lagi petisyen membabitkan bidang kuasa negeri apabila satu permohonan difailkan seorang individu, Iki Putra yang mencabar bidang kuasa perundangan syariah berkaitan liwat diputuskan pada 25 Februari 2021.
“Pada Mac 2021, 200 peguam menurunkan tandatangan petisyen menggesa Perlembagaan dipinda rentetan kes Iki Putra ini.
“Namun, kita menegaskan penyelesaian total ialah pindaan pada perlembagaan. Untuk merealisasikan matlamat ini kuasa politik umat Islam perlu disatukan antara yang menjadi kerajaan dan pembangkang.
“Kerajaan Perpaduan yang menggabungkan semua parti adalah jalan terbaik untuk kita merungkai isu ini secara harmoni,” katanya.
Namun, Mohd Khairuddin berkata, apabila ia tidak berlaku maka suara politik umat Islam perlu disatukan dalam isu berkenaan tanpa membina sebarang sentimen kepada mana-mana pihak.
Untuk itu, beliau berkata, semua pihak tidak kira parti politik diwakili wajar duduk bersama menerusi satu jawatankuasa bersama melihat kaedah yang menguntungkan umat Islam.
“Politik adalah untuk memperkasakan Islam bukan untuk kepentingan peribadi mana-mana pihak,” katanya.
Justeru, katanya, kes seperti petisyen yang difailkan mencabar keabsahan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 itu tidak perlu menjadi bahan politik murahan untuk mengangkat atau mengecam mana-mana pihak. – Getaran, 21 November 2023

