KUALA LUMPUR - Kerajaan akan mengadakan satu kongres khas pada Januari tahun hadapan melibatkan pembangunan ekonomi Bumiputera.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kongres itu diadakan bagi menetapkan hala tuju dan pendekatan baharu agenda Bumiputera yang lebih adil, saksama dan inklusif.
Jelasnya, program tersebut adalah pemangkin kepada Masyarakat Bumiputera untuk meningkatkan pendapatan dan menambah nilai kepada ekonomi melalui perniagaan.
"Ikhtiar bermakna bagi memperkasa Bumiputera akan beranjak daripada tumpuan terhadap syarikat terpilih kepada program pengupayaan yang melibatkan lebih ramai usahawan dan lebih banyak Syarikat Bumiputera berskala kecil dan sederhana.
"Ini bagi melahirkan kelas pertengahan Bumiputera yang dapat beralih daripada bergantung harap kepada gaji semata-mata kepada membina perniagaan yang meningkatkan pendapatan dan menambah nilai kepada ekonomi," katanya di Parlimen hari ini,
Anwar berkata demikian ketika membentangkan usul khas bagi kelulusan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi tempoh 2023-2025.
Beliau berkata, kerajaan akan memberikan sokongan pembiayaan kepada Bumiputera melalui 16 agensi kerajaan sedia ada yang akan memanfaatkan golongan tersebut.
Antara agensi-agensi terlibat ialah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN).
Katanya, sokongan pembiayaan kerajaan ini mencecah RM30 billion sejak tiga Rancangan Malaysia yang terdahulu.
"Keberkesanan peranan agensi mandat Bumiputera seperti MARA,
TERAJU dan EKUINAS akan dipertingkatkan melalui penjajaran semula
strategi dan inisiatif pemerkasaan agenda Bumiputera.
"Petunjuk Prestasi Utama (KPI) diwujudkan untuk menambah baik keberkesanan penyaluran bantuan dan sokongan bagi meningkatkan penglibatan Bumiputera dalam kegiatan ekonomi.
“Usaha ini juga akan terus dipertingkatkan dalam membina kredibiliti Agensi Mandat Bumiputera dengan memperkukuh integriti dan tatakelola," katanya.
Susulan daripada itu kerajaan akan menyemak semula dan memperkukuh ketelusan pemilikan saham selaras dengan penekanan tatakelola yang baik yang menjadi asas Kerajaan MADANI.
"Sehubungan dengan itu, saya ingin memaklumkan bahawa Akta Syarikat 2016 dan Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012 berkaitan pengisytiharan pemunya manfaat sedang disemak semula bertujuan untuk memperkukuh ketelusan pemilikan saham, selaras dengan penekanan kepada tatakelola yang baik," katanya. – Getaran, 11 September 2023

