KUALA LUMPUR – Seramai 10 pemilik kenderaan mengalami kerugian selepas konkrit penyokong bumbung sebuah bangunan empat tingkat di Jalan Kuchai Lama, di sini, runtuh malam tadi.
Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Armdan Mahat, berkata kejadian struktur dari tingkat keempat itu runtuh dan menimpa 10 kenderaan yang berada di lokasi.
Beliau berkata, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada jam 10.59 malam sebelum pasukan operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seputeh dan jentera bantuan dari BBP Jalan Hang Tuah serta Jalan Tun Razak dikerahkan ke lokasi.
“Anggota membuat pengungsian di seluruh bangunan dan memasang sawar-sawar di sekitar kawasan yang berlaku runtuhan itu.
“Panjang runtuhan dianggarkan 160 kaki persegi dan tiada mangsa yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata, pihaknya masih melakukan pemantauan di lokasi kerana dikhuatiri berlaku lagi runtuhan berdasarkan penilaian semasa yang dibuat.
Katanya pihaknya masih dalam keadaan ‘tunggu bersedia’ sehingga agensi daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) mengesahkan keselamatan bangunan tersebut.
Kejadian yang turut dirakam penduduk sekitar tular selepas ia tersebar melalui media sosial.
Semua kenderaan yang rosak berkenaan dipercayai milik penduduk yang tinggal di bangunan yang dipercayai rumah kedai empat tingkat itu. – Getaran, 16 Ogos 2023

