Berita Terkini

5 jam yang lalu: Dakwaan rasuah OCPD: SPRM tahan 3 lagi polis 5 jam yang lalu: Kerjasama Malaysia-Indonesia mudahkan produk sijil halal tembus pasaran kedua negara 5 jam yang lalu: Malaysia di posisi baik manfaat potensi sebagai pengeluar hidrogen hijau - MOSTI 5 jam yang lalu: Lelaki disyaki dera bayi perempuan teman wanita ditahan 5 jam yang lalu: Syarikat korporat perlu melabur untuk sistem keselamatan siber - Fahmi

IKUTI KAMI


Kontroversi Pasport Kemahiran HRD Corp: Wakil MoF Pertahan Kandungan Surat

Semasa Dikemaskini 1 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 08 May 2023 12:22PM

Wakil Kementerian Kewangan (MoF) dalam lembaga pengarah Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) mengesahkan beliau membangkitkan ‘persoalan dan kebimbangan’ berhubung cadangan memperkenalkan program Skills Passport atau Pasport Kemahiran, memandangkan tadbir urus dan ketelusannya tidak diberi penerangan jelas. - Gambar oleh Alif Omar

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Wakil Kementerian Kewangan (MoF) dalam lembaga pengarah Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) mengesahkan beliau membangkitkan ‘persoalan dan kebimbangan’ berhubung cadangan memperkenalkan program Skills Passport atau Pasport Kemahiran, memandangkan tadbir urus dan ketelusannya tidak diberi penerangan jelas.

Datuk Rosli Yaakub berkata, beliau menulis surat bertarikh 10 April itu dan berpegang kepada kandungannya.

“Ya, saya menulis surat itu dan boleh mengesahkan kandungannya,” kata Rosli kepada The Vibes ketika dihubungi semalam.

Rosli Yaakub - Gambar dari spnb.com.m
Rosli Yaakub - Gambar dari spnb.com.m

Rosli ialah timbalan setiausaha bagi tadbir urus dan pemantauan di bawah bahagian syarikat pelaburan kerajaan MoF.

“Saya merupakan wakil Kementerian Kewangan di HRD Corp dan kini berkhidmat sebagai ahli lembaga pengarah (HRD Corp),” kata Rosli yang kini berada di luar negara.

Surat enam muka surat itu ditujukan kepada Pengerusi HRD Corp, Datuk R Rajasekharan dan Ketua Eksekutif, Datuk Shahul Hameed Dawood.

Dalam surat bertajuk ‘Ketidakpatuhan Prosedur Perolehan Berkaitan Pasport Kemahiran’, Rosli meluahkan kebimbangannya bahawa projek itu, iaitu pangkalan data kemahiran yang berfungsi sebagai enjin carian, beroperasi tanpa kelulusan lembaga.

Ia bermula dengan Rosli menyentuh mengenai konsep Malaysia MADANI diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan yang menekankan ketelusan, akauntabiliti, dan tadbir urus baik.

“Ini disahkan Menteri Kewangan pada mesyuarat pasca Kabinet pada 5 April, baru-baru ini,” tulisnya.

Antara kenyataan Rosli dalam surat terbabit ialah:

1. “Apa yang dilaporkan dalam minit mesyuarat sebagai CADANGAN MELULUSKAN SKILLS PASSPORT adalah tidak tepat kerana ia tidak pernah dibentangkan kepada lembaga pengarah. Ia hanya kemas kini dan bukannya pembentangan dalam bentuk kertas kerja untuk mendapatkan keputusan daripada lembaga pengarah."

2. “Saya tidak bersetuju dengan minit mesyuarat yang menyatakan ‘Lembaga Meluluskan untuk bekerjasama dengan Neomindz Sdn Bhd mengenai pelaksanaan Pasport Kemahiran’ kerana tiada kertas kerja dibentangkan kepada lembaga untuk meminta keputusan mereka.

“Justeru, saya tidak bersetuju dengan apa yang tercatat dalam minit mesyuarat bertarikh 6 Oktober 2022”.

3. “Didapati proses pelaksanaan dan perolehan bagi projek Pasport Kemahiran adalah tidak teratur.

4. “Ketua Eksekutif menulis surat kepada Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KSM (Kementerian Sumber Manusia) pada 15 Februari untuk mendapatkan kelulusan projek tersebut dan kelulusan diperoleh pada hari berikutnya, menyebabkan kontrak antara HRD Corp dan Neomindz Sdn Bhd dimeterai pada 17 Februari”.

5. “Ketua Eksekutif melalui surat itu mendorong Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) untuk menandatangani kelulusannya untuk projek terbabit apabila, sebagai ahli lembaga pengarah, beliau tahu bahawa Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan projek itu.

6. “Hasil carian melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendedahkan bahawa Neomindz Sdn Bhd mempunyai kedudukan kewangan lemah dengan modal RM300,000, rizab tunai RM36,355 dan liabiliti semasa bernilai RM144,400.

7. “Syarikat kurang pengalaman kerana hanya ditubuhkan pada 5 Disember 2019 dan 50 peratus sahamnya dimiliki warga India Jayamohan Parameswaran Madhusoodhenen Nair.

“Ini menimbulkan risiko kepada HRD Corp kerana ia mungkin mendedahkan data sulit dan profil pekerja di Malaysia kepada entiti asing.

8. “Semasa mesyuarat Lembaga (pengarah) pada 28 Mac, Ketua Eksekutif mengelirukan lembaga dengan menyatakan bahawa projek itu tidak akan menanggung sebarang kos untuk HRD Corp.

“Bagaimanapun, dalam surat bertarikh 15 Februari 2023, Ketua Eksekutif memaklumkan Timbalan Ketua Setiausaha KSM bahawa HRD Corp akan membayar Neomindz RM12 untuk setiap penggunaan Pasport Kemahiran.

9. “Saya ingin mencadangkan kepada Pengerusi dan semua ahli lembaga pengarah supaya pelaksanaan program Pasport Kemahiran ditamatkan, memandangkan pelaksanaannya gagal mematuhi prinsip ketelusan dan akauntabiliti dalam pentadbiran perolehan, selain akan mengakibatkan implikasi kewangan besar dan undang-undang terhadap HRD Corp.

Rosli berpendapat, implikasi kewangan untuk HRD Corp boleh mencecah sehingga RM159.47 juta setahun berdasarkan pangkalan data 4.4 juta pekerja.

Dalam responsnya kepada artikel The Vibes, HRD Corp mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang, dengan menyatakan bahawa isu dibangkitkan sudah dijawab dan diselesaikan.

Bagaimanapun, kebimbangan Rosli masih belum ditangani walaupun disahkan pada mesyuarat lembaga pengarah terakhir pada 12 April lalu bahawas perkara terbabit sudah diselesaikan.

HRD Corp juga menggunakan Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972, menyatakan bahawa surat Rosli dilindungi di bawah OSA, oleh itu ia ‘tidak bertujuan untuk kegunaan awam atau penerbitan media’. – The Vibes, 8 Mei 2023

Sorotan

1

336,592 Pelajar Perempuan Belum Disuntik Vaksin HPV

2

Malaysia-Indonesia Capai Kata Sepakat Pertahan Kepentingan Kelapa Sawit - PM

3

Jenaka Chia Tidak Gambarkan Pendirian Singapura, Kami Mohon Maaf - Pesuruhjaya Tinggi

Disyorkan untuk anda

Semasa 5 jam yang lalu

MB Johor, Anthony Anggap Jocelyn Biadap, ‘Masih Lagi Nak Menegakkan Benang Basah’

oleh Farhana Farush

Sukan 1 hari yang lalu

Jawatankuasa Peringkat Tertinggi KBS Buat 7 Ketetapan Martabat Sukan Negara

oleh Farhana Farush

Semasa 23 jam yang lalu

Pekebun Sayur Samun Wanita, Dipenjarakan 5 Tahun, 3 Sebatan

Semasa 21 jam yang lalu

Malaysia-Indonesia Meterai 6 Kerjasama Perkukuh Hubungan 2 Negara