Berita Terkini

1 jam yang lalu: Pindahan pesakit guna tangga di hospital Melaka ekoran kerosakan luar lif 1 jam yang lalu: Ketua Polis Pulau Pinang tidak tunduk dengan ugutan 1 jam yang lalu: Sukan APG Kemboja 2023 buka tirai dengan percikan bunga api 1 jam yang lalu: Pengeluaran ketam di Malaysia 16,000 tan metrik tahun 2022 1 jam yang lalu: JDT selesaikan pusingan pertama Liga Super 2023 dengan rekod bersih

IKUTI KAMI


Operasi SAR Muhammad Hawari Mungkin Sukar Jika Terjatuh Di Kaki Gunung Lhotse

Semasa Dikemaskini 1 minggu yang lalu · Diterbitkan pada 21 May 2023 8:40PM

Muhammad Hawari Hashim - Gambar dari Facebook Hawari Warie

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pendaki Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran Muhammad Hawari Hashim, 33, yang dilaporkan hilang di kawasan pergunungan Everest, berkemungkinan berhadapan kesukaran, sekiranya beliau terjatuh di kawasan kaki Gunung Lhotse.

Rakyat Malaysia pertama menjejakkan kaki di puncak Gunung Everest Datuk M. Magendran berkata lereng Gunung Lhotse sangat curam, dan sekiranya pendaki tergelongsor, mereka boleh terjatuh ke kawasan kaki gunung yang penuh dengan glasier yang diliputi serpihan dan rekahan ais.

“Kawasan kaki Gunung Lhotse agak luas dan perlukan masa yang lama untuk cari, ditambah dengan rekahan ais yang ada…sekiranya mangsa termasuk dalam rekahan maka usaha mencari semakin sukar,” katanya ketika ditemu bual secara dalam talian oleh Bernama TV hari ini.

M. Magendran - Gambar dari Facebook Datuk M. Magendran
M. Magendran - Gambar dari Facebook Datuk M. Magendran

Beliau yang berjaya menakluk Gunung Everest pada 1997 berkata meskipun usaha mencari bakal berhadapan kesukaran, namun ia tidak mustahil untuk menemukan mangsa berdasarkan pengalaman pada tahun 1997, apabila seorang ‘sherpa’ yang tergelincir dan jatuh di lereng Gunung Lhotse dari ketinggian 1,000 meter ke bawah, berjaya ditemui.

Magendran berkata apa yang dibimbangi adalah sama ada mangsa membawa bekalan oksigen yang mencukupi untuk menuruni lereng Gunung Lhotse yang begitu berbahaya.

“Jika beliau telah gunakan oksigen sepanjang naik ke puncak Gunung Everest, oksigen dalam balang yang dibawanya tidak cukup untuk digunakan bagi menuruni gunung hingga ke Kem 4… tetapi mungkin juga dalam perjalanan beliau telah tukar balang oksigen.

“Jadi saya tidak pasti sama ada rakan pendaki kita ini sudah tukar balang oksigen baharu atau sudah bawa bekalan oksigen tambahan, semasa beliau buat keputusan untuk turun ke Kem 3 atau Kem 2… itu satu persoalan yang kita tidak tahu. Jika oksigen tidak mencukupi seseorang itu boleh mengalami Akut Gunung (AMS) yang boleh sebabkan mangsa berilusi,” katanya.

Semalam, Muhammad Hawari yang merupakan antara peserta misi Malaysia Everest 2023 (ME 2023), dilaporkan hilang di kawasan pergunungan Everest ketika turun dari Kem 4 selepas menawan puncak gunung tertinggi di dunia itu.

Sehari sebelumnya, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Lt Kol Awang Askandar Ampuan Yaacub, 56, yang juga antara peserta ME 2023, dilaporkan meninggal dunia.

ME 2023 yang dianjurkan Kelab Eksplorasi Altitud itu turut disertai ketua ekspedisi yang juga bekas pendaki Everest 2016 Azim Afif Ishak dan Vincent Tiong Ling Yang, telah memulakan misi menawan puncak tertinggi dunia itu bermula 2 April sehingga 2 Jun, dengan mendapat sokongan kerajaan dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Sementara itu, pendaki 7 Benua dan penjelajah Grand Slam Negara Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata KBS serta penganjur, wajar melakukan siasatan menyeluruh kerana semenjak pendakian Everest Malaysia 1997 sehingga 2023, ini kejadian yang pertama berlaku menyebabkan pendaki Malaysia ke Everest.

Beliau berkata pendakian ke puncak Everest bukanlah sesuatu yang mudah dan boleh didaki dengan sesuka hati, kerana ia memerlukan latihan yang intensif dan persediaan yang rapi selain pendaki perlu didedahkan dengan pengalaman mendaki ke gunung salji dan latihan teknikal.

“Walaupun kita mempunyai wang dan penaja, tidak semestinya kita boleh sampai ke Everest. Saya terpaksa berlatih lebih dua tahun di dalam dan luar negara dan ke Nepal beberapa kali, sebelum mendaki Everest pada tahun 2004.

“Di Nepal pula saya perlu mengadaptasikan diri dengan gunung di sana selama dua bulan, sebelum sampai ke puncak pada 16 Mei 2004. Ini bagi memastikan badan kita bersedia dan dapat bertahan dalam keadaan suhu sejuk yang ekstrim dan cuaca yang tidak menentu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sememangnya para pendaki akan mengalami kepenatan melampau atau keletihan yang teruk dan sekiranya tidak cukup stamina, mereka pasti akan menghadapi perkara itu serta boleh menyebabkan  mengalami AMS. - Bernama

Sorotan

1

Pemimpin Asing Ucap Takziah, Angka Kematian Tragedi Kereta Api India Hampir 300

2

Hubungan Kukuh Negeri, Persekutuan Penting - Ahmad Zahid

3

Kadar Inflasi Malaysia Kekal Sederhana Pada 2023 - Rafizi

Disyorkan untuk anda

Semasa 15 jam yang lalu

Isu Sempadan Pulau Pinang-Kedah: Tindakan Akan Diambil Terhadap Penyebar Maklumat Palsu

Semasa 11 jam yang lalu

Kaji Selidik Dedah 11 Faktor Pencarum Terdesak Keluarkan KWSP

oleh Farhana Farush

Semasa 1 hari yang lalu

MoU Dengan Malaysia Untuk Pengambilan Pekerja India Sedang Dibincangkan, Kata Menteri India

Semasa 1 jam yang lalu

Caj Klinik Kesihatan: ‘Terlalu Rendah Tetapi Jika Mahu Naikkan Pertimbang Kemampuan Rakyat’

oleh Aiman Sadiq