KUALA LUMPUR - Peranan wartawan dalam menyampaikan maklumat yang benar merupakan hak dan kebebasan bersuara bagi golongan terbabit yang tidak seharusnya dipersendakan atau dipermainkan mana-mana pihak.
Menurut khutbah Jumaat diterbitkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), perkara yang benar wajib dikatakan benar, manakala perkara salah wajib dikatakan salah.
Susulan itu, katanya, wartawan yang mahu mendapatkan keredaan Ilahi, wajib memahami, menghayati dan mengamalkan adab kewartawanan berlandaskan Islam ketika menyempurnakan tugas, terutama pada zaman yang serba mencabar ini.

“Jangan sama sekali harga diri digadaikan, lalu memilih bersifat menegakkan benang basah ketika menyampaikan berita, apabila kebenaran dikorbankan, sedang kesalahan dilindungi, kerana tarikan kebendaan dalam bentuk upah, sogokan, pangkat, jawatan dan gelaran,” katanya.
Jelasnya lagi, golongan itu juga harus memenuhi tanggungjawab yang diamanahkan secara jujur, ikhlas, bersikap terbuka, adil, saksama, seimbang dan tidak memfitnah agar pekerjaan diterima sebagai ibadah.
Malah, khutbah itu turut menyatakan, terdapat keperluan untuk pengamal media menyaring secara terperinci maklumat diterima dengan menyemak serta mengesahkan kesahihannya sebelum disiarkan atau disebarkan.
“Pada masa sama, wartawan harus menginsafi bahawa bakat menulis ialah kurniaan Ilahi. Oleh itu, tidak sama sekali menyalahgunakan bakat kurniaan Ilahi dengan membenarkan diri diperalatkan untuk menyebar fitnah kerana tarikan upah, kebendaan, ganjaran, pangkat dan jawatan.
“Mereka juga perlu bertanggungjawab membantu membangunkan sebuah negara aman, merdeka dan berdaulat, di samping rakyatnya hidup secara rukun, bersatu padu dan damai dalam semangat muhibah serta saling hormat-menghormati meskipun berlainan pegangan agama dan latar belakang,” katanya.
Dalam pada itu, khutbah berkenaan turut mendedahkan tugas wartawan hari ini dipenuhi pelbagai cabaran dan kesulitan, khususnya ketika mengumpulkan maklumat sebelum disiarkan kepada orang ramai.
“Ada kalanya mereka terpaksa berjaga sepanjang malam, terdedah kepada perubahan cuaca, juga persekitaran yang tidak menentu. Apatah lagi apabila mereka ditugaskan membuat liputan berita di kawasan dilanda bencana alam atau di tempat yang terlibat dengan konflik serta peperangan.
“Ada juga yang menghadapi kecederaan malah ada yang kehilangan nyawa. Dilaporkan dalam 2022, lebih 67 pengamal media di seluruh dunia terkorban semasa menjalankan tugas, catatan tertinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya,” katanya.
Sementara itu, menurut khutbah tersebut, wartawan seharusnya berbangga dengan peranan mereka kerana industri terbabit mempunyai kedudukan tersendiri menurut pandangan Islam.
Jelasnya, ia dibuktikan menerusi Surah al-Naml, ayat 22, iaitu Allah menceritakan sikap jujur dan amanah yang ada pada burung hud-hud ketika menyampaikan berita penting kepada Nabi Sulaiman.
“Ia mengenai perihal sebuah kerajaan yang tidak beriman dengan Allah SWT, lalu bertindak atas berita sahih, Nabi Sulaiman mengutus perutusan dakwah kepada Ratu Balqis.
“Sesungguhnya dalam bahasa mudah, perbuatan menyampaikan berita yang dilakukan oleh burung Hud-hud, menyamai peranan wartawan pada hari ini,” katanya.
Terdahulu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memperkenan pengamal media diberikan peluang dan penghormatan membaca khutbah Jumaat di tiga masjid di Perak, hari ini, sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023.
Antara individu diperkenan oleh baginda adalah Pengarang Berita (Rencana & Agama), Berita Harian (BH), Mohd Nazmi Yaacob yang diberi peluang membaca khutbah Jumaat di Masjid Negeri, Masjid Sultan Idris Shah I; Ketua Biro Sinar Harian Perak, Saifullah Ahmad yang menyampaikan khutbah di Masjid Sultan Azlan Shah serta Mohd Fahmi Mohd Nor daripada RTM Perak yang menyampaikan khutbah di Masjid Muhibbuddin Shah.
Sambutan Hawana 2023 akan diadakan di Ipoh, bermula esok hingga 29 Mei dengan mengangkat tema "Media Bebas, Tunjang Demokrasi" untuk memberi penekanan semula terhadap isu kebebasan media dalam menjalankan tugas mereka - Getaran, 26 Mei 2023.