JOHOR BAHRU - Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan berangkat ke majlis berbuka puasa bersama pengurusan media tempatan di Istana Polo, Pasir Pelangi di sini, semalam.
Pihak pengurusan media tempatan itu terdiri daripada pengamal media, ketua-ketua pengarang, editor-editor dan ketua-ketua pegawai eksekutif.
Perkara itu dimaklumkan menerusi hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim, dengan beberapa foto mengenainya turut dikongsi di platform media sosial itu.
Berangkat sama pada majlis berbuka puasa itu ialah Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Roslan Ariffin. - Bernama

