Berita Terkini

2 hari yang lalu: Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap tuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam 5 hari yang lalu: KKM nasihatkan semua aktiviti di luar bilik darjah ditangguhkan sementara di semua lokasi yang merekodkan cuaca panas antara 35 hingga 37 darjah celsius 6 hari yang lalu: Pihak Ocean Infinity akan bentang kawasan pencarian baharu MH370 kepada MOT awal Mei - Loke 6 hari yang lalu: MAVCOM tambah 342 penerbangan domestik di seluruh negara untuk perjalanan antara 3 hingga 18 April - Loke 6 hari yang lalu: Tiket tambahan ETS dan perkhidmatan tren khas mula dijual hari ini bermula 5 petang - Loke

IKUTI KAMI


Ameyza Cekal Jadi Pengawal Peribadi Jaga Majikan Lelaki

Semasa Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 14 Mar 2023 9:24AM

Ameyza Yaacob - Gambar Instagram ameyza_yaacob

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Jika dilihat dari raut wajah pemilik susuk tubuh bernama Ameyza Yaacob, 35, pasti ramai menyangka wanita ini seorang peragawati.

Namun hakikatnya, beliau sebenarnya menceburi bidang kerjaya yang jarang diminati malah mungkin dianggap kurang sesuai untuk kaum hawa iaitu sebagai pengawal peribadi persendirian.

Bukan sahaja kerana kerjaya berkenaan dianggap lasak serta memerlukan kekuatan mental serta fizikal tetapi individu yang ditugaskan untuk Ameyza adalah seorang usahawan lelaki bergelar datuk, justeru mempunyai pelbagai cabaran yang tersendiri. 

TINGGAL KERJAYA POLIS

Menyingkap kehidupan wanita yang berasal dari Kuala Krai, Kelantan dan tinggal di  Kuala Lumpur sejak tahun 2005, Ameyza sebelum ini pernah berkhidmat sebagai anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama lima tahun.

“Saya menyertai PDRM pada tahun 2014 ketika berusia 26 tahun. Selepas tamat latihan di Pusat Latihan Polis Jalan Semarak, saya ditugaskan ke Saratok, Sarawak selama setahun.

"Semasa di sana, saya bertugas di Balai Polis Saratok sebagai GD (General Duty) yang melakukan tugas am seperti ambil laporan dan sebagainya. Selepas itu saya memohon untuk masuk ke Unit Tindakan Khas (UTK) dan bertukar ke Semenanjung Malaysia," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Ameyza menyertai PDRM pada 2014. - Gambar Bernama
Ameyza menyertai PDRM pada 2014. - Gambar Bernama

Setelah lima tahun berkhidmat dengan PDRM, Ameyza mengambil keputusan untuk berhenti daripada pasukan itu kerana mendapat tawaran sebagai pengawal peribadi kepada seorang ahli perniagaan dengan tawaran gaji yang agak lumayan.

Biarpun berhadapan dengan dilema kerana masih sayangkan dunia kepolisan, Ameyza berkata, beliau yakin dengan keputusan yang dibuat dan berpegang kepada prinsip ‘walau di mana seseorang itu berada, jika mengekalkan sifat rajin berusaha pasti kejayaan akan menanti’.

"Sebelum saya membuat keputusan untuk keluar daripada PDRM, saya ambil masa setahun untuk berfikir adakah saya patut berhenti atau sebaliknya? Saya turut meminta pendapat daripada senior saya, keluarga, dan rakan-rakan. Ada yang membantah, tidak kurang juga yang menyokong. Akhirnya saya mengambil keputusan besar untuk menjadi pengawal peribadi persendirian.

"Pada mulanya keluarga saya tidak bersetuju untuk saya berhenti daripada PDRM tetapi setelah saya memberi sebab dan tujuan kenapa saya berhenti akhirnya mereka merestui pilihan saya," kata anak kelima daripada enam beradik itu. Dua abang Ameyza adalah anggota polis manakala kakaknya seorang anggota polis bantuan.

Berkongsi lanjut pengalaman ketika berkhidmat dengan PDRM, Ameyza berkata, jawatan terakhir beliau adalah sebagai pengawal pengiring berpangkat Lans Koperal dan pernah dipertanggungjawabkan untuk menjaga keselamatan bekas Timbalan Perdana Menteri (TPM) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sepanjang tempoh setahun menjaga wanita pertama yang menggalas tanggungjawab sebagai TPM ketika itu, Ameyza yang aktif berkongsi tips kecergasan di akaun TikTok menyifatkan Dr Wan Azizah seorang insan yang sangat mudah untuk berkomunikasi.

"Tidak susah menjaga beliau, selain sangat baik, Dr Wan Azizah juga seorang yang berjiwa rakyat. Beliau juga sangat menjaga kebajikan kami," katanya menzahirkan kesyukuran kerana sepanjang menggalas tugas itu, beliau tidak pernah mengalami sebarang insiden yang tidak diingini.

NYAWA MAJIKAN MENGATASI DIRI

Bergelar pengawal peribadi persendirian apatah lagi beliau adalah seorang wanita mungkin nampak asing bagi sesetengah orang namun ia tetap mempunyai keistimewaan tersendiri.

Ameyza yang masih bujang berkata, sebagai pengawal peribadi tidak kira sama ada kepada majikan wanita ataupun lelaki, seseorang itu perlu sihat tubuh badan, mempunyai kemahiran bersenjata dan seni mempertahankan diri.

"Ini sebagai perisai sekiranya berlaku apa-apa ancaman, sebagai pengawal peribadi kita mesti mampu untuk menyelamatkan majikan yang dijaga. Boleh dikatakan apabila individu itu melibatkan diri dalam bidang ini, nyawa majikan atau nyawa individu yang dijaga itu sangat penting dan perlu diutamakan melebihi nyawa sendiri," katanya yang mula bertugas sebagai pengawal peribadi kepada seorang ahli perniagaan lelaki pada penghujung tahun 2019.

Berhubung perbezaan serta skop tugas dalam menjaga majikan wanita dan lelaki, Ameyza berkata, jika majikan lelaki, seorang pengawal peribadi perempuan tidak boleh terlalu rapat kerana ada batas-batas yang perlu dijaga.

Ameyza memasang impian untul membuka agensi pengawal peribadi. - Gambar Instagram
Ameyza memasang impian untul membuka agensi pengawal peribadi. - Gambar Instagram

"Tetapi kalau ada situasi yang mendesak, kita perlu ambil tindakan yang sepatutnya," jelasnya.

Beliau menambah, tugas sebagai pengawal peribadi juga menuntut masa yang bukan sedikit malah ada ketikanya perlu bekerja selama 24 jam.

"Sebagai pengawal peribadi menjaga keselamatan orang kenamaan atau VIP tidak kira ke mana sahaja mereka pergi, pengawal peribadi itu perlu ikut. Walaupun bercuti dalam Malaysia ataupun di luar negara, kita ibarat bayang-bayang kerana akan sentiasa mengikut ke mana sahaja mereka pergi.

"Bermula daripada majikan kita keluar rumah sehinggalah dia balik ke rumah semula, barulah tugas pengawal peribadi itu berakhir. Pengawal peribadi juga haruslah bersedia pada bila-bila masa apabila dipanggil untuk bekerja," katanya menambah, beliau tidak pernah menyesal memilih bidang itu dan berasa puas apabila hasil titik peluhnya mampu menyediakan rumah dan membiayai pakej umrah untuk kedua ibu bapanya.

IMPIAN BUKA AGENSI PENGAWAL PERIBADI

Berhasrat terus melangkah lebih jauh dalam arena yang diceburi, Ameyza memasang impian untuk membuka sebuah agensi yang menyediakan khidmat pengawal peribadi suatu hari nanti.

Ini kerana beliau melihat ramai wanita di luar sana  yang berminat untuk menceburi bidang kerjaya itu tetapi tidak tahu mahu bermula dari mana.

"Sebenarnya kerjaya ini dapat memberikan keyakinan diri kepada wanita. Dapat mempelajari sesuatu yang baharu dan berdiri sama tinggi dengan lelaki. Jadi saya rasa tidak salah untuk saya berkongsi pengalaman yang tidak seberapa ini kepada mereka di luar sana yang berminat dengan pekerjaan ini," katanya.

Menurut Ameyza, bidang pengawal peribadi wanita mempunyai permintaan yang tinggi namun disebabkan kurangnya pendedahan membuatkan ramai tidak tahu bahawa kerjaya ini juga boleh dimonopoli oleh kaum hawa.

"Mungkin selepas ini pekerjaan ini akan menjadi antara pilihan wanita di Malaysia. Fokus saya juga ingin membantu golongan wanita menjadi seorang yang bekerjaya," katanya.

Ameyza pada masa sama turut menambah, faktor masa serta risiko yang tinggi menjadi antara punca sektor ini tidak disertai oleh wanita.

"Untuk golongan wanita yang ingin menceburi kerjaya pengawal peribadi, nasihat saya bersiap sedia untuk mengorbankan masa dengan keluarga. Tidak ramai yang sanggup kerana kerjaya seorang pengawal peribadi masa untuk bersama keluarga adalah terhad.

"Untuk yang belum berkahwin mungkin tiada masalah tetapi pada yang sudah berkahwin mungkin akan jadi satu masalah jika pasangan tidak memahami waktu dan tugas kita. Mental dan fizikal juga harus kuat kerana kita tidak tahu apa cabaran atau tugas yang akan dihadapi nanti," katanya. - Bernama

Berita Berkaitan

1

Semasa 9 jam yang lalu

Bakar Mercun Tengah Jalan Raya, Pembantu Bengkel Dicekup Polis

2

Semasa 2 hari yang lalu

302 Pegawai, Anggota Polis Dipecat Sejak 2022 Hingga Februari 2024

3

Semasa 3 hari yang lalu

Stoking Tertera Kalimah Allah: Kerajaan Beri Laluan Penuh Polis Siasat, Tiada Campur Tangan

4

Semasa 4 hari yang lalu

Pegawai Kanan Polis Disyaki Lindungi Kegiatan Haram Dicekup

Sorotan

1

PNB Umum Pengagihan Pendapatan 5.25 Sen Bagi ASB 2 Dan 4.75 Sen Bagi ASM 

2

Mohd Na'im Jalani Pembedahan Kecil Buang Kelenjar Air Liur

3

Polis Tahan Lelaki Disyaki Abai Kanak-kanak  

4

Padang Bukan Faktor Penentu Kekalahan Malaysia Kepada Oman - Darren

5

Dasar Buku Negara Diteliti Semula - Fadhlina

6

Perdana Menteri Dijangka Hadir Majlis Iftar MADANI Anjuran JAKIM Esok

Disyorkan untuk anda

Semasa 15 jam yang lalu

PNB Umum Pengagihan Pendapatan 5.25 Sen Bagi ASB 2 Dan 4.75 Sen Bagi ASM 

Semasa 1 hari yang lalu

Agong Gemar Utus Kad Raya, Lebih Unik Dan Sangat Klasik

Semasa 1 hari yang lalu

Anwar Terima Kunjungan Menteri Luar India

Semasa 1 hari yang lalu

Putrajaya: 5 Bazar Ramadan Rekod Kutipan Sisa Domestik Antara 6 Hingga 7 Tan Sehari