PUTRAJAYA - Kerajaan Perpaduan bakal membentangkan pelan perindustrian negara yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perancangan tersebut adalah bagi memastikan perkembangan ekonomi Malaysia dan pembangunan berada di landasan yang betul.
"Kita akan luncurkan pelan perindustrian negara, bukan pelan biasa tetapi melakukan anjakan supaya tidak memutuskan ke arah satu sektor tetapi ke arah matlamat dan misi menjadikan Malaysia negara industri teknologi tinggi, transformasi digital dan memberi ruang ratusan ribu pekerjaan kepada anak muda.
"Kita juga akan lakukan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke -12.
"Sekali lagi anjakan berlaku, tidak hanya kajian menilai perencanaan awal tetapi membuat apa sahaja yang perlu; pengubahsuaian dan anjakan untuk pembangunan itu betul-betul mampan," katanya ketika menyampaikan Amanat Hari Kebangsaaan 2023 di Putrajaya hari ini.
Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, kerajaan akan juga akan memastikan seluruh sekolah di Malaysia menerima prasarana asas yang sempurna.
Jelasnya, peruntukan kerajaan ke arah itu jauh lebih baik untuk memberi manfaat kepada ibu bapa dan juga murid di negara ini.
"Malaysia tidak boleh dikenali dengan mercu tanda gagah, sama ada bangunan tertinggi, jambatan terpanjang atau gedung yang raksasa.
"Malaysia harus terkenal dengan jaminan keadilan semua rakyat termasuk mereka yang tersisih dan terpinggir.
"Tahun ini 2023, sebelum menjelang akhir tahun secara spesifiknya pada bulan Oktober, semua sekolah di negara kita, sekolah kebangsaan, sekolah cina, sekolah tamil, sekolah arab tanpa kecuali kita jamin mempunyai prasarana asas yang munasabah; dengan bumbungnya, dengan tandasnya,” katanya.
Perdana Menteri berkata prasarana asas yang sempurna itu lebih bermakna bagi ibu bapa dan murid berbanding mercu tanda dan gebung yang besar dan hebat yang dibina. – Getaran, 30 Ogos 2023

