Berita Terkini

2 jam yang lalu: Dana jaminan pembiayaan SJKP ditingkatkan daripada RM3 bilion kepada RM5 bilion - PM 2 jam yang lalu: Kerajaan setuju lanjutkan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM8,000 untuk simpanan bersih tahunan dalam SSPN sehingga 2024 - PM 2 jam yang lalu: Kebakaran: Kematian wanita OKU kerana lemas terhidu asap - polis 2 jam yang lalu: Kerajaan setuju beri sagu hati RM300 kepada 200,000 anggota Rela, sukarelawan APM, sukarelawan polis dan sukarelawan bomba - PM 2 jam yang lalu: 995,396 kuota pekerja asing diluluskan sehingga 14 Mac

IKUTI KAMI


‘Muhyiddin Diberi Masa Hingga Rabu Depan Untuk Minta Maaf, Jika Tidak…’

Semasa Dikemaskini 2 minggu yang lalu · Diterbitkan pada 11 Mar 2023 12:17PM

Guan Eng menafikan dakwaan beliau membatalkan pengecualian cukai yang diberikan kepada Yayasan Albukhary semasa menjadi Menteri Kewangan. - Gambar fail

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Mantan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memberi masa sehingga Rabu depan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memohon maaf dan menarik balik kenyataan fitnah dibuatnya berhubung pembatalan pengecualian cukai kepada Yayasan AlBukhary.

Menurut Guan Eng yang juga Pengerusi DAP, sekiranya Muhyiddin gagal berbuat demikian, beliau akan memfailkan saman fitnah terhadap mantan Perdana Menteri itu.

“Muhyiddin harus meminta maaf dan menarik balik fitnah jahatnya yang dilemparkan terhadap saya.

“Memandangkan beliau sibuk dengan kes pertuduhan ke atasnya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), termasuk menghadapi satu lagi pertuduhan Isnin ini, saya akan beri beliau sehingga Rabu untuk menyatakan kebenaran dan membersihkan nama saya.

“Sekiranya beliau gagal memohon maaf dan menarik balik fitnah jahat itu, saya akan mengarahkan peguam saya untuk memulakan prosiding perundangan saman malu dengan segera,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Guan Eng menafikan dakwaan beliau membatalkan pengecualian cukai yang diberikan kepada Yayasan Albukhary semasa menjadi Menteri Kewangan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Muhyiddin dipanggil ke SPRM semalam untuk direkodkan kenyataannya, dan antara isu yang dibangkitkan oleh agensi antirasuah itu ialah rayuan terhadap pembatalan pengecualian cukai yang diberikan kepada Yayasan Albukhary.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu memberitahu pemberita selepas disoal siasat bahawa beliau akan didakwa atas tuduhan salah guna kuasa kerana memberikan semula pengecualian cukai yang diberikan kepada yayasan terbabit ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Muhyiddin telah didakwa atas tuduhan salah guna kuasa kerana memberikan semula pengecualian cukai yang diberikan kepada Yayasan Albukhary. - Gambar oleh Abdul Razak Latif
Muhyiddin telah didakwa atas tuduhan salah guna kuasa kerana memberikan semula pengecualian cukai yang diberikan kepada Yayasan Albukhary. - Gambar oleh Abdul Razak Latif

Pada masa itu, beliau mendakwa pengecualian cukai itu dibatalkan oleh Guan Eng selepas PH mengambil alih kerajaan pada 2018.

Mengulas lanjut Guan Eng berkata, dakwaan tersebut tidak berasas dan berniat jahat untuk memainkan sentimen bagi mengalihkan perhatian rakyat daripada empat pertuduhan salah guna kuasa dan dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM232.5 juta yang dihadapi Muhyiddin.

“Amat mudah untuk mengapi-apikan atau menghasut perasaan rakyat yang mampu menggugat harmoni dan ketenteraman awam dengan menuduh saya sengaja membatalkan pengecualian cukai yang diberikan kepada sebuah pertubuhan kebajikan Islam.

“Saya telah pun mencabar Muhyiddin bagi menunjukkan surat yang membuktikan saya mengeluarkan arahan sebagai Menteri Kewangan untuk membatalkan pengecualian cukai kepada Yayasan AlBukhary.

“Saya yakin Muhyiddin tidak mampu menunjukkan surat tersebut kerana ia sememangnya tidak wujud langsung dan semata-mata satu rekaan beliau. Ini adalah petunjuk bahawa beliau sendiri sedar tentang fitnah jahatnya terhadap saya,” katanya.

Kelmarin, sejurus dibebaskan SPRM daripada tahanan selepas diambil keterangan, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), mengesahkan beliau akan berdepan tujuh pertuduhan di mahkamah.

Semalam, Muhyiddin didakwa di Mahkamah Sesyen atas enam pertuduhan meliputi empat menggunakan kedudukan untuk mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua lagi pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.

Bagaimanapun, Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Md Yasin, 76, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.

Pendakwaan terbabit menjadikan beliau sebagai mantan Perdana Menteri kedua yang terkenal dengan panggilan ‘Abah’ didakwa di mahkamah atas kesalahan menerima rasuah dan pengubahan wang haram selepas Datuk Seri Najib Razak.

Terdahulu, Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, memaklumkan bahawa Muhyiddin dijangka dikenakan lagi pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa di mahkamah di Shah Alam, Isnin depan. - Getaran, 11 Mac 2023

Berita Berkaitan

1

Semasa 2 hari yang lalu

Dakwa Difitnah, Guan Eng Saman Muhyiddin

2

Semasa 1 minggu yang lalu

Guan Eng Tidak Pernah Batalkan Pengecualian Cukai Yayasan Albukhary – Anwar

3

Semasa 1 minggu yang lalu

Guan Eng Hantar Notis Tuntutan, Muhyiddin Ada 7 Hari Untuk Mohon Maaf

4

Semasa 2 minggu yang lalu

Muhyiddin Mengaku Tidak Bersalah Terima Wang Haram RM5 Juta

Sorotan

1

Henti Pelepasan Cukai Pencarum SSPN Kurang Tepat, ‘Saya Beri 3 Sebab’ - Syed Saddiq

2

Projek Pasar Chow Kit Tidak Pernah Terbengkalai, Dijangka Siap 2025

3

Tubuh Task Force Selaras Agihan Bantuan Dengan YKN Di Setiap Negeri

Disyorkan untuk anda

Semasa 16 jam yang lalu

DoctorsMalaysia Rancang Mogok, Dr Noor Hisham Nasihat Jangan Teruskan Kerana…

oleh Farhana Farush

Semasa 1 hari yang lalu

Charles Santiago Kembali Terajui SPAN Selepas Dipecat Pada 2020

oleh Wartawan Getaran

Sukan 1 hari yang lalu

Aaron-Wooi Yik Perlu Lebih Versatil - Legenda Badminton Negara

oleh Julie Jalaluddin

Semasa 7 jam yang lalu

UMNO Guna Lambang Dacing Pada PRN 6 Negeri - Ahmad Zahid