KUALA LUMPUR - Kerajaan hari ini mengumumkan projek naik taraf pengangkutan dan logistik melalui Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ia dilaksanakan melalui projek baikpulih lebuh raya dan beberapa projek lain.
Projek berkenaan melibatkan 10 projek di seluruh Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak bagi memastikan rakyat akan menikmati kemudahan prasarana tersebut termasuk pengangkutan awam yang lebih baik.
Antara projek yang diumumkan ialah Peluasan Bas Rapid Transit (BRT) dan bas dalam bandar yang melibatkan perkhidmatan di Lembah Klang dan juga Johor Bahru.
"Kerajaan akan memastikan pengangkutan awam semakin cekap, mampu bayar dan selamat melalui peluasan perkhidmatan Bas Rapid Transit (BRT) termasuk di Johor Bahru dan Lembah Klang.
"Kerajaan juga akan menjalankan naik taraf lebuhraya Senai-Desaru, pelebaran Lebuhraya Utara Selatan dari Yong Peng ke Senai secara berfasa," katanya sewaktu membentangkan usul KSP RMK12 2021-2025 di Parlimen hari ini.
Selain daripada itu, kerajaan turut mengumumkan pembinaan Sarawak -Sabah Link Road II, Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B.
Bagi kawasan melibatkan negeri Pulau Pinang, kerajaan mengumumkan projek peluasan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.
Sementara itu, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang Selangor akan dibangunkan semula bagi memastikan kemudahan itu menjadi lebih selesa dan mampan seiring dengan tema Malaysia MADANI: Mampan, Sejahtera dan Berpendapatan Tinggi.
"Kerajaan juga akan menjalankan projek menaik taraf Lebuhraya Timur-Barat dari Gerik, Perak ke Jeli Kelantan.
"Dan juga projek menaik taraf jalan dari Tanah Rata ke Kea Farm yang terletak di Cameron Highlands," katanya.
Anwar turut berkata, pembangunan infrastruktur yang lebih baik melibatkan pembangunan pelabuhan baru di Pulau Carey akan dijalankan.
Beliau berkata, pembangunan tersebut dijangka akan dapat mengukuhkan Pelabuhan Klang sebagai hab pemindahan kapal serantau.
“Kerajaan juga akan menambah baik kerja-kerja penyenggaraan infrastruktur pengangkutan bagi memanjangkan jangka hayat jalan raya, aset rel dan peralatan navigasi udara,” katanya.
Menurut Anwar, anjakan utama pengukuhan jaringan pengangkutan awam akan menyediakan akses dan ketersambungan yang lebih baik adalah bagi memastikan lebih ramai rakyat menikmati perkhidmatan pengangkutan awam yang semakin cekap, berdaya harap, mampu bayar dan selamat. – Getaran, 11 September 2023

