KUALA LUMPUR - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan tindakan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memohon ihsan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mempertimbangkan pengampunan penuh kepada mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai desakan politik.
Bagaimanapun, beliau berkata, perkara itu terserah kepada Lembaga Pengampunan sama ada mahu mempertimbangkan permohonan berkenaan atau sebaliknya.
Katanya, ada proses dan prosedur tertentu perlu diikuti bagi permohonan itu.
“Setahu saya siapa pun boleh memohon, namun dia (UMNO) menggunakan desakan politik.
“Terserah kepada Lembaga Pengampunan sama ada mahu pertimbang perkara itu atau tidak,” katanya seperti dilaporkan BH.
Kelmarin, MKT UMNO memohon pertimbangan Sultan Abdullah untuk memberi pengampunan penuh terhadap Najib Razak yang kini sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pertimbangan itu selaras dengan kuasa Seri Paduka Baginda sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan.
Rayuan itu dibuat susulan keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini yang menolak permohonan Najib untuk menyemak semula sabitan dan hukuman penjara berhubung kes SRC International Sdn Bhd.
“MKT mengambil maklum kedukacitaan dan keresahan dalam kalangan ahli UMNO di peringkat akar umbi terhadap keputusan yang dilihat tidak adil.
“Ia seiring dengan kenyataan penghakiman dizahirkan Hakim Besar Sabah Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli yang mempengerusikan panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan, bahawa Najib tidak mendapat perbicaraan adil dan wajar dibebas serta dilepaskan,” katanya.
Asyraf Wajdi berkata, MKT turut menerima memorandum dari 191 Bahagian, termasuk Wanita, Pemuda serta Puteri yang memohon agar kepimpinan tertinggi UMNO menuntut pembelaan terhadap Najib.
Susulan itu, katanya, MKT sebulat suara bersetuju untuk memohon menghadap bagi mempersembahkan warkah rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong berserta dengan memorandum yang ditandatangani seluruh kepimpinan UMNO.
Sementara itu, ketika ditanya berhubung Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan beliau menjadi sebahagian daripada pihak yang terlibat dalam proses penilaian permohonan Pengampunan Diraja Najib, Muhyiddin enggan mengulas lanjut.
“Saya tidak boleh komen kerana perkara itu bersandarkan Perlembagaan undang-undang,” katanya. – Getaran, 9 April 2023

