SHAH ALAM - Pembangkang disaran untuk datang berunding dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Anwar Ibrahim jika mahukan peruntukan sama rata diberi kepada semua Ahli Parlimen.
Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohammad Agus Yusoff berkata, Anwar sudah berulang kali menyatakan kesediaan untuk memberikan peruntukan sekiranya pemimpin pembangkang sudi untuk berbincang.
“Itulah (berunding) yang dilakukan oleh Anwar sewaktu beliau menjadi Ketua Pembangkang, beliau datang berunding dengan Perdana Menteri waktu itu. Hasilnya termeterailah Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) pada 13 September 2021.
“Tindakan Anwar adalah contoh pembangkang yang konstruktif, ada agenda baik yang dibawa seperti transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)," katanya hari ini.
Menurut beliau, Perikatan Nasional (PN) perlu menghentikan serangan ke atas Anwar dan Kerajaan Perpaduan, sebaliknya berusaha menjalinkan hubungan baik bagi membolehkan federalisme berjalan lebih lancar.
“Saya menanti apakah pembangkang di bawah Datuk Seri Hamzah Zainuddin mempunyai agenda konstruktif ini? Ayuh, berani dan berjiwa besarlah untuk membentuk satu kerjasama dwipartisan seperti yang dibuat oleh Anwar dahulu,” katanya.
.jpg)
Dalam perkembangan berkaitan, Mohammad Agus turut mempersoalkan tindakan pemimpin utama pembangkang yang sentiasa menghilang walaupun Anwar telah memperkenalkan Sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) di Dewan Rakyat pada setiap Selasa.
“Pada masa sama, apabila kerajaan menganjurkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani di enam negeri termasuk negeri pembangkang, terdapat pihak menuduh Anwar menjalankan kempen politik.
“Kempen politik apa jika majlis raya adalah untuk bersama rakyat dan makan bersama rakyat? Yang berkempen ialah parti pembangkang yang banyak mengkritik majlis rumah terbuka ini,” ujarnya.
Mengakui Kerajaan Perpaduan masih memiliki kekurangan, Perdana Menteri bagaimanapun jelas Mohammad Agus lagi, sentiasa mendengar dan berusaha keras untuk mempercepatkan reformasi yang dijanjikan.
“Bersabarlah. Anwar dan Kerajaan Perpaduan ini baharu sahaja lima bulan memerintah. Nilai kejayaan Anwar dan kerajaan perpaduan ini dengan mata hati. Lihat kepada media yang lebih bebas, gejala rasuah yang sudah dapat dibendung, pemborosan yang dapat dijimatkan, ekonomi yang lebih baik dan sebagainya.
“Saya semakin optimis. Saya mengharapkan sangat reformasi dapat disegerakan dan Malaysia Madani akan terlaksana baik dan saya sendiri rela menjadi benteng untuk kejayaan ini,” katanya.
Dalam masa sama, beliau yang genap tiga bulan bertugas sebagai Ketua Pengarah J-KOM mengakui sukar menjalankan tugasan apabila pemimpin pembangkang berterusan memainkan sentimen agama dan kaum, selain tidak berhenti menyerang Perdana Menteri dengan tuduhan tidak berasas.
Tegasnya, serangan emosi seperti itu perlu dihentikan kerana Langkah Sheraton untuk menjatuhkan kerajaan tidak akan berulang lagi.
Kerajaan ketika ini katanya, telah cukup kukuh dengan majoriti yang ada dan rakyat hanya mendambakan kestabilan kerana sudah bosan dengan politik pembangkang.
“Sakan benci dan marahnya sesetengah orang pada Anwar, timbul gosip mahu menjatuhkan Anwar sebagai Perdana Menteri atas alasan rakyat sudah bosan dengan beliau.
"Siapa yang bosan dan kenapa bosan saya tidak tahu, tetapi itulah yang selalu diratibkan oleh pihak yang tidak menyokong Anwar,” katanya. - Getaran, 1 Mei 2023.