KUALA LUMPUR - Umat Islam yang bergantung kepada laungan azan Maghrib dari Masild Jame’ Badlishah Pekan Yan, Kedah untuk berbuka puasa pada 30 Mac lalu diminta melakukan puasa ganti atau qada.
Timbalan Pengerusi Masjid Jame’ Badlishah Pekan Yan, Ahmad Nasir berkata, ini disebabkan berlaku kesilapan apabila azan masjid itu dilaungkan dua minit lebih awal berbanding waktu berbuka sebenar yang ditetapkan pada jam 7.28 petang.
Menurut beliau, kesilapan itu terjadi disebabkan oleh masalah teknikal paparan digital waktu azan di masjid berkenaan.
“Saya mewakili seluruh pentadbir Masjid Jame' Badlishah Pekan Yan memohon maaf atas kesilapan kami melaungkan azan Maghrib dua minit sebelum masuk waktu sebenar pada hari Khamis 8 Ramadan 1444 H bersamaan 30 Mac 2023 disebabkan masalah teknikal paparan digital waktu azan di masjid.
“Jemaah yang bergantung semata-mata kepada laungan azan Maghrib dari Masild Jame' Badlishah Pekan Yan untuk berbuka puasa, sila maklum bahawa puasa tuan dan puan terbatal pada hari tersebut dan perlu diganti atau diqada,” katanya dalam kenyataan yang diedarkan kepada penduduk sekitar pada 1 April lalu.
Jelas Ahmad lagi, hukum menggantikan puasa itu berdasarkan pandangan Jumhur Ulama dari kalangan Hanafi, Maliki, Syafie dan dalam kalangan ramai ulama Hanbali yang menyatakan bahawa puasa tersebut batal dan wajib diqada.
“Jemaah boleh merujuk syarah hukum melalui Bayan Linnas Siri Ke-97, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan bertarikh 18 Jun 2017 untuk penjelasan lanjut.
“Pihak masjid sekali lagi memohon maaf di atas kesilapan dan kesulitan yang berlaku. Semoga dipermudahkan segala urusan kita semua InsyaAllah,” katanya. - Getaran, 8 April 2023

