IPOH - Kerajaan Negeri Perak melancarkan Tabung Kemanusiaan Palestin bertujuan mengutip dana bagi membantu meringankan penderitaan rakyat Palestin yang menjadi mangsa kezaliman Zionis Israel.
Menteri Besar ,Datuk Saarani Mohamad berkata, buat permulaan kerajaan negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) bersetuju menyediakan bantuan RM100,000 untuk disalurkan ke tabung tersebut.
"Tabung ini adalah tanda solidariti rakyat Perak tanpa mengira kaum dan agama dalam menyokong bantahan dunia terhadap kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Palestin.
"Kita juga mengalu-alukan jabatan dan agensi, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai untuk sama-sama menyumbang ke dalam tabung tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Bank Islam Bendahari Negeri Perak bernombor 08013010064660 dengan menyatakan 'Tabung Palestin' di ruangan perihal atau rujukan.
"Kerajaan Negeri akan berhubung dengan pihak Kementerian Luar dan Wisma Putra bagi tujuan penyaluran sumbangan tersebut kepada pihak berkuasa Palestin," katanya. - BERNAMA

