KUALA LUMPUR - Pembaca berita Nightline stesen televisyen TV3 kini dirawat di Hospital Assunta Petaling Jaya selepas diserang angin ahmar tengah malam tadi.
Difahamkan, keadaan Raymond kritikal ketika ini.
Getaran dimaklumkan, pembaca berita bersuara emas itu sedang keluar bersama rakannya apabila secara tiba-tiba mengalami kebas bahagian kanan badan.
Keadaan itu menyebabkan rakannya segera mengejarkan beliau ke Hospital Assunta sebelum keadaannya merosot ketika mendapatkan bantuan perubatan.
Berita mengenai keadaan kesihatan Raymond turut mendapat perhatian rakan industri seperti Datuk Ras Adiba Radzi yang meminta orang ramai mendoakan kesembuhan bekas rakan sekerjanya itu.
Seorang rakan dan juga anak muridnya yang menggunakan akaun Abdullah Pak Lah, turut memuatnaik hantaran mengenai keadaan Raymond.
"Mohon doakan rakan lama dan juga guru saya Raymond Goh (penyampai Nightline) yang sedang kritikal di Hospital Assunta, P.J. Beliau dikatakan terkena stroke.
"Semoga Allah SWT permudahkan segala urusan beliau dan semoga beliau diberikan kesembuhan dan boleh membaca berita selepas ini," katanya.
Nama Raymond tidak asing lagi dalam kalangan penonton TV3 sejak tahun 1980an lagi apabila beliau ditugaskan membaca berita terutama slot berita berbahasa Inggeris Nightline.
Raymond pernah menyertai stesen televisyen Astro dan menjadi hos slot bual bicara 'Talk Radio' sebelum kembali ke TV3.
Selain membaca berita, Raymond juga sering dipanggil menjadi pengacara majlis.
Beliau turut menyertai kempen #BacaBeritaChallengeTV3 melalui platform TikTok yang menarik perhatian netizen. - Getaran, 30 Ogos 2023

