KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak berhasrat untuk menggubal atau memperkenalkan undang-undang baharu bagi menangani sebarang isu berkaitan Raja, Agama dan Kaum (3R).
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Aro Dagang berkata, peningkatan dari aspek penguatkuasaan sedia ada sudah memadai untuk mengawal suasana.
Bagaimanapun beliau berkata, semakan semula akan dibuat untuk pindaan bagi mengekang elemen permusuhan antara kaum dan agama, jika keadaan bertukar mendesak.
“Kementerian akan menyokong penuh hasrat tersebut jika senario seperti itu berlaku,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menyatakan demikian sebagai menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH - Sri Gading), yang ingin tahu jika Akta Hasutan dan Akta Komunikasi sedia ada mampu menangani sebarang isu berkaitan 3R.
Jelas Aaron, isu 3R boleh dilihat dalam konteks kerukunan masyarakat, dan konsep yang disepakati secara umum ini perlu dijaga secara bersama.
“Kementerian mengambil maklum insiden-insiden provokasi melampau mengenai isu 3R dalam media sosial ketika ini dan berpandangan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Hasutan 1948 mencukupi dalam mengatasi serta mengambil tindakan sewajarnya berhubung isu 3R ini.
“Dalam kedua-dua akta ini terdapat seksyen yang secara khusus menyentuh tentang tindakan perundangan yang boleh diambil bagi menjamin keharmonian kaum,” katanya.
Sidang Dewan diberitahu, satu Sesi Libat Urus dan Dialog telah diadakan pada 21 Julai lalu berhubung isu 3R yang dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
“Dialog ini adalah bertujuan untuk mengkaji keberkesanan perundangan sedia ada, mengenalpasti
cabaran-cabaran yang dihadapi oleh agensi penguatkuasaan dari segi menjalankan siasatan serta pendakwaan, mencadangkan perundangan alternatif yang bersifat sivil, serta modal-modal perundangan lain yang dirasakan sesuai,” katanya. - Getaran, 7 November 2023

