KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peningkatan harga lantai belian padi daripada RM1,200 kepada RM1,300 ringgit bagi setiap tan metrik makanan ruji itu.
Beliau berkata, kenaikan itu dilaksanakan melalui Belanjwan 2024, selepas kali terakhir ia dinaikan pada 2014.
"Kerajaan memutuskan untuk meningkatkan harga lantai belian padi kepada RM1,300 per tan metrik demi membantu pendapatan pesawah.
"Pengumuman itu adalah susulan rungutan pesawah padi apabila harga belian oleh pengilang telah diturunkan kepada tahap minimum RM1,200 per tan metrik sedangkan sebelum ini harga belian oleh pengilang jauh lebih tinggi," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia MADANI di Dewan Rakyat petang ini.
Selain daripada itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan juga telah memulakan usaha rintis penanaman padi lima musim di beberapa negeri.
Beliau berkata, usaha itu selari dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan hasil pengeluaran padi negara.
"Projek tanaman rintis penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun di beberapa kawasan jelapang antaranya di Bota Kiri, Perak; Kangar, Perlis dan Kota Sarang Semut, Kedah.
"Ini selari dengan usaha untuk menaik taraf infrastruktur pengairan di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Perlis dan Kedah bagi meningkatkan pengeluaran padi dengan pelaburan bernilai RM3 bilion," katanya.
Selain itu, Anwar berkata, kerajaan juga bersetuju untuk meningkatkan peruntukan subsidi padi bukit atau padi huma kepada RM50 juta.
"Peningkatan peruntukan subsidi padi bukit atau padi huma daripada RM40 juta kepada RM50 juta dan ini antara lain akan dapat meluaskan kawasan penanaman padi bukit daripada 43,000 hektar," katanya. – Getaran, 13 Oktober 2023
