KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen berjaya menyelamatkan 10 tukang urut warga asing, dipercayai mangsa pemerdagangan manusia, dalam satu operasi di sebuah premis pusat urut di Seremban, kelmarin.
Melalui satu kenyataan media, Jabatan Imigresen memaklumkan, operasi telah dijalankan oleh Unit Risikan Operasi, Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) Jabatan Imigresen Putrajaya.
Katanya, ia dilakukan hasil daripada aduan awam dan maklumat risikan yang dijalankan.

“Operasi yang dijalankan turut menggunakan pendekatan siasatan awal bagi pengenalpastian mangsa pemerdagangan orang berpandukan kepada Garis Panduan Kebangsaan Mengenai Petunjuk Pemerdagangan Manusia (NGHTI).
“Warganegara asing yang diselamatkan terdiri daripada 10 wanita berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun.
“Kesemua mereka dipercayai menjadi mangsa eksploitasi dengan bekerja sebagai tukang urut,” katanya.
Jabatan Imigresen berkata, turut ditahan dalam operasi itu seorang lelaki tempatan yang berperanan sebagai penyelia premis terbabit.

Katanya, penahanan lelaki itu bagi membantu siasatan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (AKTA 670).
“Jabatan Imigresen akan meneruskan operasi penguatkuasaan dan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan bawah Akta 670.
“Orang ramai digesa supaya terus menyalurkan maklumat yang dapat membantu Jabatan Imigresen dalam membanteras jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran,” katanya. – Getaran, 2 November 2023

