KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengambil tindakan terhadap guru yang menghisap rokok elektronik atau vape di sekolah.
Itu jaminan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Hisamuddin Yahaya dalam sidang Dewan Negara semalam.
Tegas Fadhlina, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya sekiranya terbukti dakwaan tersebut benar-benar berlaku.
"Ini juga terpakai kepada ahli-ahli yang berhormat yang merokok dan vape di dalam dewan ya, bukan sahaja guru tetapi semua.
"Jadi sebab itu saya fikir, sekiranya ada dakwaan-dakwaan itu berlaku, kita ada prosesnya dan ia mesti diadukan mengikut aduan dan juga kita boleh ambil tindakan sekiranya kita mendapati bahawa ia memberikan kesan buruk kepada ekosistem sekolah," katanya.
Sebelum itu, Hisamuddin membangkitkan persoalan mengenai guru-guru yang menunjukkan teladan tidak baik kepada murid dengan menghisap rokok elektronik di hadapan pelajar.
Beliau berkata, KPM harus melancarkan kempen bagi mendidik murid-murid dan juga warga pendidik mengenai larangan menghisap rokok elektronik berkenaan.
"Berkaitan dengan vape. Saya lihat KPM menumpukan kempen kepada pelajar-pelajar yang hisap vape, tetapi apa tindakan kementerian kalau cikgu-cikgu hisap vape depan budak-budak?
"Ini kita perlu adakan satu kempen juga sebenarnya, kerana kalau gejala cikgu hisap vape depan budak-budak tak kira hari sukan ke hari apa… jadi saya rasa sukar untuk KPM untuk mendidik murid-murid kalau cikgu pun sama (hisap vape)," katanya. – Getaran, 27 September 2023

